Tugu marmar polimer putih Sir Stamford Raffles di Boat Quay, yang mengabadikan pengasas Singapura moden itu, akan menjalani penyelenggaraan rutin pada 30 Jun.

Orang ramai tidak akan dapat mengambil gambar tugu yang terletak di Tapak Pendaratan Raffles di sepanjang Sungai Singapura itu sepanjang tempoh kerja dijalankan.

Lembaga Pelancongan Singapura (STB) menyatakan dalam kenyataan pada 15 Jun bahawa kerja penyelenggaraan akan berlangsung dari 9 pagi hingga 6 petang pada hari tersebut.

Sekiranya cuaca tidak mengizinkan, kerja penyelenggaraan tersebut dijadual semula kepada 1 Julai.

Pihak STB meminta pemahaman orang ramai atas sebarang kesulitan yang mungkin timbul sepanjang tempoh tersebut.

Tugu itu merupakan lambang bersejarah yang menandakan lokasi pendaratan negarawan British berkenaan pada 1819.

Sementara itu, sebuah lagi tugu Raffles yang diperbuat daripada gangsa dan didedahkan pada 1887 masih berdiri gah di hadapan Dewan Konsert Victoria di Empress Place.

Arca marmar polimer yang akan diselenggara itu, yang mula dipamerkan kepada umum pada 1972, merupakan replika pada tugu gangsa tersebut.