Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Taufan di Sri Lanka: Pemerintah bantu usaha Palang Merah S’pura kumpul dana

Dec 12, 2025 | 6:51 PM
singapore red cross, cyclone, sri lanka
Pemerintah Singapura menyumbang AS$100,000 ($129,100) sebagai dana permulaan bagi menyokong usaha Palang Merah Singapura membantu mangsa Taufan Ditwah di Sri Lanka, yang menjejas lebih dua juta penduduk dan meragut lebih 630 nyawa. - Foto REUTERS

Pemerintah Singapura akan menyumbang AS$100,000 ($129,100) sebagai dana permulaan bagi menyokong usaha kutipan dana awam Palang Merah Singapura (SRC) bagi menangani krisis kemanusiaan akibat Taufan Ditwah di Sri Lanka.

Menurut Kementerian Ehwal Luar (MFA) dalam satu kenyataan pada 12 Disember, sumbangan pemerintah itu akan melengkapkan komitmen SRC sebanyak $50,000 bagi menyokong keperluan segera masyarakat yang terjejas di Sri Lanka.

Pada akhir November, Sri Lanka dilanda banjir dan tanah runtuh akibat Taufan Tropika Ditwah, dengan kos pemulihan dianggar sekitar AS$7 bilion.

Lebih dua juta orang, atau hampir 10 peratus daripada penduduk negara itu, terjejas dalam bencana paling buruk yang menimpa pulau tersebut pada abad ini.

Lebih 630 orang terkorban, lapor The Straits Times (ST).

Presiden Tharman Shanmugaratnam dan Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan, telah menulis surat kepada Presiden Sri Lanka, Encik Anura Kumara Dissanayake, dan Menteri Ehwal Luar, Encik Vijitha Herath, bagi menyampaikan takziah atas kehilangan nyawa serta kemusnahan yang disebabkan oleh taufan tersebut, ujar MFA.

Menurut pakar, pemulihan ekonomi Sri Lanka yang rapuh dijangka terjejas oleh kemusnahan rumah, prasarana dan tanaman penting akibat Taufan Ditwah, sekali gus menyebabkan lebih ramai keluarga hidup dalam kemiskinan.

Sri Lanka sedang menghadapi krisis ekonomi paling buruk dalam beberapa dekad, yang memuncak pada 2022, apabila taufan itu melanda. 

Hampir 25 peratus daripada 22 juta penduduknya kini terjejas oleh kemiskinan.

“Taufan Ditwah melanda kawasan yang sudah lemah akibat tekanan ekonomi bertahun-tahun,” kata Wakil Residen Rancangan Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) di Sri Lanka, Cik Azusa Kubota, kepada agensi berita, Reuters.

Proses pemulihan dijangka lebih perlahan dan mahal di kawasan yang mempunyai risiko tinggi menghadapi banjir serta tahap kerentanan yang besar, tambahnya.

Encik Dissanayake berkata pemerintah Sri Lanka tidak mampu membiayai kos pemulihan secara bersendirian dan merayu bantuan asing, termasuk daripada Dana Kewangan Antarabangsa (IMF), lapor agensi berita, AFP, pada awal Disember.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg