Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tan Cheng Bock, Hazel Poa undur dari kepimpinan PSP

Jul 5, 2025 | 8:26 PM
Dr Tan Cheng Bock, PSP, Hazel Poa
Pengasas merangkap Pengerusi Parti Kemajuan Singapura (PSP), Dr Tan Cheng Bock, dan naib pengerusi, Cik Hazel Poa, telah meletak jawatan daripada barisan kepimpinan parti itu. - Foto PSP

Pengasas dan Pengerusi Parti Kemajuan Singapura (PSP), Dr Tan Cheng Bock, serta mantan Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP) parti itu, Cik Hazel Poa, yang juga Naib Pengerusi, telah meletak jawatan daripada barisan kepimpinan parti.

Bendahari parti, Encik S. Nallakaruppan, turut meletak jawatan daripada Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC), menurut kenyataan media yang dikeluarkan parti itu pada 5 Julai.

Encik A’bas Kasmani, yang sebelum ini memegang jawatan Naib Pengerusi Kedua, akan menggantikan tempat Dr Tan.

Manakala Encik Anthony Neo, yang sebelum ini Penolong Bendahari, akan mengambil alih jawatan Bendahari daripada Encik Nallakaruppan, lapor The Straits Times (ST).

Dr Tan, Cik Poa dan Encik Nallakaruppan – yang kesemuanya tewas dalam Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025) pada Mei – akan kekal sebagai anggota parti, dengan Dr Tan dilantik sebagai penasihat parti.

CEC turut melantik tiga anggota baru ke dalam jawatankuasa itu, iaitu Encik Sani Ismail, Encik Lawrence Pek dan Cik Stephanie Tan. 

Ketiga-tiga mereka pernah bertanding sebagai calon PSP dalam GE2025, namun tewas dengan calon Parti Tindakan Rakyat (PAP).

Encik Sani, seorang peguam, bertanding di GRC West Coast-Jurong West, manakala Encik Pek, bekas Setiausaha Agung Persekutuan Perkilangan Singapura, bertanding di GRC Chua Chu Kang.

Cik Tan, seorang suri rumah dan bekas peguam, bertanding di SMC Pioneer. 

Mereka tidak memegang sebarang jawatan khusus dalam CEC, yang merupakan badan pembuat keputusan tertinggi parti.

Dalam sidang media di ibu pejabat parti di Pusat Membeli-belah Bukit Timah pada 5 Julai, Ketua Parti, Encik Leong Mun Wai, merakamkan penghargaan kepada Dr Tan, Cik Poa dan Encik Nallakaruppan.

Menyifatkan perubahan kepimpinan ini sebagai satu “detik besar” bagi PSP, Encik Leong berkata:

“Hari ini, kami melancarkan sebuah parti yang diperbaharui.”

Pelan pembaharuan itu akan melibatkan empat bidang utama, termasuk melahirkan barisan pemimpin baru, membina kepercayaan lebih kukuh dengan rakyat Singapura, membantu rakyat memahami dasar pemerintah dengan lebih baik, serta memperkukuh kehadiran parti di dalam talian.

Beliau menambah bahawa keputusan GE2025 merupakan satu “panggilan peringatan yang kuat” bagi PSP, namun parti itu akan terus mendengar dan berusaha untuk berkhidmat buat rakyat Singapura dengan lebih baik.

Dalam sidang media itu, Dr Tan berkata beliau sentiasa percaya bahawa pemimpin perlu berkhidmat dan bukan terus berpaut kepada kuasa. 

Justeru, Dr Tan mengumumkan pengundurannya dengan semangat tersebut dan “dengan hati yang tenang, kerana tahu parti kini berada dalam tangan yang baik”.

Beliau turut menyifatkan Encik Sani, Cik Tan dan Encik Pek sebagai “wakil generasi baru yang akan membawa panji PSP ke hadapan”. 

Penggantinya, Encik A’bas, berkata legasi Dr Tan sebagai seorang pemimpin yang penyayang, terangkum dan bertanggungjawab akan terus menjadi panduan utama parti. 

Beliau turut menyifatkan pelantikannya sebagai “cabaran untuk membawa PSP ke tahap yang lebih tinggi”.

Ini merupakan langkah perubahan kepimpinan kedua PSP pada 2025, selepas rombakan awal pada Mac bagi GE2025.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg