Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18

Tangani isu kontemporari guna proses fatwa agar bimbingan agama kekal relevan, bermanfaat

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

WACANA

Tangani isu kontemporari guna proses fatwa agar bimbingan agama kekal relevan, bermanfaat

Jan 28, 2024 | 05:32 AM



Singapura mencapai kemerdekaannya pada 1965. Sebagai sebuah negara yang muda dan berbilang bangsa dan budaya, ia perlu segera mengenal pasti cabaran dan peluang yang bakal dilalui.

Kepelbagaian kepercayaan dan penganut agama juga merupakan satu keunikan komposisi negara sekular ini dan sekali gus hadir bersamanya cabaran yang tersendiri.

Masyarakat Islam Singapura melalui fasa-fasa kehidupan beragama yang pelbagai dan sering berhadapan dengan persoalan-persoalan hukum-hakam yang dipengaruhi oleh perkembangan semasa.

Dengan perkembangan sebegini yang disedari oleh kepimpinan masyarakat dan pemerintah, Akta Pentadbiran Hukum Islam atau Administration of Muslim Law Act (Amla) dibentuk dan diluluskan oleh Parlimen pada 1966.

Sebagai sebahagian daripada respons terhadap cabaran yang dihadapi dan keperluan semasa serta memenuhi aspirasi masyarakat Islam Singapura, Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) ditubuhkan pada 1968 sebagai badan berkanun untuk mentadbir hal ehwal Islam dan Muslim Singapura.

Ini termasuk urusan pentadbiran masjid, zakat, panduan agama, fatwa dan sebagainya.

Fatwa Singapura –
Tahun-Tahun Awal

Sebelum kemerdekaan, umat Islam Singapura sering merujuk fatwa-fatwa yang diedarkan sama ada daripada Kadi Besar Singapura, para guru agama tempatan atau yang dikeluarkan oleh Mufti Negeri Johor.

Meskipun kebiasaan itu berjalan untuk jangka masa tertentu, keperluan kepada proses yang sistematik dalam pencernaan fatwa yang lebih tersusun daripada sumber induk yang satu mengikut kesesuaian tempat dan masa pihak yang bertanya atau mustafti mula dirasakan.


Sebagai menyahut cabaran yang semakin dinamik, Jawatankuasa Fatwa Muis telah dibentuk pada 1968.

Jawatankuasa tersebut telah mula mengeluarkan fatwa yang pertama selepas mesyuarat pertamanya pada 31 Oktober 1968.

Pada mulanya, Mufti bersendirian di pejabatnya dengan dibantu oleh empat orang anggota Jawatankuasa Fatwa (yang berkhidmat secara sukarela) dan pegawai daripada unit lain selaku setiausaha dan sekali gus memainkan peranan sebagai sekretariat Jawatankuasa Fatwa.

Dengan meningkatnya isu-isu baru yang memerlukan pendirian fatwa dan panduan agama daripada kepimpinan yang lebih berstruktur, Muis kemudian memutuskan untuk menubuhkan sebuah jabatan yang dinamakan Pejabat Mufti pada 1999.

Tugas utama Pejabat Mufti adalah membantu Mufti dalam perkara-perkara keagamaan, termasuk program-program pendidikan awam, irsyad dan panduan agama, kajian sosio-agama dan fatwa, di samping menyediakan khidmat sekretariat kepada Jawatankuasa Fatwa.


Rangka Kerja Fatwa

Sesiapa sahaja boleh mengemukakan soalan dan meminta fatwa daripada Jawatankuasa Fatwa.

Amla memperuntukkan kuasa kepada Jawatankuasa Fatwa untuk memutuskan sama ada pertanyaan yang diajukan perlu dibincangkan secara rasmi untuk dikeluarkan fatwa rasmi.

Setiap fatwa yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa merupakan fatwajama’i (kolektif); atas dasar sebulat suara seluruh anggota Jawatankuasa Fatwa yang membentuk kuorum perbincangan fatwa-fatwa tersebut.


Jika kesepakatan tidak terhasil, maka fatwa mengenainya tidak boleh dikeluarkan. Perkara tersebut akan dirujukkan kepada Majlis Tertinggi Muis yang akan membincangkannya dan membuat pertimbangan sama ada akan mengeluarkan jawapan mengenainya atau tidak.

Sekiranya Majlis Tertinggi memutuskan untuk mengeluarkan jawapan mengenainya, ia akan dianggap sebagai irsyad atau panduan umum sahaja, bukan fatwa.


Irsyad juga merujuk kepada soalan-soalan atau kemusykilan agama yang tidak dikemukakan kepada Jawatankuasa Fatwa dan dijawab oleh Pejabat Mufti atau mana-mana asatizah yang bertauliah dan diiktiraf.


Metodologi Fatwa

Proses perbincangan fatwa Muis berjalan berdasarkan proses ijtihad yang sejajar dengan tradisi yang dibahaskan oleh ulama usul.

Al-Quran, Sunah, Ijmak dan Kias menjadi panduan utama.

Ini diikuti dengan penggunaan kaedah-kaedah pendalilan yang lain seperti Al-Istihsan, Al-Istishab, Mazhab Sahabah, Sadd Az-Zarai’, Al-’Urf dan Al-Masalih Al-Mursala.


Jawatankuasa Fatwa bertanggungjawab memastikan kesahihan proses-prosesnya.

Sekiranya terdapat percanggahan dalil, Jawatankuasa Fatwa akan memfatwakan dengan pendapat yang arjah (paling kuat) antara dalil-dalil tersebut di samping mengambil kira faktor konteks semasa di Singapura.


Jawatankuasa Fatwa juga mengambil kira tujuan utama Syariah (Al-Maqasid As-Syari’ah) sebagai panduan asas dalam membuat pendirian terhadap persoalan fatwa yang dikemukakan.

Meskipun Amla menetapkan bahawa setiap fatwa yang dikeluarkan perlu terlebih dahulu berpandukan mazhab Syafii, namun jika pendapat yang muktabar dalam mazhab Syafii didapati tidak atau kurang memenuhi matlamat dalam mencapai penyelesaian atau maslahah terhadap isu yang ditanyakan, pendapat-pendapat daripada mazhab-mazhab fiqah lain boleh diambil kira dan diguna pakai di samping ijtihad baru yang mungkin sahaja dilakukan berdasarkan metodologi dan prinsip-prinsip di atas terhadap perkara-perkara baru.


Ini adalah selari dengan perbincangan para ulama usul berkaitan prinsip dan proses penetapan fatwa, di mana matlamat mencapai maslahah dan mengelakkan mafsadah di samping Al-Maqasid As-Syari’ah merupakan faktor-faktor pertimbangan utama.


Fatwa Proaktif dan Progresif

Dalam dunia yang pesat berubah disebabkan perkembangan teknologi maklumat hari ini, kepimpinan agama termasuk Jawatankuasa Fatwa berhadapan dengan cabaran yang memerlukan kesediaan dan keyakinan diri untuk mencari huraian menerusi ijtihad terhadap lebih banyak perkara-perkara baru yang timbul.

Ujian pandemik yang lalu adalah pengalaman jelas dalam hal ini.

Berpandukan prinsip-prinsip dan metodologi yang disebutkan di atas, Jawatankuasa Fatwa telah membuat pendirian agama yang sukar tetapi praktikal dalam menyelesaikan keperluan mendesak masyarakat, termasuk fatwa-fatwa penutupan masjid semasa penularan wabak, sistem tempahan untuk solat jemaah, penundaan ibadah haji dan sebagainya.

Pengiktirafan

Pada 18 Oktober 2022, Jawatankuasa Fatwa Muis menerima Anugerah Imam Al-Qarafi bagi pendekatan yang progresif dan cemerlang dalam Fatwa daripada Sekretariat Agung bagi Pihak Berkuasa Fatwa Sedunia, pimpinan Dar Al-Ifta Mesir.

Alhamdulillah, Singapura adalah penerima pertama dalam kalangan masyarakat Islam minoriti.

Mufti dan Jawatankuasa Fatwa Muis diiktiraf atas sumbangan mereka dalam menangani pandemik Covid-19 dan isu-isu kontemporari lain.

Respons pantas Jawatankuasa Fatwa dalam menangani pandemik Covid-19 mengisyaratkan kemampuan masyarakat Islam berhadapan ujian kehidupan yang genting, dengan berpaksikan pada turath peninggalan ulama silam serta pencernaan Fiqh Al-Waqi’ dalam cabaran kontemporari.


Fatwa Singapura –
Evolusi Berterusan Masa Depan

Pendekatan proaktif yang diambil Jawatankuasa Fatwa dalam melihat pada cabaran masa kini dan masa depan, serta menganalisis kesannya pada masyarakat, merupakan evolusi yang menandakan peralihan ke arah pendekatan yang lebih dinamik.

Dengan memanfaatkan pemahaman mendalam tentang prinsip Islam dan konteks kontemporari, Jawatankuasa Fatwa bersedia memperkasa masyarakat untuk mengemudi cabaran moden dengan penuh keyakinan, berpengetahuan dan berdaya tahan.

Penglibatan secara proaktif ini dalam menangani isu kontemporari menerusi proses fatwa mencerminkan komitmen memastikan bimbingan agama kekal relevan dan bermanfaat dalam kehidupan masyarakat.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >