Seramai empat petugas terlatih daripada Palang Merah Singapura (SRC) akan dihantar ke Sri Lanka dari 19 hingga 25 Disember untuk menyokong usaha bantuan susulan Taufan Ditwah dan hujan monsun yang berpanjangan.
Menurut kenyataan SRC pada 19 Disember, akses kepada tempat perlindungan yang selamat, penjagaan kesihatan, kebersihan dan pemulihan mata pencarian masih diperlukan segera di Sri Lanka, beberapa minggu selepas ia dilanda taufan, salah satu bencana alam terburuk di negara tersebut sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Pasukan SRC akan bekerjasama dengan Persatuan Palang Merah Sri Lanka (SLRCS) untuk menyokong pusat perlindungan sementara dan kem perubatan bagi masyarakat terjejas oleh banjir.
Ia juga akan menilai keperluan kemanusiaan yang sentiasa berubah bagi membantu perancangan pemulihan awal.
“Semasa ramai di antara kita sedang bersiap untuk meluangkan hujung tahun bersama keluarga, beribu-ribu keluarga di Sri Lanka masih berusaha membina semula kehidupan mereka,” kata sukarelawan SRC, Cik Thakshayeni Skanthakumar, salah seorang daripada empat yang dihantar ke Sri Lanka.
“Berada di sana dalam tempoh ini mempamerkan nilai perpaduan dan menyokong pemulihan di mana bantuan masih diperlukan segera.”
Pengerahan itu susulan sumbangan tunai $50,000 oleh SRC pada awal Disember untuk membeli dan mengagihkan barang bantuan.
SRC juga mengalu-alukan rakyat Singapura membantu masyarakat yang terjejas di Sri Lanka melalui pengumpulan dana organisasi itu, yang berakhir pada 31 Januari.
Dana yang dikumpulkan akan disalurkan langsung kepada bantuan segera dan usaha pemulihan awal dengan kerjasama rapat SLRCS.
Rakyat Singapura boleh menderma melalui kad kredit di halaman Giving.sg SRC untuk masyarakat yang terjejas di Sri Lanka.
Mereka juga boleh menderma melalui PayNow menggunakan kod QR yang terdapat di laman web SRC.
Pada akhir November, Sri Lanka dilanda banjir dan tanah runtuh yang disebabkan oleh Taufan Tropika Ditwah, dengan kos pembinaan semula dianggarkan sekitar AS$7 bilion ($9 bilion).
Lebih 630 orang terkorban dan 70,000 lagi kehilangan tempat tinggal akibat bencana alam yang membawa maut itu.
Taufan tersebut melanda kawasan yang sudah lemah akibat tekanan ekonomi selama bertahun-tahun, dan pemulihan berkemungkinan lebih perlahan dan mahal di kawasan yang mengalami banjir teruk dan kerentanan tinggi, kata wakil penduduk Rancangan Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) di Sri Lanka, Cik Azusa Kubota.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg