Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

TAA kumpul $42,200 dalam acara siaran langsung kempen Sinaran Hati

Oct 18, 2025 | 7:01 PM
Nuralysha Abdul Hamid, Suhana Suhaimi, TAA
Individu kurang upaya, Cik Nuralysha Abdul Hamid (kiri) yang mengidap sindrom femoral facial dan Cik Suhana Suhaimi yang mengalami palsi serebrum antara penerima dana amal TAA yang bergambar di reruai TAA di acara dagangan ‘Celebfest’. - Foto BM oleh RUBIAH MOHD

Tabung Amal Aidilfitri (TAA) berjaya mengumpul sumbangan derma bernilai lebih daripada $42,200 semasa siaran langsung selama dua jam Kempen Amal TAA Sinaran Hati 2025 di acara dagangan, Celebfest pada 18 Oktober.

Jumlah pungutan itu adalah lebih daripada sasaran mengatasi kutipan sekitar $35,500, yang dikumpul dalam tempoh enam jam semasa acara sama pada 2024.

Setiausaha Parlimen Kanan (Pendidikan merangkap Pembangunan Negara), Dr Syed Harun Alhabsyi yang hadir dalam acara di Pusat Konvensyen dan Pameran Suntec, berkata usaha oleh pertubuhan kemasyarakatan seperti TAA tetap teguh dan relevan kepada masyarakat serta meninggalkan kesan dalam masyarakat.

Menurut beliau dalam satu temu bual ringkas bersama pengacara radio, AB Shaik yang dilantik sebagai ‘Sahabat TAA’ pada 2025:

“Pemerintah atau sektor swasta hanya mampu melakukan setakat tertentu, tetapi suara masyarakat yang lahir daripada pertubuhan seperti inilah yang mampu memenuhi keperluan sebenar masyarakat.

“Terdapat sesuatu yang istimewa tentang konsep TAA – di mana kita melihat Hari Raya bukan sekadar waktu untuk bergembira dan mengeratkan silaturahim keluarga, tetapi juga sebagai peringatan bahawa dalam kegembiraan dan sambutan kita, wajar kita mengingati mereka yang mungkin tidak bernasib baik seperti kita,” tambahnya lagi.

Acara tersebut yang turut dihadiri oleh penyumbang, rakan kongsi dan penerima manfaat Dana Amanah TAA disiarkan secara langsung di semua laman media sosial TAA termasuk wadah Facebook, Instagram, TikTok dan YouTube – dengan nama akaun ‘@taatrustfund’.

Kutipan sumbangan dijalankan sepanjang dua jam menerusi PayNow serta sumbangan korporat daripada Kuok Group Singapore dan Maybank.

Menjelaskan lebih lanjut, Encik Mohd Najiib Sahib, Ketua Jawatankuasa Eksekutif TAA berkata:

“Kempen Amal Sinaran Hati 2025 berlangsung dari 15 September hingga 18 November 2025, dengan sasaran kutipan sebanyak $350,000 untuk menambah dana yang dikumpul semasa Ramadan.

“Dana ini penting untuk mengekalkan pengagihan tahunan TAA sebanyak $2 juta kepada keluarga berpendapatan rendah di seluruh Singapura.”

“Dana yang dikumpul semasa Ramadan sahaja tidak mencukupi untuk mencapai sasaran tahunan kami.

“Oleh itu, kempen Sinaran Hati ini amat penting bagi memastikan TAA dapat terus memberikan sokongan bermakna kepada mereka yang paling memerlukan,” tambahnya.

Menurut Encik Mohd Najiib, sebahagian besar penerima bantuan terdiri daripada mereka yang tinggal di flat satu atau dua bilik.

“TAA membantu lebih daripada 3,500 keluarga setiap tahun, dan jumlah ini meningkat dari tahun ke tahun.

“Kami mempunyai keupayaan untuk membantu mereka dari segi keperluan kewangan,” ujarnya.

“Kita ini bertuah kerana masih mampu bekerja. Namun, tidak semua orang mempunyai peluang yang sama - ada yang terhimpit di tengah-tengah, seperti penjaga misalnya, yang berada dalam situasi yang tidak membolehkan mereka bekerja. Jadi, kami juga berusaha membantu golongan ini, insya-Allah.”

Siaran tersebut menampilkan persembahan khas oleh pemuzik tempatan, Art Fazil, yang mempersembahkan lagu rasmi kempen bertajuk ‘Tabung Amal Aidilfitri – Sinaran Hati’.

Lagu tersebut digubah oleh beliau sendiri, manakala liriknya ditulis bersama dengan Encik Mohd Najiib.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg