KUALA LUMPUR: Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif, menolak dakwaan bahawa bandar itu tidak selamat didiami, sedang usaha mencari dan menyelamat seorang wanita yang terjatuh ke dalam lubang dek tanah jerlus di Jalan Masjid India memasuki hari keempat.
Pada 23 Ogos, seorang wanita dikenali sebagai Cik Vijayaletchumy, 48 tahun, yang sedang melawat Malaysia, sedang berjalan di kawasan itu apabila beliau terjatuh ke dalam lubang sedalam lapan meter ekoran kejadian tanah jerlus itu.
Sehingga lewat petang 26 Ogos, mangsa yang ‘ditelan’ tanah jerlus itu belum ditemui. Hanya sepasang selipar dipercayai milik mangsa ditemui semasa operasi mencari, lapor The Straits Times.
Dalam satu kenyataan pada 26 Ogos, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyatakan Indah Water Konsortium (IWK) akan melakukan pemecahan serpihan menggunakan ‘jetter’ (pembersih saluran paip bertekanan tinggi) dalam usaha mencari mangsa.
Operasi pemecahan serpihan itu akan dilakukan di lurang hilir yang jaraknya sekitar 69 meter dari tapak kejadian.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) turut mencari mangsa di Loji Pantai Dalam IWK.
“Pihak IWK sudah melaksanakan teknik ‘flushing’ di Lurang Kumbahan 5 mulai lewat malam tadi hingga 2 pagi hari ini, tetapi masih belum menemui sebarang petunjuk.
“Orang awam dinasihatkan supaya tidak berada berhampiran lokasi insiden ini bagi memastikan kelancaran kerja pencarian,” kata kenyataan itu.
Menurut laporan lain, teknik ‘flushing’ di lurang itu dilaksanakan setelah agensi terlibat dalam operasi tersebut mendapati arus di lurang terus agak perlahan, dipercayai disebabkan ada sekatan atau puing.
Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, serta Angkatan Pertahanan Awam dilihat membuka lurang itu sekitar 9.30 pagi.
Beberapa anggota membawa tali dan peralatan lain ketika mereka turun ke dalam lurang itu.
Dalam pada itu, sebuah syarikat pengurusan sisa Singapura, Jetters Incz, menawarkan secara sukarela bantuan dalam usaha mencari dan menyelamat itu, lapor Malay Mail.
Menurut syarikat itu, ia ingin menawarkan khidmatnya selepas mengetahui salah satu teknik yang digunakan untuk mencari mangsa ialah ‘flushing’ .
“Sebagai pakar dalam bidang ini, kami ingin menawarkan bantuan sukarela untuk membantu usaha siasatan dan pencarian (mangsa),” katanya dalam satu kenyataan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg