Teknologi kesihatan yang diuji beri manfaat kepada pesakit
Teknologi kesihatan yang diuji beri manfaat kepada pesakit
Lima projek perintis rekaan syarikat pemula penjagaan kesihatan bakal menjalani ujian di kelompok penjagaan kesihatan awam Singapura – NHG Health, National University Health System (NUHS), dan SingHealth. Projek perintis itu merupakan pemenang cabaran Healthcare InnoMatch 2025 anjuran Temasek Foundation dengan peringkat akhir diadakan pada 26 September lalu.
Lima syarikat pemula penjagaan kesihatan dianugerahkan pendanaan berjumlah $3 juta pada peringkat akhir Healthcare InnoMatch 2025, iaitu cabaran inovasi global yang memindahkan penyelesaian pencegahan dan teknologi daripada peringkat perintis kepada penjagaan harian.
Acara tahunan anjuran Pusat bagi Inovasi Penjagaan Kesihatan (CHI) NHG Health yang menghubungkan syarikat pemula dan perusahaan dengan institusi penjagaan kesihatan (CHISEL), dan dipersembahkan Temasek Foundation dengan sokongan Kementerian Kesihatan (MOH) itu menggandingkan setiap pemenang bersama kelompok penjagaan kesihatan awam Singapura – NHG Health, Sistem Kesihatan Universiti Nasional (NUHS) dan SingHealth – bagi menjalankan ujian serta membina bukti untuk pelaksanaan berskala.
Pemenang edisi kelima ini ialah 16 Bit, Acorai, AI Medical, GyroGear dan Lifescapes, yang akan dipadankan dengan pasukan klinikal tempatan untuk ujian perintis.
Menampilkan rakan kongsi baru, Slingshot, ia bertemakan ‘Membina Kesihatan Digital Masa Depan’ yang memberi tumpuan kepada penyelesaian kecerdasan buatan (AI), automasi dan peranti digital bagi mempertingkatkan aliran kerja doktor serta penglibatan pesakit.
Sejak dilancarkan, cabaran ini telah menyalurkan dana bernilai lebih $6 juta. Empat projek terdahulu menerima pendanaan susulan $2.24 juta dengan potensi memberi manfaat kepada 1.2 juta penduduk.
Menurut Encik Kee Kirk Chuen, Ketua, Kesihatan & Kesejahteraan di Yayasan Temasek, empat penyelesaian termasuk Articares dan Fathom X kini digunakan di beberapa kelompok kesihatan.
Beliau menegaskan ekosistem unik Singapura, dengan gabungan institusi kukuh, tadbir urus data yang mantap dan budaya inovasi pelbagai, menjadikannya tempat ideal untuk menguji teknologi baru dengan selamat sebelum diperluas di rantau Asia dan seterusnya.
Bersedia untuk membentuk masa depan penjagaan kesihatan? Sertai cabaran Healthcare InnoMatch 2026 supaya penyelesaian AI anda dapat dilaksanakan di dunia sebenar.
Teknologi pembelajaran mesin sokong rawatan kegagalan jantung
Peranti penderiaan tekanan jantung dan paru-paru bukan invasif, iaitu peranti Acorai, berpotensi mengurangkan kadar kemasukan semula pesakit kegagalan jantung ke hospital, sekali gus menjimatkan kos.
Hasil ciptaan syarikat Sweden, Acorai, ia akan diuji di kelompok SingHealth dan NHG Health.
Mudah digunakan, doktor hanya perlu menelentangkan pesakit, mengisi maklumatnya, dan merakam data selama 3 minit daripada dada pesakit, jelas Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif di Acorai, Encik Filip Peters.
Kata pakar kardiologi Amerika, Dr Andrew J. Sauer, 55 tahun, “Dengan mengenal pasti peningkatan tekanan lebih awal, doktor boleh campur tangan lebih cepat, merancang rawatan yang lebih diperibadikan dan bukan invasif, serta mengurangkan risiko kegagalan jantung.”
Menjelaskan mengapa SingHealth memilih Acorai untuk menjalani ujian penyelesaian kesihatan tersebut, Rakan Sekutu Klinikal, Professor Tan Hiang Khoon, Penolong Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Sistem Kesihatan Masa Depan, SingHealth dan Ketua Pegawai Eksekutif, Hospital Besar Singapura (SGH), berkata:
“Teknologi Acorai berpotensi menangani keperluan yang belum dipenuhi dalam pengurusan pesakit kegagalan jantung. Mereka kini sedang berbincang dengan Pusat Jantung Negara Singapura (NHCS) bagi potensi ujian dan kajian.”
NHG Health pula memilih Acorai untuk menjalani ujian penyelesaian kesihatan itu kerana penyelesaiannya sangat sejajar dengan strategi kelompok kesihatan itu untuk mengalihkan penjagaan daripada reaktif kepada proaktif melalui pencegahan, pengesanan awal dan pembuatan keputusan yang didayakan data.
Peranti Acorai yang tidak invasif dan dipacu AI menyokong pengenalpastian risiko lebih awal dan pengurusan proaktif, terutamanya di luar persekitaran hospital akut, menurut Pengarah Klinikal, Pusat Inovasi Penjagaan Kesihatan, NHG Health, Profesor Madya Wong Hon Tym.
Mengesan barah awal
Peranti kecerdasan buatan (AI) endoskop, iaitu gastroAI, membantu pakar gastroskopi mengesan barah gastrik pada peringkat awal semasa pemeriksaan endoskopi gastrousus atas dijalankan.
Rekaan syarikat pemula berpangkalan di Tokyo, Jepun, AI Medical Service (AIM), ia akan diuji di kelompok SingHealth.
Diilhamkan oleh Dr Tomohiro Tada, pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif AIM, yang telah melakukan lebih daripada 20,000 pemeriksaan endoskopi, sistem ini mampu mengenal pasti sel barah tersembunyi dalam mukosa gastrik yang meradang.
Ketua Wilayah AI Medical Service bagi Singapura dan Asia Tenggara, Encik Masayuki Tokano, berkata:
“Matlamat kami ialah mahu menyelamatkan nyawa di seluruh dunia dengan menghapuskan barah gastrousus yang terlepas pandang melalui pengesanan awal yang dipacu AI.
gastroAI boleh mengurangkan biopsi, mengelakkan diagnosis yang terlepas, dan membolehkan campur tangan lebih awal, yang semuanya akan menghasilkan kepada penjimatan kos jangka panjang bagi pesakit dan hospital.”
Rakan Sekutu Klinikal, Professor Tan Hiang Khoon, Penolong Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Sistem Kesihatan Masa Depan, SingHealth dan Ketua Pegawai Eksekutif, Hospital Besar Singapura (SGH), berkata:
“Rekaan AI Medical Service dalam pengesanan barah gastrik mewakili salah satu daripada pelbagai teknologi baru yang muncul dalam ruang diagnostik. Memandangkan penjagaan kesihatan terus berkembang, kami berdedikasi menilai bagaimana teknologi baru ini boleh memberi manfaat kepada pesakit kami dan meningkatkan mutu penjagaan yang kami sediakan.”
Perbaiki mutu kehidupan pesakit gegaran tangan
Sebagai seorang doktor muda kelahiran Singapura, Dr Faii Ong menemui seorang pesakit berusia 103 tahun yang mengalami gegaran tangan teruk hingga pesakit itu tidak mampu menyuap makanannya.
Melihat kehilangan keupayaan berdikari pesakit itu, beliau terdorong membangunkan GyroGlove di GyroGear™. GyroGlove adalah teknologi sarung tangan pintar yang membantu memperbaiki mutu kehidupan pesakit gegaran tangan, seperti pesakit Parkinson atau Essential Tremor.
“Gegaran tangan menjejas lebih daripada 200 juta orang di seluruh dunia, namun masalah ini sering dianggap sebagai ‘hanya bergegar’. GyroGear™ membuktikan teknologi mampu mengembalikan sifat berdikari, maruah dan hubungan dalam kehidupan harian dengan segera,” kata Dr Ong, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif GyroGear™ Pte Ltd.
Dinobat sebagai Inovasi Terbaik TIME, ia direka dengan tujuan supaya pesakit yang mengalami gegaran tangan teruk boleh memakai sarung tangan itu sendiri.
“Pesakit boleh merasai kesannya dalam masa 8 saat hingga 10 saat selepas giroskop diaktifkan.
“GyroGlove membantu pesakit kembali melakukan tugasan harian seperti makan, menulis, menaip atau bermain dengan ahli keluarga, sekali gus meningkatkan mutu hidup,” ujar Dr Ong.
Sebagai salah satu pemenang Healthcare InnoMatch 2025, GyroGear™ akan diuji di kelompok penjagaan kesihatan NUHS.
Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Universiti Nasional (NUH), Profesor Aymeric Lim, menjelaskan mengapa Sistem Kesihatan Universiti Nasional (NUHS) memilih GyroGlove untuk ujian penyelesaian kesihatan:
“GyroGlove, dibangunkan oleh GyroGear™, menawarkan pendekatan yang benar-benar inovatif untuk menguruskan gegaran tangan, yang berpotensi meningkatkan autonomi pesakit dan mengurangkan pergantungan pada campur tangan farmakologi.
“Bagi pesakit di pusat pemulihan dan Pusat Saraf dan Pergerakan kami, ini bermakna mendapatkan semula keupayaan melakukan tugas harian seperti memakan, menulis, atau menggunakan telefon bimbit secara berdikari.”
Bantu tubuh bergerak semula
Peranti Lifescapes, dilhamkan pasukan daripada Universiti Keio, membangunkan teknologi Brain Computer Interface (BCI) bagi membantu pesakit lumpuh akibat angin ahmar atau kecederaan saraf tunjang.
Teknologi itu mampu membantu pesakit memulihkan fungsi tangan, mempercepat proses keluar hospital dan mengurangkan kos rawatan, sambil meningkatkan kecekapan operasi hospital melalui protokol terapi yang boleh diulang secara konsisten, kata Ketua Pegawai Strategi, Encik Masaaki Hayashi.
Kata Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Universiti Nasional (NUH), Profesor Aymeric Lim: “Sistem Kesihatan Universiti Nasional (NUHS) memilih peranti Lifescapes, teknologi Brain Computer Interface (BCI), kerana ia boleh merevolusikan neurorehabilitasi di NUHS dengan menggalakkan neuroplastikiti dan memulihkan fungsi motor pesakit angin ahmar di Pusat Saraf dan Gerakan kami, membolehkan mereka kembali berdikari dalam melakukan kegiatan harian dan berpotensi memendekkan tempoh pemulihan.”
Rencana ini dibawakan oleh:

