Pencinta alam akan mempunyai tempat baru untuk melihat burung pantai berhijrah dan meneroka laluan yang dipertingkatkan di koridor alam semula jadi yang diperbaharui mulai 2028.
Taman Alam Mandai Mangrove dan Mudflat – sebuah taman alam seluas 72.8 hektar yang terletak kira-kira tiga kilometer (km) dari Paya Simpanan Sungei Buloh – akan menampilkan laluan pesisir bakau serta tempat memerhatikan burung migrasi seperti common greenshanks dan Pacific golden plovers tanpa haiwan tersebut diganggu.
Ini diumumkan oleh Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee, pada 22 Januari.
“Lembaga Taman Negara (NParks) akan memastikan kerja-kerja penambahbaikan dijalankan dengan sensitif, dan langkah-langkah mitigasi dilaksanakan.
“Usaha ini bukan sahaja memperkukuh hubungan ekologi kita dan memperluaskan modal alam semula jadi, namun ia juga menyediakan lebih banyak peluang rekreasi berasaskan alam semula jadi untuk rakyat Singapura,” kata beliau dalam satu catatan Facebook pada hari yang sama.
Sebagai salah satu kawasan paya paling kaya di Singapura, tapak Mandai Mangrove dan Mudflat menjadi ‘kediaman’ kepada lebih 380 spesies fauna dan 190 flora, serta merupakan kawasan penting bagi burung pantai migrasi memburu makanannya.
Di Koridor Alam Bukit Batok pula, pengunjung boleh menikmati laluan, plaza senaman baru serta keindahan tebing sungai yang dipertingkat.
Ciri-ciri ini akan dilancarkan secara berperingkat mulai 2028.
Koridor ini – yang diumumkan pada Disember 2020 – terdiri daripada lebih 125 hektar taman alam dan 10 km denai semula jadi, penghubung taman dan beberapa siri taman.
Koridor-koridor seperti ini membantu menyokong hubungan ekologi antara kawasan kaya biodiversiti seperti rizab alam dan taman, yang penting untuk haiwan liar bergerak untuk mencari makanan dan pasangan di kawasan hijau lain.
Sebagai sebahagian daripada penilaian impak alam sekitar untuk pembangunan tapak ini, kajian yang dijalankan dari Februari 2022 hingga April 2023 mendapati bahawa sekurang-kurangnya 200 daripada lebih 1,200 spesies flora dan fauna yang dicatatkan adalah penting untuk pemuliharaan.
Ini termasuk tumbuhan yang terancam kritikal seperti orkid nervilia Singapura dan jenis-jenis haiwan seperti pangolin Sunda.
Kawasan hutan yang telah tumbuh semula selepas pembersihan hutan dahulu akan dipertingkat, menjadikannya lebih tahan lasak dan kaya dengan biodiversiti untuk jangka panjang.
Akses yang lebih baik ke kawasan-kawasan ini dengan rangkaian laluan yang dipertingkat akan membolehkan lebih ramai pengunjung menikmati taman-taman ini, dan pengalaman di setiap taman akan dipertingkatkan bagi mereka yang gemar mendalami persekitaran hutan.
Laporan penilaian ini boleh diperolehi di laman web NParks dan terbuka untuk maklum balas awam.
Menurut NParks juga, langkah-langkah mitigasi seperti mengelakkan kerja-kerja di kawasan hutan yang mempunyai nilai pemuliharaan yang tinggi serta menyelamatkan tumbuhan yang penting untuk pemuliharaan akan dilaksanakan bagi mengurangkan gangguan kepada persekitaran semula jadi.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg