Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tapak anjur rapat akan dibuka mulai Hari Penamaan Calon

Apr 17, 2025 | 2:33 PM
Mulai Hari Penamaan Calon, perhimpunan dan perarakan awam di Sudut Pidato akan digantung sementara, dan sebarang kegiatan di kawasan terbuka Hong Lim Park akan memerlukan permit polis. Rapat umum di stadium dan padang terbuka akan diadakan semula sepanjang tempoh berkempen bagi GE2025.
Mulai Hari Penamaan Calon, perhimpunan dan perarakan awam di Sudut Pidato akan digantung sementara, dan sebarang kegiatan di kawasan terbuka Hong Lim Park akan memerlukan permit polis. Rapat umum di stadium dan padang terbuka akan diadakan semula sepanjang tempoh berkempen bagi GE2025. - Foto fail

Rapat pilihan raya akan diadakan semula pada 2025, dan parti-parti politik boleh mula membuat permohonan bagi kawasan menganjurkan rapat mulai Hari Penamaan Calon pada 23 April.

Calon perlu mendapatkan permit polis untuk mengadakan rapat, dan undian akan dijalankan jika terdapat lebih daripada satu permohonan bagi sebuah slot tertentu.

Pada 16 April, polis mengeluarkan butiran mengenai penggunaan kawasan rapat pilihan raya, pusat perhimpunan bagi penyokong menantikan keputusan pilihan raya, serta kenderaan untuk penyiaran mesej kempen.

Singapura akan mengadakan Pilihan Raya Umum yang ke-14 sejak merdeka, dengan Hari Mengundi ditetapkan pada 3 Mei, lapor The Straits Times (ST).

Parti pemerintah, Parti Tindakan Rakyat (PAP), dijangka menghadapi pertarungan bagi kesemua 97 kerusi yang dipertandingkan, merangkumi 33 kawasan undi.

Rapat umum di stadium dan padang terbuka – yang kali terakhir diadakan semasa Pilihan Raya Umum 2015 (GE2015) – akan diadakan semula sepanjang tempoh berkempen. 

Rapat fizikal tidak dibenarkan semasa GE2020 berikutan penularan pandemik Covid-19.

Polis berkata calon hanya boleh menganjurkan rapat pilihan raya di kawasan yang telah ditetapkan, atas sebab-sebab keselamatan.

Senarai kawasan menganjurkan rapat akan dikeluarkan selepas tamat proses penamaan calon.

Kadar sewa bagi stadium bermula dari $1,647, manakala padang terbuka disewakan pada harga sekurang-kurangnya $109.

Permohonan untuk mengadakan rapat pilihan raya pada 24 April – iaitu sehari selepas Hari Penamaan Calon – mesti dihantar sebelum 4 petang pada 23 April. 

Bagi hari-hari berkempen dari 25 April hingga 1 Mei, permohonan mesti dihantar sebelum 2.30 petang pada hari sebelumnya.

Orang ramai tidak dibenarkan menerbangkan dron, layang-layang dan belon di kawasan rapat umum luar – dari satu jam sebelum sehingga satu jam selepas rapat diadakan.

Polis turut mengeluarkan butiran mengenai cara calon dan ejen pilihan raya boleh memohon untuk menggunakan pusat perhimpunan – iaitu lokasi di mana mereka boleh berkumpul bersama penyokong bagi menantikan pengumuman keputusan pilihan raya pada 3 Mei.

Permohonan untuk menggunakan pusat-pusat itu boleh dibuat mulai Hari Penamaan Calon.

Senarai pusat yang diperuntukkan kepada parti dan calon yang bertanding akan diumumkan pada Hari Bertenang, 2 Mei, selepas permohonan permit ditutup.

Permit juga perlu dipohon bagi kenderaan yang menyiarkan mesej rakaman semasa tempoh berkempen.

Kenderaan seperti ini hanya boleh digunakan mulai sehari selepas Hari Penamaan Calon.

Mulai Hari Penamaan Calon, perhimpunan dan perarakan awam di Sudut Pidato akan digantung sementara, dan sebarang kegiatan di kawasan terbuka Hong Lim Park akan memerlukan permit polis.

Pengecualian itu akan berkuat kuasa semula selepas pilihan raya tamat.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg