Sebuah badan antara agensi yang baru, pembeli tenaga bersih berpusat, dan model pembiayaan inovatif – ini adalah antara cadangan dua badan industri di Singapura bagi menggalakkan penggunaan tenaga hijau oleh pusat-pusat data di sini.
Pada masa ini, terdapat kekurangan ketelusan dalam perolehan tenaga bersih bagi pusat data, kata Persatuan Tenaga Mampan Singapura (Seas) dan persatuan teknologi SGTech dalam kertas usulan yang dikeluarkan pada 28 Oktober, lapor The Business Times.
“Kekaburan dalam pengiraan, penilaian projek, kriteria keputusan, dan pemilihan vendor boleh menyebabkan ketidakpastian bagi pembeli dan pembekal,” menurut kertas tersebut.
Kertas itu dilancarkan di Sidang Kemuncak Tenaga Bersih Asia di Pusat Konvensyen dan Ekspo Sands, yang merupakan sebahagian daripada Minggu Tenaga Antarabangsa Singapura yang diadakan setiap tahun.
Singapura telah meletakkan dirinya sebagai hab pusat data di rantau ini, dengan kapasiti melebihi 1.4 gigawatt.
Pada 27 Oktober, Singapura mengumumkan rancangan untuk membina sebuah taman pusat data di Pulau Jurong dengan kapasiti sehingga 700 megawatt.
Namun, ia telah menekankan keperluan bagi pusat data, yang memerlukan banyak tenaga, menggunakan tenaga bersih.
Singapura ingin mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.
Perkongsian antara sektor awam dengan swasta adalah penting bagi membolehkan Singapura menyelaraskan pertumbuhan pusat data dengan matlamat iklimnya, menurut Seas dan SGTech dalam kertas tersebut.
Namun, mekanisme perolehan tenaga belum berkembang untuk menangani keperluan khusus sumber tenaga rendah karbon, dan industri masih kekurangan kepakaran tentang cara membina perjanjian pembelian kuasa jangka panjang (PPA) untuk sumber-sumber ini, menurut mereka.
Pengendali pusat data juga menghadapi cabaran untuk mendapatkan akses awal kepada tenaga hijau yang diimport ke Singapura dari negara-negara jiran.
Kebanyakan projek-projek tersebut, sebahagian daripada Grid Tenaga Asean, masih di peringkat awal, lantas menyebabkan pembeli terdedah kepada risiko seperti kelewatan projek dan perubahan peraturan.
Namun, cabaran itu juga merupakan “peluang penting”, kata persatuan-persatuan tersebut.
“Daripada menghalang komitmen awal, ini adalah masa untuk membangunkan bersama laluan bagi perkongsian risiko antara sektor awam dengan swasta,” kata mereka, sambil menambah bahawa ini akan membina keyakinan pasaran terhadap pengimportan tenaga bersih Singapura.
Kertas ini menetapkan lima cadangan dasar, yang pertama ialah kepimpinan pemerintah yang “jelas dan diselaraskan”.
Ini termasuk mempunyai rangka kerja peraturan yang fleksibel dan membentuk sebuah badan antara agensi yang bertindak sebagai “pusat sehenti” untuk mengawasi peralihan tenaga.
Badan ini akan menyelaraskan koordinasi antara agensi dengan bidang kuasa yang bertindih, seperti Penguasa Pasaran Tenaga (EMA), Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) dan pemilik industri, JTC.
Cadangan kedua ialah menyelaraskan perolehan tenaga dan menyeragamkan PPA untuk tenaga bersih.
Sebuah agensi pusat boleh diwujudkan untuk mengumpul tenaga hijau, seperti Singapore GasCo yang baru ditubuhkan untuk memusatkan pembelian gas, bagi membantu peniaga kecil mengatasi kos dan mencapai ekonomi skala.
Cadangan ketiga adalah pembiayaan inovatif dan strategi pengurangan kos, seperti perkongsian awam-swasta.
Cadangan keempat adalah untuk kerjasama industri yang lebih mendalam, seperti dengan menubuhkan ‘Pusat Kecemerlangan PPA Singapura’ yang mempromosikan pendidikan mengenai PPA.
Akhirnya, Seas dan SGTech menyeru agar Singapura menguatkan bekalan tenaga dan prasarana, dengan lebih banyak usaha untuk menangani cabaran teknikal dalam penghantaran dan kestabilan grid, serta mempelbagaikan campuran tenaga.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg