Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tasik air tawar di Taman Bidadari elak banjir kilat

Tarikan estet turut berfungsi sebagai kolam simpanan semula jadi dan mesra biodiversiti
Sep 3, 2024 | 5:07 PM
Tasik Alkaff, yang merupakan ciri utama taman hijau seluas kira-kira 13 hektar yang terletak di tengah-tengah estet Bidadari baru, dibuka secara rasmi pada 3 September.
Tasik Alkaff, yang merupakan ciri utama taman hijau seluas kira-kira 13 hektar yang terletak di tengah-tengah estet Bidadari baru, dibuka secara rasmi pada 3 September. - Foto ST

Di Taman Bidadari yang baru dibuka, terdapat tasik indah yang boleh melindungi estet Bidadari daripada banjir kilat.

Tasik Alkaff ialah ciri utama taman hijau seluas kira-kira 13 hektar itu, terletak di tengah-tengah estet Bidadari baru, yang dahulu pernah menjadi tanah perkuburan.

Walaupun ia mengimbau kembali kenangan Taman Tasik Alkaff dari 1930-an hingga 1960-an, tasik baru itu mempunyai satu lagi fungsi yang lebih praktikal, iaitu untuk mengelakkan banjir semasa hujan lebat di estet padat Bidadari.

Tasik pertama seumpamanya, yang direka bentuk oleh agensi air negara PUB, berfungsi sebagai kolam simpanan semula jadi dan mesra biodiversiti untuk menangani ancaman banjir kilat yang semakin meningkat di tengah-tengah perubahan iklim.

Taman Bidadari, yang diilhamkan oleh siri buku cerita kanak-kanak Winnie the Pooh Hundred Acre Wood, mempunyai ciri yang berbeza di setiap sudut – dari tanah paya hingga ke hutan tebal dan bukit bukaunya.

Dengan Tasik Alkaff menjadi titik terendah di estet itu, aliran air hujan hingga separuh daripada estet Bidadari akan mengalir semula ke dalam tasik.

Ia direka untuk menampung air sehingga sebanyak 40,000 meter padu, atau 16 kolam renang bersaiz Olimpik, dan tebing serta laluan pejalan kaki berdekatan akan dibanjiri apabila paras air mencapai 4 meter.

Namun, sebelum ia berlaku, amaran dan lampu suar akan dinyalakan untuk memaklumkan orang ramai supaya tidak mendekati tasik itu.

Pada hari biasa, tasik itu boleh menampung air sebanyak 10,000 meter padu, pada kedalaman kira-kira 1.5 meter.

Taman Bidadari dan Tasik Alkaff telah dibuka secara rasmi kepada orang ramai pada 3 September, lapor The Straits Times (ST).

Acara pelancaran tersebut, yang diadakan di Heritage Walk taman itu, dihadiri oleh Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee; Menteri Negara Kanan (Kemampanan dan Sekitaran merangkap Pengangkutan), Dr Amy Khor; dan Anggota Parlimen Potong Pasir, Encik Sitoh Yi Pin.

Tasik Alkaff mempunyai saluran keluar yang membolehkan pelepasan air terkawal ke destinasi seterusnya, iaitu saluran longkang di MacPherson yang diapit di antara rumah privet dan akhirnya mengalir ke Marina Barrage.

Saluran longkang Happy Avenue sepanjang 1.7 kilometer adalah antara 3 meter dengan 7.5 meter lebar, dan ia tidak boleh dilebarkan lagi, kata PUB.

Namun Tasik Alkaff juga akan dapat menghalang banjir kilat di hilir estet MacPherson.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg