Topik diikuti
Pergi ke BHkuTeknik bedah baru KTPH bantu pesakit pulih daripada bahu terkehel
Teknik bedah baru KTPH bantu pesakit pulih daripada bahu terkehel
Teknik bedah baru KTPH bantu pesakit pulih daripada bahu terkehel
Guru prasekolah, Cik Yusmarni Mohammad Hasni, sedang menggunakan komputer ribanya di atas katil pada Mei 2025 apabila beliau tiba-tiba mengalami kesakitan tajam pada bahunya.
Beliau mengalami masalah ketidakstabilan bahu kronik selama 12 tahun selepas kecederaan semasa latihan judo di sekolah menengah.
“Ia menjejaskan kehidupan harian saya. Contohnya, apabila berpaut pada pemegang di dalam bas, bahu saya boleh terkehel begitu sahaja,” katanya.
Selama bertahun-tahun, beliau belajar memasukkan semula bahunya ke dalam soket sendi, namun pada hari itu beliau tidak dapat berbuat demikian.
“Saya cuba duduk tetapi tidak mampu. Saya menangis. Itu pengalaman paling menyakitkan yang pernah saya alami,” kata Cik Yusmarni, 27 tahun.
Beliau mendapatkan rawatan di Hospital Khoo Teck Puat (KTPH), di mana pasukan ortopedik memilih teknik pembedahan lubang kunci baru untuk menguatkan bahunya dan mencegah kehelan berulang.
Cik Yusmarni menjadi pesakit pertama di Singapura menjalani pembedahan itu pada Ogos 2025.
Pembedahan lubang kunci ialah kaedah pembedahan yang menggunakan goresan kecil, menghasilkan parut lebih kecil, kurang kesakitan dan ketepatan lebih tinggi.
Walaupun teknik itu digunakan sejak 2000-an, ia tidak diamalkan secara meluas kerana kerumitannya, kata pakar bedah perunding, Dr Chan Juen Zhik, daripada perkhidmatan pembedahan bahu, siku dan sukan KTPH.
“Walaupun kami melakukan pembedahan artroskopik hampir setiap hari, prosedur seperti ini masih sukar untuk dikuasai,” kata Dr Chan, sambil menambah beliau mahu menjadikannya lebih mudah dan selamat.
Teknik KTPH menggunakan tiga goresan kecil berukuran kira-kira satu hingga dua sentimeter (cm) di bahagian hadapan bahu, berbanding lima atau enam goresan yang lazim digunakan.
Pakar bedah menggunakan artroskop, iaitu tiub kecil berkamera, untuk mendapatkan pandangan yang lebih jelas dan melindungi kawasan saraf penting.
Pasukan itu menggabungkan kedudukan goresan daripada kaedah terdahulu serta menggunakan artroskop dengan sudut pandangan berbeza bagi meningkatkan ketepatan.
Semasa pembedahan, sebahagian tulang daripada bilah bahu dipindahkan ke soket yang rosak.
Tisu lembut di sekeliling bahu juga dibaiki bagi meningkatkan kestabilan.
Dr Chan, yang membangunkan pendekatan itu dan menjalankan pembedahan Cik Yusmarni, berkata:
“Prosedur baru ini menjadikan pembedahan rumit lebih mudah dan lebih boleh dijangka, sambil mengekalkan manfaat pembedahan lubang kunci.”
Beliau menambah bahawa teknik itu meningkatkan ketepatan penempatan cantuman tulang ke dalam soket sendi, mengurangkan risiko rumit seperti osteoartritis.
Ketua Jabatan Pembedahan Ortopedik KTPH, Dr Timothy Teo Wei Wen, berkata manfaat utama ialah gambaran yang lebih jelas daripada bahagian dalam sendi bahu, yang membolehkan pembaikan tisu lembut dilakukan dengan berkesan.
“Pesakit mendapat prosedur dua dalam satu,” katanya.
Walaupun pemulihan melalui kaedah pembedahan lazim mengambil masa sehingga enam bulan, Cik Yusmarni pulih dalam tempoh kurang tiga bulan dengan fisioterapi berterusan.
“Selepas dua hingga tiga minggu, saya tidak lagi memerlukan ubat tahan sakit,” katanya.
Beliau kini teruja untuk mencuba kegiatan seperti memanjat batu dan berkayak serta lebih yakin bermain bersama kanak-kanak di tempat kerja.
“Dulu saya terpaksa meminta kanak-kanak supaya berhati-hati dengan saya, tetapi kini saya boleh bermain, berpegangan tangan dan berlari bersama mereka. Saya tidak perlu lagi terlalu berjaga-jaga,” katanya.
Sejak itu, lima lagi pesakit telah dirawat menggunakan teknik baru tersebut.
Mereka berharap dapat memendekkan tempoh pembedahan kepada kurang dua jam.
Pada masa ini, prosedur itu mengambil masa sekitar dua setengah jam, berbanding kira-kira satu setengah jam bagi pembedahan bahu terbuka.
KTPH juga bercadang berkongsi pendekatan ini melalui program fellowship pembedahan sukan.
Teknik baru itu diterbitkan dalam jurnal Arthroscopy Techniques pada Mei.
“Kami mahu menjadikan teknik ini lebih mudah supaya lebih ramai pakar bedah dapat menawarkannya kepada pesakit,” kata Dr Chan.
