Topik diikuti
Pergi ke BHkuTaktik licik saksikan kes kenderaan batal pendaftaran diguna meningkat, sukar dikesan
Naik daripada 75 kes pada 2024 kepada 245 pada 2025, sejajar usaha kuat kuasa yang dipertingkat
Taktik licik saksikan kes kenderaan batal pendaftaran diguna meningkat, sukar dikesan
Jumlah kenderaan yang dilaporkan masih digunakan di jalan raya selepas pendaftarannya dibatalkan, telah meningkat sejak 2024.
Ia sejajar dengan usaha penguatkuasaan yang dipertingkat pihak berkuasa, kata Penguasa Pengangkutan Darat (LTA).
Semasa menjawab pertanyaan Berita Harian (BH), LTA berkata sejak Januari, pihaknya telah menyiasat lebih 248 kes dan merampas 440 kenderaan sedemikian, termasuk kenderaan yang diserahkan kepada agensi itu oleh agensi penguatkuasaan lain.
Sebelum ini, LTA berkata jumlah kenderaan yang masih digunakan di jalan raya selepas pendaftarannya dibatalkan dan dikesan pihak berkuasa telah melonjak daripada 75 kes pada 2024 kepada 245 pada 2025.
“Kami memandang serius kesalahan ini dan bekerjasama rapat dengan agensi penguatkuasaan lain, seperti Pasukan Polis Singapura (SPF), untuk mengesan serta mengambil tindakan terhadap pesalah,” kata jurucakap LTA.
Isu kenderaan sedemikian mendapat perhatian menyusuli satu kes nahas di Tampines Avenue 12, melibatkan kereta dibatalkan pendaftarannya yang meragut nyawa sepasang ibu bapa pada 29 Oktober.
Kenderaan yang telah dibatalkan pendaftarannya merujuk kepada kenderaan termasuk kereta dan motosikal, yang pendaftaran rasminya telah dibatalkan dan tidak lagi mempunyai cukai jalan, insurans atau Sijil Hak Memiliki Kenderaan (COE) yang sah.
Kenderaan sedemikian tidak boleh digunakan dan perlu dilupuskan di kawasan simpanan sekerap yang dilantik LTA, atau dieksport ke luar negara.
Menurut kenyataan LTA pada 8 September, beberapa kenderaan yang dibatalkan pendaftarannya digunakan untuk kegiatan jenayah seperti pengedaran dadah dan terlibat dalam kemalangan langgar lari.
LTA menambah, kenderaan sedemikian masih disimpan atau digunakan secara haram kerana pesalah menggunakan pelbagai cara untuk mengelak daripada dikesan pihak berkuasa.
Antaranya termasuk memindahkan kenderaan tersebut melalui beberapa orang tengah atau memasang nombor plat palsu bagi menyukarkan usaha mengenal pasti dan menjejaki kenderaan sedemikian.
LTA turut mendedahkan bahawa sesetengah pihak menggunakan kaedah lebih licik untuk mendapatkan kenderaan sedemikian, termasuk mempergunakan golongan bawah umur serta menggunakan wadah dalam talian seperti Telegram.
Menurut pengasas syarikat kereta Gynacarlogist, Encik Farehan Hussein, kenderaan yang telah dibatalkan pendaftarannya mungkin tidak diselenggarakan dan tidak berada dalam keadaan selamat untuk dipandu.
Beliau juga berkata kenderaan sedemikian juga lazimnya tidak mempunyai perlindungan insurans.
“Oleh itu, sesiapa yang mengalami kecederaan melibatkan kenderaan sebegitu akan menghadapi cabaran dalam mendapatkan pampasan atau membuat tuntutan insurans,” kata beliau, yang telah menubuhkan syarikat tersebut sejak 2022.
Di bawah skim itu, kenderaan yang telah dibatalkan pendaftarannya dan akan dieksport untuk pelupusan wajib melakukannya melalui pengeksport yang diberi kuasa oleh LTA.
Sejak Februari, hukuman maksimum bagi kesalahan menyimpan atau menggunakan kenderaan yang tidak berdaftar atau dibatalkan pendaftarannya telah ditingkatkan dengan ketara.
Pesalah kali pertama boleh dikenakan denda sehingga $20,000, hukuman penjara sehingga dua tahun, atau kededuanya.
“Langkah ini akan memperkukuh usaha pencegahan, meningkatkan kebertanggungjawaban dan mengurangkan risiko kenderaan dibatalkan pendaftarannya kembali ke jalan raya kami,” kata LTA.
