Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tangani salah tanggapan masyarakat dengan jelas, jujur dan terbuka

Pemimpin masyarakat akur peri penting dialog bagi bincangkan isu yang menjejas landskap keselamatan S’pura anjuran MHA
Aug 17, 2024 | 5:30 AM
Panelis dialog bagi membincangkan isu yang menjejas landskap keselamatan Singapura anjuran Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) pada 7 Ogos, (dari kiri) Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam; Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad; dan Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, bersama pengendali sesi itu, Penolong Profesor Dr Walid Jumblatt Abdullah daripada Sekolah Sains Kemasyarakatan di Universiti Teknologi Nanyang (NTU).
Panelis dialog bagi membincangkan isu yang menjejas landskap keselamatan Singapura anjuran Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) pada 7 Ogos, (dari kiri) Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam; Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad; dan Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, bersama pengendali sesi itu, Penolong Profesor Dr Walid Jumblatt Abdullah daripada Sekolah Sains Kemasyarakatan di Universiti Teknologi Nanyang (NTU). - Foto FACEBOOK RAHAYU MAHZAM

Dialog antara pemimpin pemerintah dan masyarakat berkaitan isu radikalisme dan pengganasan penting dan berguna bagi dua pihak itu bertukar-tukar pandangan, selain pemimpin masyarakat dapat dimaklumkan mengenai perkembangan terkini yang dapat membantu mereka memahami isu tersebut dengan lebih baik.

Dengan pemahaman lebih mendalam, pemimpin masyarakat dapat lebih menghargai kerumitan isu itu dan menjalankan tanggungjawab menjelaskan keadaan sebenar kepada masyarakat umum.

Bagi pemimpin pemerintah pula, maklum balas daripada pemimpin masyarakat dapat membantu mereka menilai sesuatu isu itu daripada kaca mata berbeza.

Demikian pandangan yang dikongsi pemimpin masyarakat bersama Berita Harian menyusuli satu dialog bagi membincangkan isu-isu yang menjejas landskap keselamatan Singapura yang dianjurkan Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) pada 7 Ogos di Kelab Perkhidmatan Awam (CSC) Tessensohn.

Panelis dialog tersebut ialah Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad; Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam; dan Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.

Dialog itu dikendalikan oleh Penolong Profesor Dr Walid Jumblatt Abdullah daripada Sekolah Sains Kemasyarakatan di Universiti Teknologi Nanyang (NTU).

Sekitar 130 peserta menyertai sesi itu, yang antara lain membincangkan kesan perang Israel-Hamas di Jaluran Gaza, Palestin, yang masih berlarutan ke atas landskap keselamatan Singapura, ancaman radikalisasi sendiri, khususnya dalam kalangan belia; dan maklumat salah yang disebar dalam talian.

Antara peserta dialog itu ialah pengasas yang juga presiden pertubuhan antara agama hash.peace, Cik Nazhath Faheema.

Beliau berkata sesi itu memberikannya pencerahan mengenai usaha yang sedang dipertimbangkan oleh pemerintah untuk menangani peranan penggunaan media sosial dan kecerdasan buatan (AI) dalam menyebarkan propaganda agama ekstrem dan propaganda berhaluan kanan.

“Dialog masyarakat adalah salah satu cara bagi pemerintah melibatkan diri dengan pemimpin agama dan masyarakat.

“Saya percaya dialog itu menyediakan ruang berharga dan membina untuk pegawai pemerintah, pemimpin masyarakat, tokoh agama dan penyokong antara agama terlibat dalam isu kritikal yang memberi kesan kepada keselamatan dan perpaduan sosial kita,” ujar Cik Nazhath.

Pada masa sama, kata beliau, pelibatan masyarakat perlu berkembang melebihi dialog dan bergerak ke arah tindakan kolektif.

“Untuk mencapai matlamat ini, adalah penting pemimpin agama dan masyarakat, serta penyokong antara agama, mendapat akses kepada hasil dan analisis perbincangan.

“Ini akan memperkasa kita untuk mengambil tindakan berdasarkan maklumat tepat dalam pembinaan kesedaran, advokasi dan pembangunan masyarakat,” katanya.

Seorang lagi peserta, presiden Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS), Cik Hazlina Abdul Halim, berkata pemimpin agama dan masyarakat telah memainkan peranan penting dalam mempromosikan hubungan antara agama dan keharmonian di Singapura serta memudahkan perbincangan secara jujur mengenai isu-isu sensitif.

“Dialog ini berlaku kerana kepercayaan yang telah dibina bertahun-tahun lama serta komitmen kita kepada pemupukan keharmonian.

“Adalah penting melibatkan pelbagai pihak berkepentingan untuk membina kepercayaan dan keyakinan dalam usaha negara kita mengekalkan fabrik pelbagai budaya Singapura.

“Dialog bersama masyarakat Melayu/Islam awal ini mencontohi usaha pemimpin dalam kerjasama ini dan menonjolkan kerja berterusan yang diperlukan dalam dunia yang sentiasa berubah,” ujar Cik Hazlina, yang turut menegaskan kepentingan kerjasama dalam kalangan pemimpin masyarakat, pendidik dan keluarga untuk melindungi golongan muda daripada pengaruh ekstremis.

Penasihat khas badan tidak mencari untung Humanity Matters, Encik Hassan Ahmad, pula berkata komunikasi dua hala membantu pemimpin masyarakat lebih memahami rasional pendirian dan dasar Singapura, dan pemerintah juga lebih menghargai pendapat masyarakat awam.

“Jawapan atau penjelasan yang diberikan oleh anggota panel jujur, objektif dan jelas,” kata Encik Hassan mengenai dialog pada 7 Ogos itu.

Namun, katanya, cabaran sebenar ialah cara menyampaikan mesej secara ringkas dan jelas kepada masyarakat yang lebih luas, terutamanya memandangkan konflik Israel-Hamas adalah satu isu yang sangat kompleks.

Encik Mohamed Imran Mohamed Taib, pengarah Dialogue Centre, sebuah pertubuhan bukan pemerintah yang menggerakkan dialog dan program mengenai hubungan antara agama, kaum dan perbezaan keyakinan, berkata sumber-sumber yang ada harus digembleng ke arah penyelesaian masalah.

“Para pemimpin harus menilai keberkesanan program-program sedia ada dan mencari pendekatan baru yang belum biasa (diadakan).

“Mereka harus berani mengatakan dengan terbuka bahawa kita ada masalah. Persoalan radikalisme ini bukan masalah Melayu/Islam, tetapi kita harus jujur mengatakan ada masalah yang perlu diselesaikan,” kata Encik Imran.

Berkongsi pandangan serupa, presiden Persatuan Dana Amanah Muslimin (MTFA), Encik Abdul Rahman Mohd Hanipah, berkata bahawa masyarakat sudah cukup matang untuk membincangkan isu-isu yang diketengahkan secara terbuka.

“Kita harus mempertimbangkan sama ada sesi sebegini perlu sentiasa diadakan secara tertutup.

“Ia akan membantu sekiranya pakar industri, mungkin ahli akademik atau pengulas berkaitan isu keselamatan, turut hadir kerana ini akan membolehkan perspektif di luar pemerintah,” saran beliau.

Bagi Encik Abdul Rahman, dialog sedemikian membolehkan beliau mendapat maklumat relevan dan betul daripada pihak berkuasa untuk menangani ketidaktepatan dan mitos yang boleh sering tersebar dalam kalangan masyarakat.

Saya percaya dialog itu menyediakan ruang berharga dan membina untuk pegawai pemerintah, pemimpin masyarakat, tokoh agama dan penyokong antara agama terlibat dalam isu kritikal yang memberi kesan kepada keselamatan dan perpaduan sosial kita.
Cik Nazhath Faheema, pengasas yang juga presiden pertubuhan antara agama hash.peace.

Adalah penting melibatkan pelbagai pihak berkepentingan untuk membina kepercayaan dan keyakinan dalam usaha negara kita mengekalkan fabrik pelbagai budaya Singapura.
Cik Hazlina Abdul Halim, presiden Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS).

Jawapan atau penjelasan yang diberikan oleh anggota panel jujur, objektif dan jelas. Cabaran sebenar ialah cara menyampaikan mesej secara ringkas dan jelas kepada masyarakat lebih luas, terutamanya memandangkan konflik Israel-Hamas adalah satu isu yang sangat kompleks.
Encik Hassan Ahmad, penasihat khas badan tidak mencari untung Humanity Matters.

Pemimpin harus menilai keberkesanan program sedia ada dan mencari pendekatan baru. Mereka harus berani berkata secara terbuka kita ada masalah. Radikalisme bukan masalah Melayu/Islam, tetapi kita harus jujur berkata ada masalah perlu diselesaikan.
Encik Mohamed Imran Mohamed Taib, pengarah Dialogue Centre, pertubuhan bukan pemerintah yang menggerakkan dialog dan program mengenai hubungan antara agama, kaum dan perbezaan keyakinan.

 Kita harus menimbangkan apakah sesi sebegini perlu sentiasa diadakan secara tertutup. Ia akan membantu jika pakar industri, mungkin ahli akademik atau pengulas isu keselamatan, turut hadir kerana ini akan membolehkan perspektif di luar pemerintah.
Encik Abdul Rahman Mohd Hanipah, presiden Persatuan Dana Amanah Muslimin (MTFA).
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg