Tautan cinta tetap teguh walau terpaksa berjauhan di awal perkahwinan

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tautan cinta tetap teguh walau terpaksa berjauhan di awal perkahwinan

Pasangan yang kekal mahligai selama 55 tahun dirai bersama lebih 180 pasangan sempena Sambutan Perkahwinan Jubli Emas
Feb 8, 2026 | 5:07 PM

Tautan cinta tetap teguh walau terpaksa berjauhan di awal perkahwinan

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Jubli Emas, MSF, ROMM
Bagi Encik Amin Iskak Aminulah dan Cik Azizah Ahmad sikap bertolak ansur dan saling mempercayai antara tonggak keutuhan rumah tangga mereka.  - Foto ST

Walau terpaksa kerap hidup berjauhan di awal perkahwinan, anyaman sifat kejujuran, keikhlasan dan cinta tetap mengutuhkan hubungan suami isteri Encik Amin Iskak Aminulah dan Cik Azizah Ahmad selama 55 tahun.

Encik Amin, 82 tahun, dahulunya merupakan seorang pegawai kapal yang kerap berlayar di lautan.

Cik Azizah, 75 tahun, pula dahulu seorang akauntan di sebuah syarikat penerbangan dan adakalanya dihantar ke luar negara.

Justeru, acap kali mereka terpaksa mengharungi hari tanpa pasangan di sisi.

Namun, kejauhan sementara itu tidak pernah melonggarkan ikatan mereka.

Pasangan ini memastikan mereka meluangkan masa berkualiti bersama pada setiap kesempatan.

Mereka juga akan mewajibkan diri untuk bercuti bersama ke luar negara setiap tahun.

Berkongsi tentang bibit-bibit awal dalam kisah percintaan mereka, Cik Azizah berkongsi bahawa beliau dengan suaminya berkenalan melalui ikatan yang sudah terbina antara dua keluarga masing-masing, apabila kakak Cik Azizah berkahwin dengan abang Encik Amin terlebih dahulu.

Cik Azizah berkata: “Apabila suami kakak saya mengajak kita keluar makan bersama-sama, saya sudah perasan beliau (Encik Amin). Jadi lama kelamaan pun kita mula berkenalan. Masa itu sekitar 1969.”

Apabila Encik Amin mula berkenalan dengan Cik Azizah, beliau kerap kali menghubungi Cik Azizah untuk mengajak keluar makan dan menonton wayang bersama.

Namun, kisah janji temu mereka ketika bercinta perlu menempuh cabaran waktu dan penantian.

Pada ketika itu, Encik Amin yang dahulu merupakan warga Indonesia biasanya berlayar di lautan selama seminggu dan hanya singgah ke Singapura selama beberapa hari.

“Bila dia sudah sampai Singapura, saya akan tunggu panggilan telefon dia di pejabat. Nanti dia ajaklah saya keluar makan dan bawakan saya hadiah,” jelas Cik Azizah.

Daripada kesungguhan ini, cinta yang mekar mula mewangi hingga ke jenjang pelamin.

Kurang setahun selepas berkenalan, pasangan itu, mendirikan rumah tangga pada 1970, ikatan yang kekal sehingga hari ini.

Encik Amin dan Cik Azizah merupakan antara 184 pasangan yang diraikan dalam satu majlis khas di Hotel Fairmont Singapore pada 8 Februari, sempena Sambutan Perkahwinan Jubli Emas.

Lebih 1,000 tetamu hadir – termasuk Presiden Tharman Shanmugaratnam dan Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad – untuk menyaksikan pasangan itu menerima Pakej Memperingati Jubli Emas berupa sijil, pingat emas, surat ucap tahniah dan gambar kenang-kenangan.

Acara itu dianjurkan bersama oleh Majlis Keluarga Sepanjang Hayat (FFL), Pejabat Pendaftaran Perkahwinan (ROM) dan Pejabat Pendaftaran Pernikahan Orang Islam (ROMM).

Menurut Cik Azizah, sikap bertolak ansur dan saling mempercayai antara tonggak keutuhan rumah tangga mereka.

Malah, cabaran mengimbangi kerjaya dan komitmen rumah tangga lebih menyerlah selepas pasangan itu dikurniakan tiga cahaya mata.

Ada kalanya, Cik Azizah bersendirian mengasuh anak-anak di samping keluar bekerja apabila suaminya berlayar.

Mujur, beliau dibantu oleh kakaknya yang tinggal di blok yang sama.

Cik Azizah berkata:

“Saya sangat percaya suami saya walaupun kita sering kali berjauhan. Saya kenal watak dan perilaku beliau yang ikhlas, yang tepati setiap apa yang dikatakan. Apabila beliau ada di rumah, beliau akan membantu menjaga anak-anak.

“Malah, apabila saya yang terpaksa ke luar negara untuk bekerja, beliau sendiri akan mengambil cuti kerja untuk mengurus rumah dan anak-anak. Jadi, kita bahagi tanggungjawab supaya susah dan senang sama-sama.”

Dalam ucapannya, Encik Masagos mengumumkan bahawa pejabat ROM/ROMM akan kembali ke tapak asal mereka di Canning Rise pada 2029.

Bangunan ini akan menampilkan ruang yang lebih luas dan dipertingkatkan untuk majlis perkahwinan.

Selari dengan persekitaran semula jadi Taman Fort Canning, fasad ikonik berbentuk bingkai atap bangunan itu akan turut dikekalkan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg