Topik diikuti
Pergi ke BHkuTempoh sewa Punggol mungkin dilanjut, namun peniaga F&B tetap terus rancangan sendiri
Tempoh sewa Punggol mungkin dilanjut, namun peniaga F&B tetap terus rancangan sendiri
Pengusaha makanan dan minuman (F&B) di Punggol East Container Park akan tetap meneruskan rancangan perniagaan masing-masing meskipun empat penyewa utama di Punggol East dan Tebing Lane bakal ditawarkan lanjutan tempoh sewa sehingga setahun, iaitu hingga akhir 2027.
Antara mereka ialah Tara Na by Easy Eatz SG, yang akan meneruskan rancangan berpindah ke Punggol Golf Course pada November.
Ketika dihubungi Berita Harian (BH) pemiliknya, Cik Nurnisa Jonson, berkata lokasi baru itu masih berdekatan dengan Punggol East Container Park, sekali gus membolehkan pelanggan sedia ada terus mendapatkan makanan mereka dengan mudah.
“Kami akan berpindah ke kedai baru bulan depan (November), insya-Allah. Kedai baru kami terletak di Punggol Golf Driving Range, yang berdekatan dengan Punggol Container Park.”
Menurutnya, lokasi baru itu masih dekat bagi pelanggan yang sering datang atau membuat pesanan penghantaran dari kawasan ini.
BH sebelum ini melaporkan bahawa Cik Nurnisa menandatangani perjanjian sewa di Punggol East Container Park dari Februari hingga Disember 2026.
Sementara itu, jurucakap The Smok Hous berkata mereka masih menantikan pengesahan rasmi mengenai kemungkinan tempoh sewa premisnya di 50 Punggol East dilanjutkan.
“Buat masa ini, kami belum menerima sebarang pengesahan hitam putih mengenai lanjutan kontrak kami di Punggol. Jadi, kami masih menunggu mereka hubungi kami untuk mengesahkan perkara ini,” katanya.
Encik Isrudy, yang menerajui The Straits Cattle Trading, bagaimanapun telah mengembangkan konsep The Smok Hous ke 28 Kandahar Street minggu lalu, menggantikan jenamanya Rostii, yang dibuka pada awal 2026.
Konsep baru itu mengetengahkan hidangan seperti nasi lemak dengan daging salai brisket dan burnt ends.
Perkembangan mengenai lanjutan sewa itu diumumkan Anggota Parlimen (AP) GRC Punggol, Cik Yeo Wan Ling, menerusi Facebook pada 3 Oktober.
Beliau berkata agensi berkaitan telah menyemak dan membuat penyesuaian pada garis masa pembangunan selepas beliau bertemu mereka bagi membincangkan kebimbangan perniagaan mengenai tempoh sewa yang bakal tamat.
Menurut jurucakap Penguasa Tanah Singapura (SLA), empat penyewa utama ditawarkan lanjutan tempoh sewa sehingga setahun – hingga akhir 2027 – ialah City Sprouts, Sing See Soon Floral & Landscape, Sports Hub @ Punggol dan AT Punggol.
Menurut Cik Yeo, lanjutan sehingga akhir 2027 itu akan memberi lebih banyak masa kepada perniagaan untuk merancang peralihan dan kesinambungan operasi mereka, tertakluk pada syarat penyewaan dan peraturan berkaitan.
Agensi termasuk Penguasa Tanah Singapura (SLA), JTC Corporation, Lembaga Taman Negara (NParks) dan Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) juga akan terus membantu perniagaan terjejas mencari premis alternatif, termasuk pilihan di kawasan Punggol jika tersedia.