Bersenam dan gaya hidup lebih sihat kini kian menjadi sebati dengan amalan harian Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam.
Walau sesibuk manapun, Cik Rahayu tetap akan mengetepikan masa untuk berlari-lari anak, biasanya seawal 6 pagi.
Berkongsi amalan hariannya itu dengan Berita Harian (BH) baru-baru ini, Cik Rahayu, 45 tahun, berkata:
“Ini adalah seumpama pepatah hendak seribu daya, tak nak seribu dalih. Saya memaksa diri untuk mencari ruang (bersenam) kerana saya tahu kepentingannya.”
Namun di sebalik semangat jitu mengamalkan gaya hidup sihat ini, tersirat sebab lebih mendalam. Beliau, bersama suaminya, melakukan segala itu demi anak sulungnya berusia tujuh tahun, Ayden.
Dalam satu temu ramah bersama akhbar The Straits Times (ST) pada Disember 2024, beliau berkongsi anaknya mengalami Sindrom Down.
Menurutnya, ia memerlukan beliau untuk menumpukan lebih perhatian dan meluangkan lebih banyak masa kepada anaknya dan akur pentingnya berada di sampingnya tatkala dia kian meningkat usia.
“Ayden semakin membesar… jadi setiap kali saya (dan suami) bersenam, setiap kali kami jaga pemakanan, ia adalah untuk memastikan kami dapat jaga dia sedaya yang mampu sampai ke hari tua,” kata AP yang mewakili Bukit Batok East itu.
Cik Rahayu berkongsi secebis kehidupannya ini dalam Siri Bersama Anggota Parlimen (AP) menjelang Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025).
Cik Rahayu sudah menjadi wakil Bukit Batok East selama dua penggal setelah memenangi GE 2015 dalam penampilan sulungnya.
Beliau mengambil alih kerusi mantan Presiden dan AP, Puan Halimah Yacob, yang pada pilihan raya itu berpindah ke GRC Marsiling-Yew Tee.
Pada GE 2020 pula, beliau merupakan salah seorang daripada lima AP bersama pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang mempertahankan GRC Jurong – merangkumi kawasan undi Bukit Batok East, Jurong Central, Taman Jurong, Jurong Spring and Clementi.
Pasukan PAP itu mendapat 74.61 peratus undi berbanding Parti Titik Merah Bersatu (RDU) yang meraih 25.39 peratus undi.
Pasukan PAP itu diterajui mantan AP, Encik Tharman Shanmugaratnam, sebelum beliau meletak jawatan pada Julai 2023 untuk bertanding dalam Pilihan Raya Presiden, serta AP lain seperti Encik Tan Wu Meng, Encik Xie Yao Quan dan Encik Shawn Huang.
Cik Rahayu, yang membina kerjaya sebagai peguam sebelum menceburi bidang politik, pernah menggalas tanggungjawab sebagai Setiausaha Parlimen Kesihatan merangkap Perhubungan dan Penerangan dan kemudian dinaikkan pangkat kepada Setiausaha Parlimen Kanan Kesihatan merangkap Undang-Undang sebelum menjadi Menteri Negara sejak Mei 2024.
Cik Rahayu akur bahawa perjalanan beliau selama hampir sedekad dalam dunia politik sememangnya mencabar – ia memerlukan pengorbanan kudrat dan masa demi melaksanakan tanggungjawab kepada masyarakat.
Lebih-lebih lagi terhadap keluarganya, dengan beliau rasa kurang memberi perhatian kepada anaknya, Cik Rahayu ditukil sebagai berkata dalam laporan ST pada Disember 2024.
Namun, beliau masih berusaha mengimbangi tanggungjawab sebagai seorang ibu dan peranannya kepada masyarakat.
“Saya tidak dapat memberikan jawapan terbaik (berkenaan pengimbangan tanggungjawab) kerana saya masih berusaha dengan sebaiknya.
“Kalau nak ikutkan, semasa hujung minggu misalnya, saya tidak ada masa langsung bagi keluarga tetapi saya akan cuba curi masa – jika jadual izinkan pada waktu makan tengah hari, sayalah yang akan hantar Ayden ke sesi terapi.
“Susah untuk saya katakan jika dia (Ayden) memahami tugas saya,” ujarnya.
Cik Rahayu, lulusan ijazah Sarjana Muda Undang-undang dari Universiti Nasional Singapura (NUS) pada 2003 pernah menyandang jawatan Timbalan Pendaftar di Mahkamah Syariah dari 2013 hingga 2015.
Beliau juga pernah menjadi rakan kongsi di firma guaman Heng, Leong & Srinivasan.
Namun demikian, apa yang tidak akan beliau kompromi, baik untuk keluarga mahupun penduduk, adalah tahap komitmennya terhadap mereka, kata Cik Rahayu.
Ini bermakna sesi temu ramah bersama BH di kedai kopi Blok 273, Bukit Batok East Avenue 4 itu, beberapa kali terpaksa dihentikan bagi membolehkan beliau membalas sapaan penduduk yang tidak putus-putus menegurnya.
Malah, ada yang mengajukan keprihatinan mereka secara spontan kepada Cik Rahayu – yang kesemuanya diberi perhatian.
Selain isu penyenggaraan bandaran, keluhan mengenai kos sara hidup dan topik keluarga merupakan antara topik yang diutarakan.
Satu isu yang dekat di hati Cik Rahayu ialah pemerkasaan wanita atau empowering women, kata beliau.
Ini mungkin berputik daripada pengalamannya semasa mendewasa dalam era 1990-an apabila peluang bagi wanita tampil dan menunjukkan keupayaan lebih terhad berbanding kini.
Beliau berkata: “Sewaktu saya kecil, memang bertukar-tukar aspirasi – sekejap nak jadi doktor, sekejap peguam.
“Saya tak rasa saya ada inspirasi yang besar dan bermakna.
“Apabila saya di peringkat maktab rendah pula, ibu bapa saya sebenarnya ingin saya pilih bidang perubatan tetapi masa itu, subjek biologi saya tidaklah begitu baik.
“Saya rasa saya ada peluang lebih baik diterima dalam jurusan undang-undang di universiti.”
Daripada pengamatannya, wanita Singapura telah mencapai kemajuan besar, namun masih terdapat bidang yang boleh dipertingkat.
Dalam satu wawancara bersama BH pada November 2020, beliau menegaskan bahawa banyak takrif kini telah berubah dan wanita “dapat duduk sama rendah, berdiri sama tinggi di samping lelaki”, sekali gus memberi sumbangan besar kepada masyarakat.
“Saya mengharapkan peluang yang tak terbatas dan juga sokongan daripada masyarakat dan keluarga untuk membolehkan mereka mencapai impian (masing-masing),” ujarnya.
Pendirian ini ditekankan lagi semasa menyahut usulan perbahasan Kertas Putih bagi Pembangunan Wanita Singapura yang dibentangkan pada April 2022 di Parlimen.
Semasa ucapan yang menyokong usulan itu, beliau memberi penekanan terhadap golongan penjaga wanita dan ruang digital yang selamat bagi wanita.
Susulan itu, Majlis Rangkaian Integrasi Wanita (WIN) Persatuan Rakyat (PA) dan Jawatankuasa Eksekutif Wanita berganding bahu bersama Caregivers Alliance Limited (CAL) dan Majlis Khidmat Sosial Kebangsaan (NCSS) untuk membentuk rangkaian sokongan rakan setara berasaskan komuniti untuk penjaga wanita.
Melihat inisiatif atau usulan yang diketengahkannya menjadi kenyataan, memberi kepuasan kepada Cik Rahayu.
Namun, semua itu hanya dapat dilakukan jika seseorang ada asas kemahiran atau pengalaman dalam penglibatan masyarakat, di samping semangat tinggi untuk berkhidmat.
Beliau telah lebih 10 tahun menceburi bidang perkhidmatan masyarakat, termasuk penglibatan dalam politik.
Sebelum menceburi bidang politik, beliau pernah menganggotai Jawatankuasa Pengurusan Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi (4PM) dan anggota lembaga Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS).
Ini di samping pernah menjadi ahli Jawatankuasa Amalan Undang-Undang Muslim dan Jawatankuasa Kesedaran Undang-undang Persatuan Undang-Undang, antara lain.
Beliau berkata: “Saya bersyukur kerana dapat membesar dalam ruangan… di mana saya berpeluang meraih pendedahan terhadap isu-isu yang bersangkutan dengan masyarakat kita dan secara khusus, masyarakat Melayu/Islam.
“Saya rasa pendedahan ini amat penting kerana ia membuka mata saya terhadap demografi, pandangan manusia dan keperluan masyarakat yang berbeza.”
Cik Rahayu berseloroh bahawa beliau sebenarnya seorang “ahli politik tidak sengaja” atau accidental politician kerana tidak pernah terlintas dalam dirinya untuk berkecimpung dalam arena politik semasa berusia lebih muda.
Tetapi beliau akur tanpa pengalaman sebagai anggota mahupun sukarelawan dalam badan-badan yang disertainya sebelum ini, beliau tidak akan ada kelebihan yang boleh diterapkan.
Beliau berkata: “Kemahiran seperti mengurus individu, asas menganjurkan sesuatu, saya banyak belajar melalui pengalaman saya dalam pertubuhan ini.
“Bagi saya ia satu kelebihan.. dan yang saya bersyukur saya perolehi pengalaman itu sebelum menceburi bidang politik.
“Apa yang saya harap saya dapat lakukan adalah membawa perbezaan meluas dan bermakna kepada masyarakat.”


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg