SPH Logo mobile
Langgan|

Telefon kawal hidup? Cabaran ketepikan peranti demi interaksi bersemuka

Telefon kawal hidup? Cabaran ketepikan peranti demi interaksi bersemuka

Feb 8, 2026 | 5:30 AM

Telefon kawal hidup? Cabaran ketepikan peranti demi interaksi bersemuka

Telefon, penggunaan, pengurangan, mobile phone, resolution, interaction
Kini ramai yang ‘ketagih’ telefon, termasuk penulis sendiri, yang berazam untuk mengurangkan penggunaan telefonnya, terutama sekali semasa sedang berinteraksi secara bersemuka, agar perbualan mendalam dan bermakna boleh dilakukan. - Foto fail

Kadang-kadang, saya tertanya – siapakah yang mengawal hidup saya?

Saya sendiri atau telefon saya, yang tanpa disedari sudah menguasai seluruh rutin harian saya?

Selalunya, benda pertama yang saya capai setelah bangun, tatkala mata masih kabur dan minda belum sepenuhnya sedar, ialah telefon.

Pernah juga terlintas, mampukah saya hidup tanpanya?

Soalan ini sering muncul, terutama apabila bateri telefon hampir habis dan kegelisahan yang tidak munasabah mula menjalar.

Hampir setiap aspek hidup terasa memerlukan peranti ini, seolah-olah tanpanya, ada kekosongan yang tidak terisi.

Ketika menunggu bas, saya perlu menyemak anggaran masa ketibaan (ETA).

Jika tidak, rasa gelisah mula mencengkam, walau bas itu tetap akan tiba, sama ada disemak atau tidak.

Pada masa yang sama, perasaan bimbang terlepas peluang, atau dalam bahasa anak-anak muda dipanggil fomo (fear of missing out), menghantui saya jika tidak mengikuti perkembangan di media sosial atau perbualan dalam talian bersama rakan-rakan.

Tanpa disedari, kebergantungan kepada telefon semakin parah.

Sedikit demi sedikit, saya mula perasan bahawa skrin dan peranti telah mengambil alih ruang interaksi bersemuka.

Hubungan manusia yang suatu ketika dahulu terasa lebih nyata, atau ‘real’, kini semakin terhakis.

Perbualan yang sepatutnya penuh emosi dan ekspresi kini sering terhenti kerana notifikasi masuk atau jari yang sibuk menaip di telefon.

Saya rasa janggal jika telefon tidak ada di sisi, terutamanya dalam situasi sosial, seolah-olah kehilangan sesuatu yang penting, meskipun saya dikelilingi rakan-rakan.

Sejak kebelakangan ini, semakin banyak pihak mula menyedari isu ini dan cuba mengatasinya.

Sekolah, restoran, serta institusi awam giat menggalakkan orang ramai meletakkan telefon, berinteraksi secara langsung dan benar-benar hadir dalam detik bersama keluarga dan rakan-rakan.

Laporan media pernah mengetengahkan sebuah restoran beriani yang menawarkan diskaun 15 peratus kepada pelanggan yang tidak menggunakan telefon semasa makan.

Pemerhatian pemilik restoran itu agak menarik – beliau mendapati ibu bapa sering mengatakan bahawa mereka tiada pilihan selain menggunakan telefon untuk menenangkan atau mengalihkan perhatian anak-anak.

Niat untuk ‘disconnect’ bergelut dengan realiti keibubapaan moden.

Inisiatif ini membuahkan hasil. Beliau memerhatikan interaksi bersemuka, bukan sahaja dengan anggota keluarga, bahkan kakitangan kedai, makin meningkat apabila pelanggan menyertai ‘cabaran’ tersebut.

Di peringkat institusi pengajian tinggi pula, Universiti Nasional Singapura (NUS) memperkenalkan inisiatif yang dinamakan Touch Grass Week.

Dari 26 hingga 30 Januari, kelas-kelas digalakkan untuk mengurangkan penggunaan skrin, bergantung kepada perbincangan secara langsung, bahan bercetak, nota tulisan tangan dan pendekatan luar talian yang lain.

Inisiatif ini bukan sekadar simbolik, malah usaha sedar untuk mengingatkan pelajar bahawa pembelajaran dan hubungan tidak semestinya bergantung pada skrin.

Menurut Dekan Kolej NUS, Profesor Simon Chesterma, kemahiran ‘interpersonal’ itu penting dan salah satu cara memupuknya adalah melalui penglibatan secara bersemuka.

Pelajar melaporkan peningkatan fokus, penglibatan yang lebih mendalam dan pengurangan kebergantungan pada teknologi, malah ada yang mula merancang untuk mengehadkan masa skrin secara konsisten dan mengurus tekanan dengan lebih sedar.

Namun, usaha mengurangkan kebergantungan kepada telefon bimbit dan peranti tidak boleh dipikul oleh institusi seperti NUS.

Setiap individu harus mengambil inisiatif untuk memastikan peranti yang digunakan adalah untuk memanfaatkan masa yang ada dan bukan sekadar untuk menghabiskan masa.

Perkara tersebut turut menjadi azam peribadi saya – untuk mengurangkan ‘screen time’ dan meluangkan lebih banyak masa berinteraksi dengan orang-orang di sekeliling saya, tanpa gangguan skrin dan alat lain.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg