Sejumlah $818,000 telah berjaya dikumpulkan oleh Tabung Amal Aidilfitri (TAA) sejak pelancaran Kempen Dana Amal TAA-Ramadan 2025 pada 21 Februari lalu.
Ini hampir 50 peratus daripada sasaran keseluruhan $1.7 juta yang ingin dicapai dalam musim kali ini.
Perkembangan tersebut diumumkan pada acara pengagihan sumbangan yang berlangsung pada pagi 22 Mac di Wisma Geylang Serai (WGS).
Jumlah itu berdasarkan kutipan setakat 12 malam pada 22 Mac 2025.
Mengulas tentang usaha pengumpulan dana sehingga kini, Ketua Jawatankuasa Eksekutif TAA, Encik Mohd Najib Shahib, berkata beliau berharap orang ramai terus memberi sumbangan agar sasaran yang diharapkan kali ini dapat dicapai.
“Kami sudah hampir lebih daripada separuh sasaran kami kali ini.
“Saya berharap orang ramai akan lebih terbuka untuk menyumbang kepada kempen kami dalam 10 malam terakhir Ramadan supaya kami dapat terus membantu golongan yang memerlukan dan sebarkan kemeriahan dalam musim perayaan ini,” jelas Encik Najib.
Sementara itu, TAA masih lagi berusaha untuk mengumpulkan dana sepanjang Ramadan hingga pertengahan Syawal.
Pengumpulan dana ini akan diagihkan sepanjang 2025 and 2026.
Ini termasuk dana agihan Ramadan 2026 dan juga program TAA yang lain, termasuk Sinar Harapan dan Sinar Bakti.
Acara itu turut dihadiri Menteri di Pejabat Perdana Menteri merangkap Menteri Kedua (Pendidikan dan Ehwal Luar), Dr Mohamad Maliki Osman.
Acara itu juga diserikan dengan kehadiran seramai 40 penerima kempen dana amal TAA.
Mereka merupakan antara 3,300 keluarga berpendapatan rendah dan individu kurang upaya yang layak menerima bantuan TAA.
Sebanyak $1.65 juta akan diagihkan TAA Ramadan pada 2025, menjadikannya jumlah terbesar yang pernah diagihkan TAA pada Ramadan.
Setiap penerima yang layak telah menerima bantuan berupa wang tunai sebanyak $500 hasil sumbangan orang ramai melalui zakat dan sedekah.
Mengulas tentang pengagihan tersebut, Dr Maliki berkata sumbangan yang diberikan menunjukkan semangat masyarakat dalam membantu mereka yang memerlukan.
“Sumbangan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban para penerima dan membolehkan mereka menyambut Ramadan serta Syawal dengan lebih ceria dan bermakna,” katanya dalam ucapannya.
“Ini menunjukkan bahawa nilai kepedulian dan belas kasihan masih utuh dalam masyarakat kita, dan dengan adanya platform seperti TAA, kita dapat terus memperkukuhkan budaya membantu sesama insan,” tambah Dr Maliki.
Menurut TAA, sebahagian besar penerima kali ini terdiri daripada asnaf zakat.
Mereka termasuk pesakit yang menghidap penyakit kronik seperti barah, angin ahmar, kegagalan buah pinggang dan sakit jantung.
Ada juga yang berkerusi roda atau terlantar kerana faktor usia atau kesihatan.
Antara penerima bantuan TAA ialah Cik Suhana Suhaimi, 48 tahun, yang menghidap penyakit palsi serebrum.
Beliau merupakan penerima bantuan TAA sejak 15 tahun yang lalu.
Disebabkan keadaan kesihatan dan pergerakannya yang terjejas, beliau kini berkerusi roda.
2025 merupakan tahun pertama Cik Suhana meraikan Syawal berseorangan bersama pembantunya di rumah.
Menurutnya, pada awal Februari lalu, bapanya telah meninggal dunia kerana faktor usia, manakala ibunya telah meninggal dunia sebelum Covid-19 melanda.
“Tahun ini (2025) adalah tahun pertama saya akan menyambut Hari Raya tanpa kedua ibu bapa saya.
“Saya bersyukur atas dana yang saya menerima.
“Sedikit sebanyak, saya masih dapat meraikan perayaan ini bersama pembantu saya dan pastikan barangan keperluan harian saya mencukupi,” ujar Cik Suhana, yang mempunyai perniagaan dari rumah (HBB), Pelangi Delights, di Instagram.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg