SPH Logo mobile
Langgan|

TAA sasar kumpul $1.9j bagi kempen Ramadan 2026

TAA sasar kumpul $1.9j bagi kempen Ramadan 2026

Dana dikumpul TAA bantu lebih 3,400 individu, isi rumah pada 2025
Feb 6, 2026 | 10:00 PM

TAA sasar kumpul $1.9j bagi kempen Ramadan 2026

Anggota Parlimen (AP) GRC Bishan-Toa Payoh, Encik Saktiandi Supaat (pertama dari kanan), merupakan tetamu terhormat di pelancaran Kempen Dana Amal Ramadan TAA 2026. Pemegang amanah TAA (dari kiri) Encik Hamsani Raoh; Encik Izzuddin Taherally ; Encik Ameerali Abdeali dan Ketua Jawatankuasa Eksekutif TAA, Encik Mohd Najiib Sahib turut melancarkan kempen dana amal yang menetap matlamat mengumpulkan $1.9j pada 2026.
Anggota Parlimen (AP) GRC Bishan-Toa Payoh, Encik Saktiandi Supaat (pertama dari kanan), merupakan tetamu terhormat di pelancaran Kempen Dana Amal Ramadan TAA 2026. Pemegang amanah TAA (dari kiri) Encik Hamsani Raoh; Encik Izzuddin Taherally ; Encik Ameerali Abdeali dan Ketua Jawatankuasa Eksekutif TAA, Encik Mohd Najiib Sahib turut melancarkan kempen dana amal yang menetap matlamat mengumpulkan $1.9j pada 2026. - Foto TAA

Tabung Amal Aidilfitri (TAA) telah menetapkan matlamat mengumpulkan dana $1.9 juta sempena Ramadan akan datang ini, lebih tinggi berbanding $1.8 juta yang dikumpulkannya pada 2025.

Kempen Dana Amal Ramadan TAA 2026 itu bertujuan membantu golongan berpendapatan rendah dan pesakit kronik dalam masyarakat Melayu/Islam.

Dana yang terkumpul akan diagihkan kepada penerima bantuan yang layak sepanjang Ramadan 2026.

Ketua Jawatankuasa Eksekutif TAA, Encik Mohd Najib Sahib, melahirkan harapan agar masyarakat terus menyokong TAA dan benefisiari.

“TAA berharap agar masyarakat akan terus menyokong usaha amal kami dengan semangat sama seperti yang telah ditunjukkan sepanjang 34 tahun perjalanan TAA bersama masyarakat Melayu/Islam di Singapura,” katanya.

Kempen tahunan itu dilancarkan pada 6 Februari di Wardah Ballroom @ Stevens. Ia dihadiri anggota Lembaga Pemegang Amanah dan Jawatankuasa Eksekutif (Exco) TAA, pemimpin Pertubuhan Melayu/Islam (MMO), rakan korporat masyarakat serta penderma, sukarelawan dan benefisiari atau penerima bantuan TAA.

Anggota Parlimen (AP) GRC Bishan-Toa Payoh, Encik Saktiandi Supaat turut hadir sebagai tetamu kehormat.

Pada Ramadan 2025, dana $1.8 juta yang dikumpulan TAA, membolehkannya membantu sekitar 3,400 individu dan isi rumah, dengan setiap individu atau keluarga menerima $500.

Kempen 2026 bertema Seikhlas Kasih, Berjuta Harapan dan menampilkan cef selebriti tempatan, Cef Mel Dean sebagai Duta TAA.

Pada majlis pelancaran itu, Encik Saktiandi turut memperkenalkan poster kutipan dana TAA 2026 yang menampilkan Duta TAA, cef selebriti tempatan, Cef Mel Dean, bersama seorang penerima bantuan TAA, Cik Asmah Asib, 87 tahun.

Pemilihan Cef Mel sebagai wajah kempen 2026 turut menandakan satu pencapaian penting sempena 10 tahun penglibatan beliau sebagai sukarelawan TAA, kata penganjur.

Menurut penganjur, Cef Mel yang terkemuka antaranya sebagai pendukung masakan Nusantara, giat memperjuangkan nilai ihsan dan kemurahan hati dalam kalangan masyarakat.

“Saya amat terharu dan bersyukur atas kepercayaan yang diberikan.

“Dipilih sebagai wajah TAA bagi 2026 bukan sekadar pengiktirafan, namun amanah yang saya pikul dengan penuh keikhlasan,” ujar Cef Mel.

Beliau berkata peranan itu menguatkan lagi tekadnya untuk terus menyampaikan mesej kepedulian dan kebersamaan agar usaha membantu sesama insan dapat diteruskan berlandaskan nilai kemanusiaan.

Poster kempen TAA pada 2026 memaparkan kisah seorang benefisiri, Cik Asmah, yang berkerusi roda dan menghidap pelbagai penyakit kronik termasuk darah tinggi, kerapuhan tulang (osteoporosis), kencing manis, demensia progresif dan penyakit Parkinson.

Beliau dijaga sepenuh masa oleh anak lelakinya yang berusia 50 tahun, yang turut mempunyai masalah kesihatan - mata kanannya berselaput atau masalah katarak. Namun, anak lelakinya tetap getir menjaga ibunya itu.

Menurut penganjur, kisah Cik Asmah mencerminkan ketabahan banyak keluarga yang dibantu oleh TAA dalam menghadapi cabaran kehidupan harian.

Dalam pada itu, TAA dijangka mengendalikan reruai khas untuk mengumpul derma di Bazar Geylang Serai, selainm enyediakan kotak derma di beberapa premis makanan dan peruncitan terpilih.

Ia juga telah dilantik sebagai benefisiari rasmi Celebfest Ramadan, yang berlangsung dari 27 Februari hingga 1 Mac di Pusat Konvensyen Suntec City.

Sepanjang Ramadan, sumbangan derma dan zakat juga boleh dibuat secara langsung di Pejabat TAA di Joo Chiat Road, pada waktu operasi yang ditetapkan.

Orang ramai yang ingin menderma boleh berbuat demikian melalui pelbagai saluran yang disenaraikan di laman web TAA, https://taa.org.sg/donate/.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg