Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Therme Group menang tender STB, rancang bina tarikan kesejahteraan $1b di Marina South

Nov 4, 2025 | 7:26 PM
Therme Group, tender STB, rancang bina tarikan kesejahteraan, Marina South
Lakaran artis projek tarikan kesejahteraan di Marina South, yang dijangka menarik sekitar 2 juta pengunjung setiap tahun apabila ia beroperasi sepenuhnya. - Foto THERME SINGAPORE, DP ARCHITECTS

Tender bagi sebuah tapak tepi laut seluas empat hektar di Marina South telah dianugerahkan kepada pengendali Eropah, Therme Group, yang akan membangunkan tarikan kesejahteraan bernilai $1 bilion dan dijangka dibuka menjelang 2030.

Tarikan kesejahteraan di Marina South itu akan menampilkan kolam air panas, sauna, bilik mandian wap dan gelongsor air, kata Lembaga Pelancongan Singapura (STB) dalam satu kenyataan pada 4 November.

Ia direka untuk menarik pelbagai golongan masyarakat, termasuk keluarga dengan anak-anak, warga emas dan pekerja dewasa.

Tarikan ini akan menjadi tarikan kesejahteraan khusus pertama di Singapura.

Ia dijangka menarik sekitar 2 juta pengunjung setiap tahun apabila ia beroperasi sepenuhnya, dengan hampir separuh daripada bilangan itu dijangka terdiri daripada pelawat antarabangsa. 

Penolong Ketua Eksekutif (Kumpulan Pembangunan Pengalaman) STB, Cik Jean Ng, berkata:

“Visi kami adalah untuk menjadikan Singapura sebagai destinasi kesejahteraan bandar terkemuka melalui kemudahan bertaraf dunia yang menawarkan pengalaman kesejahteraan menyeluruh kepada pelancong dan penduduk tempatan.

“Pendekatan Therme Group terhadap kesejahteraan – yang merangkumi kesejahteraan fizikal, mental dan emosi – sejajar dengan bidang tumpuan kami.

“Selaras dengan usaha kami memacu pelancongan bermutu, tarikan ini akan menarik pelancong yang mencari pengalaman kesejahteraan, sekali gus berpotensi memanjangkan tempoh penginapan serta perbelanjaan mereka, di samping menawarkan pengalaman kesejahteraan kelas pertama kepada penduduk tempatan.”

Therme Group ialah kumpulan kesejahteraan antarabangsa yang berpusat di Austria, terkenal dengan pusat peranginan yang menampilkan sauna dan spa. 

Apabila siap kelak, tarikan ini akan menjadi yang pertama bagi Therme di Asia, lapor The Straits Times (ST).

Menurut laman web kumpulan itu, bahagian Asia Therme diterajui oleh mantan Menteri Pembangunan Negara, Encik Mah Bow Tan, yang kini merupakan pengerusi Therme Group Asia.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada 4 November, Encik Mah berkata:

“Kami akan mewujudkan ruang mesra untuk semua lapisan masyarakat dan peringkat umur, bagi menggalakkan gaya hidup sihat, hubungan sosial serta kesejahteraan masyarakat.

“Kami akan bekerjasama dengan pertubuhan dan perusahaan tempatan untuk menghidupkan semula ruang awam di sekitarnya, dan menjadikannya sebutir lagi permata di Marina Bay – sebuah destinasi bertaraf dunia yang menarik pelawat dari rantau ini dan luar negara, sekali gus menyerlahkan kedudukan Singapura sebagai peneraju dalam kesejahteraan menyeluruh.”

Tarikan kesejahteraan Marina South ini terletak berdekatan Gardens by the Bay, Marina Barrage, Pusat Pelayaran Marina Bay Singapura dan Taman Tugu Pengasas yang akan datang. 

Therme juga akan membangunkan taman awam seluas empat hektar yang menghubungkan Marina Barrage dengan tarikan tersebut.

Menurut STB, tarikan ini akan menyokong sasaran Singapura untuk mencapai hasil pelancongan antara $47 bilion dengan $50 bilion menjelang 2040.

“Pembangunan ini memanfaatkan pertumbuhan pesat pelancongan kesejahteraan, dengan pasaran sejagat dijangka berkembang sebanyak 10.2 peratus dan mencecah AS$1.35 trilion menjelang 2028,” kata STB.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg