Pelaburan Singapore Airlines (SIA) dalam Air India harus dinilai berdasarkan meritnya sebagai satu urusan korporat dan komersial, dan tidak dijadikan satu isu perkauman, kata Taman Bacaan Pemuda Pemudi Melayu Singapura.

Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan pada 7 September, presiden badan Melayu/Islam itu, Encik Abdul Halim Kader, berkata terdapat ruang di Singapura untuk perbahasan yang teguh, termasuk mempersoalkan keputusan, mencabar institusi dan menuntut kebertanggungjawaban.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa kaum tidak seharusnya menjadi “mata wang dalam perdebatan tersebut”.

“Apabila kritikan terhadap sesebuah pertubuhan bertukar menjadi syak wasangka terhadap seseorang individu disebabkan oleh etnik beliau, atau apabila sesebuah masyarakat dikaitkan secara keseluruhannya dengan tindakan sesebuah syarikat atau negara, satu batas penting telah dilampaui,” kata beliau.

Encik Abdul Halim berkata pihaknya amat prihatin terhadap sentimen anti-India yang timbul dalam sebahagian wacana awam susulan beberapa kejadian baru-baru ini.

Ini termasuk banjir dahsyat di Nepal yang menyebabkan ribuan orang hilang, termasuk sembilan warga Singapura masih belum ditemui, serta isu SIA-Air India.

Encik Wong berkata bahawa pandangan sedemikian tidak mewakili Singapura, sambil menambah bahawa jika tingkah laku sedemikian dibiarkan, ia boleh menjadi kebiasaan, mendalamkan rasa curiga antara masyarakat dan memecahbelahkan negara.

Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong, dalam satu kiriman Facebook pada 6 September turut melahirkan rasa sangat bimbang melihat komen berunsur perkauman dan kenyataan penuh kebencian ditujukan kepada masyarakat India berikutan tragedi banjir di Nepal.

Sebelum ini, Menteri Kanan, Encik K. Shanmugam, telah memberitahu media bahawa polis sedang meneliti komen berunsur perkauman dan xenofobia berhubung kejadian banjir di Nepal dan pelaburan SIA dalam Air India itu.

Encik Abdul Halim berkata Taman Bacaan mengalu-alukan pendirian Encik Lee dan Encik Shanmugam, dalam menentang retorik berbaur perkauman dan kebencian itu.

Beliau turut menyokong keputusan Pasukan Polis Singapura (SPF) untuk meneliti komen yang mungkin telah melanggar batas undang-undang, sambil menegaskan bahawa sekiranya undang-undang telah dilanggar, pihak berkuasa seperti Kementerian Dalam Negeri (MHA) harus diberi ruang untuk menjalankan tugas mereka dengan “adil dan tegas”.

“Di luar aspek penguatkuasaan, setiap seorang daripada kita mempunyai tanggungjawab untuk memelihara keharmonian sosial Singapura.

“Sebelum membuat hantaran, berkongsi atau meninggalkan komen (di media sosial), kita harus bertanya kepada diri sendiri sama ada kata-kata kita menyumbang kepada pemahaman atau sebaliknya memperdalam rasa curiga,” tambah Encik Abdul Halim.

Dalam pada itu, beliau menyatakan bahawa pemimpin masyarakat juga harus bersedia bersuara apabila timbul ketegangan, manakala pertubuhan perlu menyediakan ruang bagi menggalakkan dialog.

Pada masa yang sama, rakyat Singapura perlu menolak sebarang percubaan, sama ada berasal dari dalam atau luar negara, yang mahu menggunakan kepelbagaian untuk memecahbelahkan masyarakat, menurutnya.

“Kita boleh tidak bersetuju tanpa merendahkan orang lain. Kita boleh mempersoalkan sesuatu tanpa menjadikannya isu perkauman.

“Kita boleh menuntut kebertanggungjawaban tanpa mengutuk sesebuah masyarakat,” ujar Encik Abdul Halim.