Golongan muda Islam harus menjadikan nilai-nilai seperti integriti, belas ihsan, kecemerlangan dan khidmat kepada masyarakat sebagai prinsip panduan dalam kehidupan profesional, kata Setiausaha Parlimen Kanan (Pendidikan merangkap Pembangunan Negara), Dr Syed Harun Alhabsyi.

Dalam ucapannya selaku tetamu terhormat di Simposium Belia NextGen 2026 pada 12 September, Dr Syed Harun menambah bahawa golongan muda Muslim tidak seharusnya melihat tuntutan kerjaya dan komitmen terhadap agama sebagai dua perkara yang berasingan.

Menurut beliau, kejayaan dalam kerjaya tidak seharusnya diukur semata-mata berdasarkan gaji atau jawatan yang disandang, tetapi juga berdasarkan peribadi serta akhlak yang dibentuk oleh seseorang sepanjang perjalanan tersebut.

“Kehidupan profesional kita dan pegangan agama kita tidak seharusnya diletakkan dalam kotak yang berasingan.

“Biarlah nilai yang kita bawa seperti integriti, sifat prihatin, kecemerlangan dan khidmat membentuk diri kita sebagai pelajar, rakan sekerja, pemimpin atau usahawan,” kata di acara yang menyaksikan lebih 800 belia hadir.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan pelancaran buku Youth Meets Career Playbook, sumber panduan praktikal yang dibangunkan Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS).

Pelancaran Youth Meets Career Playbook, sebuah buku panduan praktikal yang dibangunkan oleh MUIS untuk membantu belia Muslim mengimbangi amalan agama dengan tuntutan dan cabaran kerjaya di tempat kerja. Buku panduan ini turut melibatkan pasukan Masjid Al-Falah yang terdiri daripada Ustazah Sharifah Inshirah Aljunied, Ustaz Hidir Sulaimee, Izz Danish Hirman dan Nadyne E’Shal Noer Hadzly.
Pelancaran Youth Meets Career Playbook, sebuah buku panduan praktikal yang dibangunkan oleh MUIS untuk membantu belia Muslim mengimbangi amalan agama dengan tuntutan dan cabaran kerjaya di tempat kerja. Buku panduan ini turut melibatkan pasukan Masjid Al-Falah yang terdiri daripada Ustazah Sharifah Inshirah Aljunied, Ustaz Hidir Sulaimee, Izz Danish Hirman dan Nadyne E’Shal Noer Hadzly. - Foto MUIS

Buku dalam talian itu dihasilkan bagi membantu belia Muslim menangani persoalan berkaitan agama dan kerjaya ketika memasuki alam pekerjaan dan sepanjang perjalanan profesional mereka.

Ia dihasilkan jawatankuasa penulis dari Masjid Al-Falah dan merangkumi isu seperti amalan agama di tempat kerja, pembentukan identiti serta cara berkomunikasi dan mengendalikan situasi sosial dalam persekitaran profesional.

Dr Syed Harun turut merujuk kepada dapatan tinjauan belia Majlis Belia Kebangsaan (NYC) dari 2016 hingga 2025 yang menunjukkan kejayaan dalam kerjaya kekal sebagai keutamaan golongan muda.

Namun, hasil libat urus Pasukan Petugas Belia Melayu/Islam dengan lebih 2,600 belia Melayu/Muslim Singapura yang diterbitkan pada Ogos lalu menunjukkan mereka mahukan lebih daripada sekadar gaji lumayan atau jawatan yang baik.

Kestabilan kewangan penting, katanya, tetapi begitu juga pekerjaan yang bermakna, keluarga serta keupayaan untuk terus berpegang pada agama.

“Dengan kata lain, kejayaan bukan hanya mengenai apa yang kita capai dari segi material, tetapi yang penting ialah insan yang kita bentuk sepanjang perjalanan itu,” katanya.

Dr Syed Harun juga berkata nilai dan peribadi juga sama penting dengan kemahiran dalam menentukan perjalanan seseorang di tempat kerja.

“Kemahiran anda mungkin membuka pintu pada mulanya. Tetapi nilai dan peribadi anda akan membentuk keputusan yang anda buat selepas pintu itu terbuka,” katanya.

Di acara tersebut, satu sesi dialog bersama anggota Majlis Tertinggi MUIS yang juga Anggota Jawatankuasa Fatwa Muis dan Pengerusi AMP Singapura, Ustaz Fathurrahman Dawoed telah berlangsung.

Para peserta belia turut mengambil bahagian dalam perbincangan panel, dan sesi menjalin rangkaian.

Sejajar dengan usaha membantu beliau dalam fasa pekerjaan mereka, Career Takeoff 2026 yang dianjurkan sayap belia AMP, Young AMP, turut diadakan sempena Simposium Belia NextGen.

Pengasas bersama Klicco, Sufiyan Rahmat (kanan), berinteraksi bersama peserta semasa sesi bimbingan di pameran kerjaya Career Takeoff 2026 anjuran Young AMP sempena Simposium Belia NextGen pada 12 September.
Pengasas bersama Klicco, Sufiyan Rahmat (kanan), berinteraksi bersama peserta semasa sesi bimbingan di pameran kerjaya Career Takeoff 2026 anjuran Young AMP sempena Simposium Belia NextGen pada 12 September. - Foto AMP

Acara rangkaian kerjaya itu bertujuan membantu belia menghadapi landskap pekerjaan yang semakin dinamik, termasuk dengan menyediakan peluang untuk mendapatkan pendedahan industri, bimbingan kerjaya, membina rangkaian profesional serta meningkatkan kemahiran dan keyakinan mereka.

Lebih 20 syarikat daripada 10 industri menyertai pameran kerjaya tersebut, dengan peluang bagi peserta meneroka jawatan latihan dan sepenuh masa.

Acara itu turut menampilkan 36 mentor serta 46 pakar industri yang mengendalikan sesi bimbingan dan rangkaian dalam kumpulan kecil.

Buku panduan tersebut boleh didapatkan melalui pautan https://go.gov.sg/youthmeetscareerplaybook.

Kepentingan memegang nilai agama sambil mengejar kejayaan kerjaya

Biarlah nilai yang kita bawa seperti integriti, sifat prihatin, kecemerlangan dan khidmat membentuk diri kita sebagai pelajar, rakan sekerja, pemimpin atau usahawan...Kemahiran anda mungkin membuka pintu pada mulanya. Tetapi nilai dan peribadi anda akan membentuk keputusan yang anda buat selepas pintu itu terbuka.
Setiausaha Parlimen Kanan (Pendidikan merangkap Pembangunan Negara), Dr Syed Harun Alhabsyi