Syarikat-syarikat swasta yang menawarkan khidmat ibadah korban masih menerima sambutan menggalakkan daripada masyarakat Islam Singapura meskipun saban tahun saingan yang ada semakin sengit.
Dihubungi Berita Harian, syarikat Aliyah Rizq Holdings Pte Ltd berkata tempahan bagi korban yang dijalankan di luar negara tahun ini “kurang sedikit berbanding tahun lalu”, namun secara keseluruhan, semuanya baik-baik sahaja.
Menurut pengarah syarikat tersebut, Cik Nabilah Bagarib, secara keseluruhan, sebanyak 4,000 kambing biri-biri, kambing, lembu dan unta telah ditempah bagi ibadah korban luar negara bagi 2024.
Selain ibadah korban luar negara, syarikat itu juga menawarkan ibadah korban secara langsung di Singapura.
“Daripada 800 (kambing biri-biri yang akan dibawa masuk), kami hanya tinggal 10 peratus sahaja (yang belum ditempah),” kata Cik Nabilah.
Bilangan kambing biri-biri yang dibawa masuk oleh Aliyah Rizq untuk dikorban secara langsung di sini pada Aidiladha ini merupakan lebih tiga kali ganda bilangan yang dibawa masuk pada 2023, iaitu tahun pertama syarikat itu menawarkan khidmat tersebut.
Ketika itu, hanya 250 kambing biri-biri dari Australia dibawa masuk.
Syarikat tersebut mengenakan harga $667 bagi seekor kambing biri-biri dari Australia yang dibawa masuk ke sini untuk disembelih secara langsung.
Tempahan bagi baki slot yang ada masih boleh dilakukan di www.aliyahrizqfarm.com selagi stok masih ada atau pada 17 Jun, iaitu pada Hari Raya Haji sendiri.
Ditanya mengenai sambutan serta tempahan daripada masyarakat terhadap khidmat ibadah korban secara langsung itu, Cik Nabilah berkata:
“Alhamdulillah, lebih memuaskan. Kami dapat rasakan keghairahan dan keterujaan masyarakat untuk mengambil bahagian dan menjadi sebahagian daripada ibadah korban secara langsung ini.”
Bagi Perdaus pula, bilangan kambing biri-biri Indonesia yang sudah ditempah tahun ini ialah sekitar 450 ekor.
Ini berbanding sekitar 700 ekor kambing biri-biri Indonesia yang ditempah pada 2023.
Menurut Pegawai Kanan Perkhidmatan Korporat Perdaus, Cik Khatim Hamidon, terdapat dua sebab utama mengapa ini berlaku.
Pertama, lebih ramai orang tahun ini menempah kambing biri-biri Australia yang kemudiannya dihantar ke Palestin.
Jika tahun lalu, Perdaus melihat tempahan 68 ekor kambing biri-biri Australia yang kemudiannya dihantar ke Tebing Barat, Palestin, tahun ini, sebanyak 163 ekor sudah pun ditempah.
Perdaus menetapkan tempahan kambing biri-biri Indonesia pada harga $159 seekor sementara kambing biri-biri Australia yang dihantar ke Palestin berharga $350 seekor.
Melihat trend serupa, Cik Nabilah juga mengatakan tahun ini Aliyah Rizq “menerima sokongan luar biasa bagi korban di Australia yang mana dagingnya kemudian dihantar ke Palestin”.
Cik Khatim berkata sebab kedua mengapa jumlah tempahan mungkin kurang berbanding tahun-tahun sebelumnya ialah kerana terdapat jauh lebih banyak pemain industri kini yang menawarkan khidmat ibadah korban.
Ini lebih-lebih lagi setelah pandemik Covid-19 apabila lebih banyak vendor mula menerima tempahan dalam talian dan mempunyai laman web sendiri.
Malah, bukan organisasi sahaja yang menawarkan khidmat ibadah korban, tetapi asatizah secara individu yang mempunyai kenalan serta ejen pelancongan melihat ini sebagai peluang mempelbagaikan tawaran mereka pasca-Covid-19.
Namun, meskipun ini mungkin dianggap ‘masalah’ dari sudut pandangan perniagaan, ia merupakan sesuatu yang positif bagi Cik Khatim.
Katanya:
“Alhamdulillah, masyarakat kita mempunyai pilihan yang jauh lebih luas dan kami gembira syiar Islam ini masih tegar. Cuma, di sinilah kami sebagai vendor harus mencari tarikan unik masing-masing.”
Lebih dari itu, pelanggan setia juga memainkan peranan penting. Menurutnya, lebih 50 peratus tempahan yang dibuat tahun ini datang daripada pelanggan setia Perdaus yang sudah memiliki keyakinan dalam khidmat yang ditawarkan badan tersebut.
Tambah beliau, meskipun tempahan bagi kambing biri-biri Australia sudah ditutup pada 6 Jun lalu, tempahan bagi kambing biri-biri Indonesia masih dibuka sehingga 14 Jun, begitu juga tempahan bagi lembu Cambodia.
Mereka yang berminat masih boleh melakukan tempahan melalui qurban.perdaus.org.sg.
Bagi pemain industri kali pertama, Cheekies Singapore, meskipun jumlah tempahan yang diterima adalah kecil, ia tetap gembira dapat membantu menyediakan khidmat korban kepada masyarakat Muslim di sini.
Syarikat tersebut, yang merupakan syarikat perniagaan dada ayam, mengorak langkah menyediakan khidmat korban juga tahun ini.
Pengasas Cheekies, Encik Nabill Shukry Johari, 27 tahun, berkata syarikatnya menerima tempahan bagi 12 ekor kambing, dengan yang paling banyak merupakan kambing Indonesia.
“Jumlah tempahan tidak banyak. Lagi pula ini merupakan kali pertama buat kami juga.
“Kami dapati ramai orang sudah pun mempunyai vendor pilihan mereka.
“Namun begitu, kami berbesar hati dapat menjadi vendor kepada 12 orang yang telah memilih kami untuk melaksanakan ibadah (korban) mereka,” ujar Encik Nabil.
Tempahan korban bagi syarikatnya itu sudah pun ditutup pada 12 Jun.
“
“Alhamdulillah, masyarakat kita mempunyai pilihan yang jauh lebih luas dan kami gembira syiar Islam ini masih tegar. Cuma, di sini lah kami sebagai vendor harus mencari tarikan unik masing-masing.”

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg