Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Peniaga dakwa pendapatan terjejas, penduduk pula bimbang keselamatan

Aug 26, 2024 | 5:56 PM
Penduduk di bangunan Flat Malayan Mansion yang terletak berhampiran lokasi kejadian tanah jerlus di Masjid India, Kuala Lumpur bimbang tentang keselamatan mereka.
Penduduk di bangunan Flat Malayan Mansion yang terletak berhampiran lokasi kejadian tanah jerlus di Masjid India, Kuala Lumpur bimbang tentang keselamatan mereka. - Foto BH oleh HANNEEYZAH BAHARIN

Kejadian tanah jerlus di Masjid India, Kuala Lumpur, yang menyebabkan seorang wanita warga India terjerumus lalu hilang sejak 23 Ogos, bukan saja menyebabkan peniaga dan penduduk kawasan tumpuan pelancong itu bimbang akan keselamatan mereka, malah ramai terjejas mata pencarian.

Peniaga mendakwa pendapatan mereka merosot kerana orang ramai takut mengunjungi Masjid India.

Lebih 800 penduduk terutama di Flat Malayan Mansion, berketinggian lapan tingkat yang terletak kira-kira 50 meter dari tempat kejadian pula bimbang tragedi buruk seperti ‘Highland Towers’ di Selangor – iaitu runtuhan kondominium akibat tanah runtuh pada Disember 1993 berulang.

Seorang peniaga pakaian yang hanya mahu dikenali sebagai Encik Muhammad, 50-an tahun, memberitahu Berita Harian (BH), sejak sebulan lalu perniagaan mereka agak perlahan kerana faktor cuaca yang tidak menentu dan kerap hujan, selain banjir kilat di beberapa kawasan di Kuala Lumpur yang menyebabkan mereka kurang menerima pelanggan.

“Sekarang dengan kejadian tanah jerlus yang mangsanya belum ditemui menambahkan lagi kebimbangan orang ramai terutama pelancong untuk ke sini.

“Bagi mereka yang sudah biasa dengan kawasan Masjid India mungkin faham selok-belok dan lokasi tepat kejadian, tetapi pelancong mungkin tidak tahu, justeru bimbang keselamatan mereka untuk ke sini.

“Kami berdoa semoga mangsa segera ditemui dan tempat kejadian boleh dibaiki secepat mungkin. Lebih kasihan buat peniaga yang premis mereka terletak betul-betul dekat dengan lokasi tanah jerlus,” katanya ketika ditemui BH.

Peniaga, Abdul Rahman Abdul Jaafar, 60 tahun, berkata beliau sudah 30 tahun berniaga di situ dan ramai pelanggan menghubunginya menyatakan rasa takut untuk datang ke Masjid India berikutan kejadian itu.

Penduduk Flat Malayan Mansion, Cik Syuhada, 40-an tahun, pula berkata cuaca yang kerap hujan kebelakangan ini menyebabkan penduduk dirundung kebimbangan sekiranya akan berlaku kejadian tanah jerlus seumpamanya yang menjejas kediaman mereka.

“Siapa yang tak bimbang, lokasi kejadian tanah jerlus itu tidak jauh dari rumah kami. Apatah lagi flat ini juga terletak berhampiran sungai.

“Dengan banyak kawasan di ibu kota sering dilanda banjir kilat, ia menambah ketakutan kami di sini,” katanya yang berharap pihak berkuasa dapat memastikan keselamatan kawasan itu.

Sementara itu tempat kejadian berkenaan turut menarik perhatian warga India yang datang ke Malaysia kerana terkesan dengan kejadian menimpa rakan senegara mereka.

Cik T Gomathy, 50-an tahun, berkata mereka berada di Malaysia sejak sebulan lalu dan akan pulang ke Tamil Nadu, India, pada awal September.

“Walaupun kami tidak kenal mangsa, tetapi sebagai rakan senegara, kami juga sedih. Hari ini kami datang dengan harapan dapat berjumpa keluarga mangsa untuk memberi semangat, tetapi setakat ini belum dapat bertemu,” katanya sambil menitiskan air mata.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg