Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tapak akan diubah jadi ruang awam seperti taman warisan; pelbagai pilihan dipertimbang

Nov 3, 2025 | 6:38 PM
Oxley, ruang awam, taman
Jika perintah pemeliharaan dikeluarkan, pemerintah merancang untuk memperoleh tapak tersebut bagi menjaga dan memeliharanya. - Foto ST

Jika tapak 38 Oxley Road dipelihara dan diperoleh oleh pemerintah, ia akan diubah menjadi ruang awam seperti taman warisan, kata Lembaga Warisan Negara (NHB) dan Penguasa Tanah Singapura (SLA) dalam satu kenyataan pada 3 November.

Mengenai bangunan dan struktur di tapak tersebut, termasuk banglo satu tingkat praperang, yang didiami Perdana Menteri pertama, mendiang Encik Lee Kuan Yew, dari pertengahan 1940-an hingga kematiannya pada 2015, pemerintah akan mempertimbangkan semua pilihan.

Ini termasuk tiga pilihan yang telah digariskan jawatankuasa menteri pada 2018. 

Jawatankuasa yang melapor kepada Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Encik Teo Chee Hean, telah ditubuhkan pada Jun 2016 untuk melihat apa yang perlu dilakukan dengan 38 Oxley Road.

Jawatankuasa tersebut telah merangka beberapa pendekatan yang boleh dilakukan: Memelihara seluruh rumah dengan mewartakannya sebagai monumen negara atau untuk pemuliharaan; simpan hanya ruang makan bawah tanah yang bersejarah; atau membenarkan ia dirobohkan sepenuhnya.

Jawatankuasa itu menyatakan keputusan mengenai pilihan mana yang bakal dipilih akan diserahkan kepada pemerintah masa depan, kerana tiada keputusan yang diperlukan pada ketika itu.

Dalam kenyataan pada 3 November, NHB dan SLA berkata keputusan akan dibuat “dalam tempoh yang cukup awal” semasa penggal pemerintahan pemerintah sekarang.

“Pada masa ini, pihak berkuasa yang relevan belum berkesempatan untuk menilai keadaan bangunan dan struktur dalam tapak tersebut.

“Sekiranya akses diberikan, pihak berkuasa akan menjalankan kajian terperinci untuk mempertimbangkan langkah seterusnya.”

“Tanpa mengira pilihan yang diambil, pemerintah akan menghormati hasrat Encik Lee Kuan Yew dan akan menghapuskan semua jejak ruang tempat tinggal peribadi Encik Lee dan keluarganya daripada bangunan tersebut,” ujar kenyataan itu.

Pada 3 November, pemerintah mengumumkan ia bercadang mewartakan tapak tersebut bagi memeliharanya sebagai monumen negara, selepas Lembaga Penasihat Pemeliharaan Tapak dan Monumen NHB menilai bahawa tapak itu mempunyai kepentingan sejarah dan kebangsaan.

Sekiranya perintah pemeliharaan dikeluarkan, pemerintah merancang memperoleh tapak itu bagi melindungi dan memeliharanya.

NHB dan SLA menyatakan pemeliharaan tapak tersebut tidak mewajibkan pemerintah untuk memelihara semua bangunan dan struktur di tapak tersebut dalam keadaan asalnya.

Jika dipelihara, diperoleh dan diubah menjadi ruang awam, tapak tersebut tidak boleh dibangunkan semula untuk tujuan kediaman atau komersial, atau kegunaan peribadi lain.

Rumah di 38 Oxley Road kini dimiliki sepenuhnya oleh adik Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong, iaitu Encik Lee Hsien Yang, selepas Encik Lee Hsien Loong menjual rumah itu kepada adiknya pada 2015 pada nilai pasaran.

Dr Lee Wei Ling, adik mereka, tinggal di rumah tersebut sehingga kematiannya pada awal Oktober 2024, dan susulannya isu mengenai apa yang akan berlaku kepada rumah itu timbul semula.

Pada 21 Oktober 2024, Encik Lee Hsien Yang telah mengemukakan permohonan kepada Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) bagi kerja perobohan dijalankan di 38 Oxley Road.

Pada 24 Oktober 2024, NHB memulakan penilaian rasmi ke atas tapak tersebut untuk menentukan sama ada ia berbaloi untuk dipelihara sebagai monumen negara. URA menangguhkan penilaian permohonan perobohan, memandangkan adanya kajian itu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg