Dalam usaha mengurus masa skrin untuk anak-anak, sama ada dalam menonton televisyen atau menonton video daripada peranti mudah alih, Encik Muhammad Noor Danial Noorrashid, 34 tahun, percaya bahawa penerapan tabiat digital yang baik bermula dari rumah.
Masa untuk kanak-kanak menggunakan peranti mudah alih harus dihadkan dan ibu bapa juga harus menyusun kandungan digital untuk memastikan anak mereka hanya menonton kandungan yang bermakna dan sesuai bagi pembangunan mereka, kata bapa dua anak berusia empat dan dua tahun itu.
“Anak-anak kami tidak mempunyai peranti mudah alih dan kami sebagai ibu bapa juga tidak membenarkan mereka menonton video atau bermain aplikasi permainan dalam peranti mudah alih kami sendiri.
“Di rumah, kami memilih saluran dan kandungan untuk ditonton seisi keluarga, sama ada menerusi Netflix, YouTube atau Disney+, dan seluruh keluarga akan menonton bersama.
“Kami juga cuba mengelakkan saluran yang mempunyai imej dan bunyi bergerak yang sangat pantas, yang mungkin sengaja menarik kanak-kanak untuk ketagih dengan saluran itu,” kata Encik Noor Danial, yang bekerja sebagai ejen hartanah.
Pada 21 Januari, pemerintah mengumumkan strategi kesihatan negara baru yang dipanggil Sihat Membesar SG, atau Grow Well SG, untuk menggalak kanak-kanak mengamalkan gaya hidup lebih sihat, antaranya, dengan menggalakkan kanak-kanak berumur 12 tahun dan ke bawah mengurangkan masa skrin mereka.
Di bawah inisiatif baru itu, kanak-kanak berusia antara 18 bulan hingga enam tahun harus mengehadkan penggunaan skrin mereka di luar sekolah kepada kurang daripada satu jam sehari.
Mereka yang berumur tujuh hingga 12 tahun pula harus mengehadkan penggunaan skrin mereka di luar sekolah kepada kurang daripada dua jam sehari.
Bagi golongan ini, ibu bapa juga dinasihatkan agar tidak membenarkan anak-anak mereka mengakses Internet tanpa had, dan membenarkan mereka mengakses perkhidmatan media sosial.
Bagi Encik Noor Danial, beliau mengehadkan masa skrin anak-anaknya selepas sekolah kepada kira-kira 1.5 jam setiap hari untuk menonton televisyen.
Walaupun beliau mempunyai iPad, Encik Noor Danial tidak membenarkan anak-anaknya menggunakannya di rumah, dan hanya membenarkan mereka menggunakannya apabila mereka keluar dari rumah.
“Jika anak perempuan saya menggunakan iPad, dia biasanya akan menggunakan aplikasi yang menggalakkan pembelajaran, seperti melukis, melengkapkan teka-teki atau memadankan gambar.
“Jadi, daripada bergantung pada peranti mudah alih, mereka menghabiskan masa mereka dengan mainan mereka atau menonton televisyen sekeluarga,” kata Encik Noor Danial.
Mengulas mengenai pengumuman itu, Encik Noor Danial berkata beliau mengalu-alukan langkah lebih ketat pemerintah untuk mengehadkan masa skrin dalam kalangan kanak-kanak.
Ini katanya dapat menggalakkan ibu bapa untuk memainkan peranan yang lebih aktif dalam kehidupan anak-anak mereka selain daripada hanya bergantung pada peranti mudah alih.
“Ia pasti akan membuatkan kita lebih sedar, untuk meluangkan lebih banyak masa bersama anak-anak di luar, makan di luar bersama keluarga dan menyertai acara yang menggalakkan ikatan kekeluargaan,” tambahnya.
“
“Anak-anak kami tidak mempunyai peranti mudah alih dan kami sebagai ibu bapa juga tidak membenarkan mereka menonton video atau bermain aplikasi permainan dalam peranti mudah alih kami sendiri... Jadi, daripada bergantung pada peranti mudah alih, mereka menghabiskan masa mereka dengan mainan mereka atau menonton televisyen sekeluarga.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg