Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tanam pokok, video, lukisan mural antara cara warga peringati LKY sempena ulang tahun ke-100

Sep 18, 2023 | 12:25 PM
TANAM POKOK: Encik Leong Chun Chong (paling kiri) bersama cucunya Celyn Sim (tengah) dan isterinya Lily (kanan), bersebelahan pokok Derum Bukit yang mereka tanam di Taman Pasir Ris pada Sabtu.
TANAM POKOK: Encik Leong Chun Chong (paling kiri) bersama cucunya Celyn Sim (tengah) dan isterinya Lily (kanan), bersebelahan pokok Derum Bukit yang mereka tanam di Taman Pasir Ris pada Sabtu. - Foto ZAOBAO

Perdana Menteri Pengasas, mendiang Encik Lee Kuan Yew, adalah tokoh paling dikagumi Encik Leong Chun Chong, 73 tahun.

Oleh itu ia amat bermakna bagi pensyarah yang sudah bersara itu untuk menanam pokok pada ulang tahun ke-100 kelahiran mendiang Encik Lee.

Lagipun, mendiang Encik Lee sering dikatakan sebagai ‘ketua tukang kebun Singapura’ kerana visinya untuk menghijaukan negara dan mengubahnya menjadi ‘bandar taman’.

Perdana Menteri pertama Singapura itu, yang disifatkan secara meluas sebagai pengasas Singapura moden, meninggal dunia pada 2015 pada usia 91 tahun.

Encik Leong berkata: “Saya amat mengagumi Encik Lee Kuan Yew kerana pandangan jauhnya yang luar biasa, dan generasi saya paling banyak mendapat manfaat (daripada kepimpinannya).

“Kita berubah daripada sebuah tanah lumpur kepada metropolis moden.”

Acara penanaman pokok itu juga istimewa buat Encik Leong kerana beliau dan isterinya, Cik Lily, 70-an tahun, menyambut ulang tahun perkahwinan mereka yang ke-45 pada Sabtu.

Cucu perempuannya, Celyn Sim, 11 tahun, menyertai mereka menanam pokok Cratoxylum maingayi, atau juga dikenali sebagai pokok Derum Bukit.

Encik Leong dan keluarganya adalah sebahagian daripada lebih 45 keluarga yang menanam sejumlah 50 pokok pantai dan asli, seperti pokok mempat merah jambu (Cratoxylum formosum) dan pokok False Lime (Suregada multiflora) di Taman Pasir Ris pada pagi Sabtu.

Kelab NTUC menganjurkan acara itu, yang turut menyumbang kepada usaha seluruh negara oleh Lembaga Taman Negara (NParks) untuk menanam satu juta pokok menjelang 2030.

Menteri Negara Kanan (Pertahanan) yang juga Timbalan Setiausaha Agung NTUC, Encik Heng Chee How, merasmikan majlis itu.

Beliau berkata 2023 juga menandakan ulang tahun ke-60 sejak mendiang Encik Lee melancarkan kempen penanaman pokok pertama di seluruh negara pada 1963.

Encik Heng berkata adalah penting mengingati nilai dan asas yang telah diwujudkan oleh mendiang Encik Lee dan para pemimpin pengasas, dan memperbaiki asas itu.

Tambahnya, acara seperti penanaman pokok adalah simbol bahawa rakyat Singapura komited untuk melindungi aset negara, sama ada semula jadi atau kewangan, bagi generasi sekarang dan generasi akan datang.

Pelbagai acara lain diadakan di seluruh negara untuk menandakan ulang tahun kelahiran mendiang Lee.

Kawasan Undi Perwakilan Kumpulan (GRC) Aljunied dan Kawasan Undi Perseorangan (SMC) Hougang melancarkan sebuah video di Kelab Masyarakat (CC) Serangoon bagi memperingati sumbangan mendiang Encik Lee kepada Singapura.

Sekitar 250 tetamu menonton video sepanjang 40 minit itu, yang memaparkan dua pelajar menemu bual anggota masyarakat untuk mendapatkan pemahaman yang lebih mendalam tentang warisan mendiang Encik Lee.

Video itu juga disiarkan di wadah media sosial GRC Aljunied dan SMC Hougang.

Di samping itu, sebuah mural sepanjang 67 meter dengan ketinggian 1.7 meter bertajuk Singapore On Canvas turut didedahkan di stesen MRT Tanjong Pagar pada Sabtu.

Artis tempatan, Encik Ng Peng Sing, 69 tahun, mengambil masa hampir dua tahun untuk menyiapkan mural itu, yang menggambarkan peristiwa dan tokoh penting dalam sejarah Singapura.

Ia akan dipamerkan di stesen MRT Tanjong Pagar sekurang-kurangnya setahun.

SMRT dan Pertubuhan Akar Umbi (GRO) Tanjong Pagar-Tiong Bahru melancarkan mural itu, yang mereka sifatkan sebagai mural terpanjang berkaitan seni sejarah yang dilukis di Singapura.

Tanjong Pagar telah lama dikaitkan dengan mendiang Encik Lee, yang mewakili penduduk di sana selama 60 tahun.

Pengerusi SMRT, Encik Seah Moon Ming, berkata mural itu meraikan perkembangan penting Singapura dalam tempoh 200 tahun lalu dan memperingati ulang tahun ke-100 kelahiran mendiang Encik Lee.

Encik Ng memberitahu akhbar The Straits Times (ST) bahawa beliau berharap rakyat Singapura yang lebih muda akan belajar tentang sejarah negara melalui mural itu.

Beliau menambah bahawa mendiang Encik Lee memainkan peranan penting dalam pembangunan Singapura.

Katanya: “Encik Lee adalah seorang yang berwawasan, dan beliau benar-benar mencurahkan isi hatinya untuk membina Singapura... jarang ada pemimpin seperti beliau.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg