Penyelesaian bermakna dan yang berkekalan untuk jangka panjang hanya boleh diraih dengan memperkukuh kebolehan kepimpinan pemerintahan Palestin, kata Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad.
Dalam satu hantaran Facebook pada 13 Ogos, beliau berkongsi bahawa ini adalah satu aspek yang pemerintah Singapura lakukan secara aktif melalui Pakej Bantuan Teknikal Dipertingkat (Etap) – bernilai $10 juta.
Bantuan itu adalah untuk membantu pegawai perkhidmatan awam dari Penguasa Palestin membangun keupayaan.
Beliau membuat kenyataan itu susulan sesi dialog di Kelab Perkhidmatan Awam (CSC) Tessensohn anjuran Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) pada 7 Ogos bagi membincangkan isu-isu yang menjejas landskap keselamatan Singapura.
Encik Zaqy merupakan antara ahli panel – bersama Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam, dan Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim – dalam sesi dialog tersebut.
Penolong Profesor Dr Walid Jumblatt Abdullah dari Sekolah Sains Kemasyarakatan di Universiti Teknologi Nanyang (NTU) merupakan pengendali sesi dialog, yang dihadiri sekitar 130 pemimpin masyarakat, rakan dan pemimpin belia Melayu/Islam.
Encik Zaqy berkongsi bahawa antara intipati yang diketengahkan dalam dialog itu termasuk konflik Israel-Hamas yang masih berlarutan.
Beliau berkata dalam sesi itu, pelbagai sudut pandangan telah diutarakan oleh peserta dan ahli panel berkenaan konflik tersebut dan akur ramai di kalangan warga Singapura terkesan dengan nasib yang melanda warga Palestin di Gaza.
Namun, ia tidak seharusnya memecah-belahkan fabrik sosial di sini, katanya.
“Kita perlu terus menunjukkan sokongan kita untuk penduduk di Gaza, memberikan belas ihsan dan juga menghimpunkan sumber (yang ada) untuk bantu meringankan penderitaan mereka.
“Namun, kita juga tidak boleh membiarkan konflik ini menjejas keamanan dan keharmonian di Singapura,” tambahnya.
Beliau turut menyantuni semangat ihsan yang menyerlah di kalangan warga Singapura, khususnya terhadap konflik yang melanda Gaza, setelah bantuan kemanusiaan bernilai lebih $17 juta disumbangkan masyarakat Singapura setakat ini, termasuk dana $10.1 juta yang dikumpul Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF).
Beliau berkata: “Rakyat Singapura telah bersatu memberikan bantuan kemanusiaan yang bermakna kepada Gaza, di kala kita terus berdoa untuk gencatan senjata dan keamanan jangka panjang.
“Justeru, dalam konteks ini, saya menggesa pemimpin dan masyarakat terus berusaha untuk bersatu sebagai warga Singapura… serta mengukuhkan nilai dan aspirasi bersama yang menyatukan kita sebagai sebuah negara.”
Pada Julai tahun ini, delegasi Penguasa Palestin seramai 16 pegawai telah mengadakan lawatan lima hari ke Singapura bagi mempelajari tentang penerapan kecerdasan buatan (AI) dan penggunaan data dalam memacu sesebuah keputusan dalam perkhidmatan awam di sini di bawah Etap.
Lebih 750 pegawai Palestin telah dilatih dan 13 biasiswa telah diberikan kepada pegawai Penguasa Palestin sejauh ini untuk melanjutkan pengajian pascasiswazah di universiti tempatan di sini di bawah Etap, kata Menteri di Pejabat Perdana Menteri yang juga Menteri Kedua (Ehwal Luar merangkap Pendidikan), Dr Mohamad Maliki Osman.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg