Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Teknologi, AI tingkat pengalaman pembaca BH

Oct 2, 2025 | 8:11 PM
Berita Harian, AI, teknologi
Laman web dan aplikasi Berita Harian (BH) kini dilengkapkan dengan ciri digital baru seperti alat rumusan AI serta Kuiz BH bagi mempertingkatkan pengalaman pembaca BH. - Foto BH oleh IZWAN RAHIM

Bagi mempertingkat pengalaman pembaca dan meluaskan jangkauan, Berita Harian (BH) kini memperkenalkan beberapa ciri digital baru yang memanfaatkan teknologi dan kecerdasan buatan (AI).

Ini merangkumi ciri AI yang mengubah teks menjadi audio yang membolehkan pembaca mendengar artikel di laman web BH serta rumusan laporan berita dalam bahasa Melayu dan Inggeris.

Pelancaran ciri-ciri baru ini mencerminkan usaha berterusan BH untuk terus berinovasi, menurut Editor BH, Encik Nazry Mokhtar.

Usaha ini dicapai melalui peningkatan tawaran BH dan peluasan pilihan bagi membolehkan pembaca menikmati kandungan berita di pelbagai platform.

“Ciri-ciri baru ini merupakan usaha inovatif berterusan oleh BH untuk meningkatkan tawaran dan pilihan lebih luas untuk pembaca menikmati kandungan berita melalui pelbagai wadah dan cara.

“Inisiatif terkini juga merupakan hasil kerjasama seluruh bilik berita. Misalnya, ciri membaca berita dari teks ke audio telah memanfaatkan suara Penolong Editor Berita, Cik Atiyyah Mohd Said yang diklon menggunakan AI,” kata Encik Nazry yang menggalas peranan sebagai editor sejak 2023.

Melalui ciri yang mengubah teks ke audio tersebut, pembaca boleh mendengar artikel BH ‘dibacakan’ untuk mereka di mana sahaja.

Sementara itu, ciri rumusan menggunakan AI dapat menjimatkan masa pembaca dengan memberi ringkasan yang boleh dibaca dalam beberapa saat.

Fungsi terjemahan automatik yang dipacu AI pula memberi pilihan untuk membaca artikel BH dalam bahasa Melayu ataupun Inggeris.

Ciri ini bantu merapatkan jurang dalam kemahiran bahasa lantas memastikan berita BH lebih inklusif serta mudah diakses oleh semua lapisan masyarakat.

Selain menjadi sumber berita, laman web dan aplikasi BH juga boleh dijadikan wadah pembelajaran.

Melalui Kuiz BH, anda boleh menguji pengetahuan dan memperkaya kosa kata dalam Bahasa Melayu sambil membaca berita.

Ciri ini menjadikan pengalaman membaca lebih menyeronokkan, terutama bagi mereka yang mahu memperkukuh penguasaan bahasa Melayu dengan cara yang santai.

Dalam pada itu, pembaca yang melanggan BH dan mendapatkan berita melalui e-akhbar kini boleh menggunakan ciri zum untuk membaca laporan berita dengan lebih jelas.

“Dengan memanfaatkan teknologi, ciri-ciri ini diharapkan dapat menambah nilai pengalaman pembaca dalam mendapatkan berita terkini dan rencana menarik di semua platform BH.

“Kami juga sedang mengusahakan lebih banyak inisiatif dan ciri baru yang bersandarkan teknologi dan ini akan diumumkan pada masa terdekat,” ujar Encik Nazry.

Alat terjemahan BH yang menyuntik daya interaktiviti laman BH pernah memenangi pingat perak bagi kategori Projek Terbaik Kecelikan Berita di Anugerah Media Digital Asia 2021 WAN-IFRA.

BH juga kini ingin memperluas jangkauannya dan mendekati pembaca melalui wadah seperti saluran WhatsApp (@Berita Harian Singapura) dan Telegram (@bhsingapura) .

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg