Warga S’pura selamat pulang naik penerbangan khas RSAF
Pesawat berlepas dari Riyadh dengan 218 warga S’pura dan anggota keluarga
Bagi pasangan suami isteri, Cik Zaiton Sotho dan Encik Nassier Nicholas, lawatan ke Arab Saudi dan Qatar sepatutnya menjadi satu pengalaman menyeronokkan dan bebas tekanan.
Namun, sangkaan mereka itu bertukar menjadi kenangan pahit dan penuh ketidakpastian selepas penerbangan pulang ke Singapura dibatalkan dek penutupan ruang udara Qatar, termasuk beberapa negara Teluk lain, ekoran konflik Timur Tengah yang kian meruncing.
Ketika ditemui Berita Harian (BH) di Balai Ketibaan Terminal 2 Lapangan Terbang Changi pada 11 Mac, Cik Zaiton, 62 tahun, ibu tiga anak lelaki, berkata mereka berangkat dari Singapura pada 8 Februari untuk menunaikan ibadah umrah.
Beliau dan Encik Nassier, 64 tahun, kemudian ke Doha, Qatar, sekitar dua minggu selepas itu bagi melawat anak lelaki mereka untuk mengubat rindu setelah lama tidak bersua sejak Oktober 2025.
Bak sudah jatuh ditimpa tangga, semua penerbangan ke Singapura dari Doha dibatalkan dan mereka pula belum membeli sebarang tiket penerbangan pulang.
Mujur, Kementerian Ehwal Luar (MFA) melaksanakan usaha membawa pulang warga Singapura yang terkandas di Bahrain, Jordan, Kuwait, Qatar dan Arab Saudi.
Mereka merupakan antara 218 warga Singapura dan keluarga mereka yang selamat pulang dari Riyadh, Arab Saudi dengan menaiki pesawat penerbangan penghantaran pulang, Pengangkutan Tangki Pelbagai Peranan (MRTT) A330 Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF).
Penerbangan khas SAF12 itu mendarat di Lapangan Terbang Changi sekitar 6 pagi selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Khalid di Riyadh, Arab Saudi, sekitar 5.30 petang (waktu tempatan) pada 10 Mac.
Cik Zaiton berkata: “Banyak penerbangan dibatalkan selepas keadaan di rantau itu semakin tegang. Walaupun tempat tinggal kami agak jauh dari kawasan serangan, kami masih dapat mendengar bunyi letupan sekali-sekala, walaupun tidak begitu kuat.
“Disebabkan ketidaktentuan keadaan di sana, kami bertekad pulang ke Singapura secepat mungkin.”
Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Encik Zaqy Mohamad, menyambut ketibaan penumpang sejurus selepas pesawat tersebut mendarat.
Tambah Cik Zaiton, perjalanan ke Riyadh dari Kedutaan Singapura di Doha bersama hampir 200 lagi warga Singapura dianggarkan mengambil masa enam jam.
“Pengalaman kami pada ketika itu boleh dikatakan agak mencabar kerana kami perlu menempuh perjalanan panjang sebelum dapat menaiki penerbangan pulang ke Singapura,” katanya.
Dalam catatan Facebook pada 11 Mac, Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, berkata meskipun Singapura telah mengatur beberapa penerbangan komersial bagi membawa pulang rakyatnya, terdapat beberapa lokasi yang tidak dapat diakses melalui penerbangan komersial.
Disebabkan itu, pesawat MRTT RSAF telah dikerahkan ke Riyadh, katanya.
Beliau turut merakam penghargaan kepada Arab Saudi serta rakan kerjasama Singapura di rantau itu atas sokongan mereka dalam mempermudah serta memastikan laluan selamat bagi penerbangan pemindahan tersebut.
Dengan pengerahan pesawat MRTT RSAF ke Riyadh pada 10 Mac, ini menjadikannya penerbangan penghantaran pulang ketiga Singapura dalam usaha negara ini membawa pulang rakyatnya yang terjejas dek konflik Israel/Amerika dengan Iran, yang sekali gus menggugat rantau Timur Tengah.
Awal dari itu, dua penerbangan penghantaran pulang pertama bagi membawa pulang rakyat Singapura dari Muscat, Oman – salah satu negara dengan ruang udara yang masih dibuka seperti biasa – melalui pesawat sewaan khas Singapore Airlines (SIA) telah berlepas pada 7 dan 8 Mac.
Pesawat itu selamat mendarat di Lapangan Terbang Changi.
Penerbangan keempat dijadualkan pada 12 Mac bagi membawa pulang rakyat Singapura dari Jeddah, Arab Saudi.

