Hari Raya Aidilfitri bakal menjelma beberapa hari lagi.
Satu perkara yang bermain dalam fikiran menjelang ketibaan hari mulia itu, yang dijangka pada 10 April, ialah pergolakan yang terus berlaku di Timur Tengah, khususnya peperangan di Gaza.
Puluhan ribu penduduk di wilayah Palestin itu maut dan jutaan mengalami kebuluran ekoran kekurangan makanan dan air minum.
Malapetaka kemanusiaan itu menjadi iktibar dan keinsafan buat kita di Singapura, yang umumnya kecukupan dalam banyak perkara.
Warga Singapura telah menghulurkan siri bantuan kepada penduduk Gaza, yang sedang melalui fasa kehidupan amat sukar, termasuk bantuan melalui Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF) dan Mercy Relief.
Kesukaran penduduk Gaza itu membuka mata kita tentang kehidupan di Singapura sebagai satu nikmat besar yang harus disyukuri.
Kita meraikan Ramadan, sepanjang bulan ini, dengan penuh aman, termasuk mempunyai makanan dan minuman mencukupi untuk bersahur mahupun berbuka puasa.
Menjelang Syawal pula, ramai sudah bersiap sedia dengan membeli pakaian Raya dan kuih-muih.
Namun, Singapura turut menghadapi cabaran tersendiri, antaranya kadar inflasi yang kekal tinggi dan menyebabkan kos sara hidup meningkat. Bagi golongan bergaji rendah, kenaikan harga keperluan harian amat dirasakan.
Dalam hal ini, pemerintah Singapura menyediakan pelbagai bantuan untuk membantu warga dalam menghadapi kenaikan kos itu, termasuk bantuan tersasar kepada keluarga yang lebih memerlukan.
Sementara itu, melihat keadaan penduduk di Gaza yang terperangkap dalam permusuhan antara Israel dan Hamas amat menyayat hati hingga sering bergenang air mata melihat keadaan daif mereka.
Ini termasuklah melihat penduduk di situ terpaksa makan sejenis tumbuh-tumbuhan hijau liar yang dipanggil khobiza untuk mengisi perut kosong, tumbuh-tumbuhan yang tidak pernah mereka makan sebelum ini.
Ia menjadi satu keinsafan kepada kita untuk bersyukur di atas kehidupan aman dan makmur yang kita nikmati di Singapura. Alhamdulillah.
Namun, kemakmuran dan keharmonian masyarakat majmuk di sini tidak datang bergolek dan ia perlu dipertahankan dengan tegas dan tuntas.
Sebab itulah amat dihargai tindakan tegas pemerintah Singapura baru-baru ini berkaitan kenyataan yang dikeluarkan Kedutaan Israel di sini yang menggunakan kitab suci Al-Quran untuk memajukan kepentingan politik mereka.
Kenyataan kedutaan berkenaan, seperti kata Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam, tidak dapat diterima sama sekali dan bahaya. Beliau turut melahirkan rasa kecewanya.
Kenyataan itu, tambahnya, boleh menjejas kehidupan pelbagai masyarakat di Singapura.
Dalam satu catatan berasingan di Facebook, Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, pula berkata kenyataan itu tidak sensitif dan bertentangan dengan semangat saling menghormati dan persefahaman di Singapura.
“Ia sangat tidak sensitif dan tidak menghormati serta bertentangan dengan semangat saling menghormati dan persefahaman yang telah kita bina di Singapura dengan sangat gigih dan kerja keras selama ini,” tulis beliau.
Kenyataan kedutaan itu boleh dianggap sebagai mencampuri aspek keharmonian dan kemakmuran masyarakat majmuk di sini.
Ini memandangkan isu agama, kaum dan bangsa akan sentiasa menjadi garis gelincir (fault line) yang berpotensi memecahbelahkan masyarakat dan negara ini, malah sejak Singapura merdeka pada 1965.
Banyak usaha dan masa telah dilaburkan oleh pemerintah dan rakyat negara ini untuk mengekalkan keharmonian yang ada. Tindakan tegas telah diambil sebelum ini terhadap pihak yang mahu merosakkan keharmonian kaum dan agama ini.
Kita tidak harus membiarkan sebarang pihak, baik di dalam mahupun luar negara, merosakkan keharmonian ini, yang telah dibangunkan secara susah payah sejak lebih 55 tahun lalu.
Menjelang Hari Raya ini, ambillah kesempatan untuk bermuhasabah diri, melihat keadaan sekeliling rantau kita dan juga kejadian yang berlaku di kawasan lain di dunia ini, yang menghadapi pertelingkahan dan pergolakan membabitkan perbezaan kaum, agama dan masyarakat.
Walaupun ada pelbagai cabaran yang dihadapi di Singapura, kejadian di Gaza, Ukraine dan negara lain di dunia ini yang juga sedang bergolak harus menjadikan kita bersyukur akan keadaan aman negara ini.
Sememangnya Singapura adalah antara kediaman terbaik di dunia, dan seperti yang dilaporkan baru-baru ini, negara paling bahagia di Asia pada 2023.
Semoga keamanan dan kemakmuran ini dapat terus dinikmati.
Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg