Topik diikuti
Pergi ke BHkuTarif elektrik isi rumah naik 17% Jul-Sep, gas meningkat 7.1%
Tarif elektrik isi rumah naik 17% Jul-Sep, gas meningkat 7.1%
Konflik Timur Tengah pacu peningkatan kos tenaga; bil bulanan HDB 4 bilik dijangka naik purata $17.14
Tarif elektrik isi rumah naik 17% Jul-Sep, gas meningkat 7.1%
Isi rumah di Singapura akan menyaksikan kenaikan tarif elektrik sebanyak 17 peratus bagi tempoh Julai hingga September, manakala tarif gas bandar berpaip turut meningkat sebanyak 7.1 peratus.
Dalam kenyataan pada 30 Jun, Penguasa Pasaran Tenaga (EMA) berkata kenaikan itu berpunca daripada peningkatan harga gas asli susulan konflik di Timur Tengah.
EMA berkata harga gas asli melonjak sejak akhir Februari dan kekal tinggi dari April hingga Jun, menaikkan kos penjanaan elektrik dan gas bandar.
SP Group berkata tarif elektrik isi rumah akan meningkat sebanyak 4.64 sen kepada 31.91 sen bagi setiap kilowatt-jam (kWj) sebelum Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).
Ini bermakna sebuah isi rumah Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) empat bilik boleh menjangkakan peningkatan purata bil elektrik bulanan sebanyak $17.14 sebelum GST.
Secara keseluruhan, tarif elektrik akan meningkat secara purata sebanyak 17.5 peratus atau 4.66 sen setiap kWj berbanding suku sebelumnya.
Dalam kenyataan berasingan, pembekal gas bandar berpaip, City Energy pula berkata tarif gas isi rumah akan meningkat sebanyak 1.56 sen kepada 23.48 sen setiap kWj sebelum GST.
SP Group dan City Energy menyemak tarif setiap suku tahun mengikut garis panduan EMA.
Tarif elektrik dan gas berubah mengikut turun naik harga bahan api dunia akibat politik sejagat dan ia ditentukan berdasarkan harga gas dalam dua bulan setengah pertama suku sebelumnya.
Oleh itu, perubahan harga bahan api hanya mempengaruhi tarif pada suku berikutnya.
Ini menjelaskan kenaikan kecil tarif dari April hingga Jun, kerana kiraannya hanya mengambil kira sebahagian kesan awal konflik yang berlaku dari 28 Februari hingga 15 Mac.
Encik David Broadstock, rakan kongsi di firma perunding tenaga The Lantau Group, berkata kenaikan tarif kali ini lebih tinggi daripada jangkaannya.
Namun, beliau berkata kenaikan itu munasabah kerana kos tenaga merupakan bahagian terbesar dalam tarif.
Katanya, semakan sebelum ini hanya mengambil kira beberapa minggu pertama ketegangan.
“Saya tidak terkejut melihat kenaikan besar kali ini. Ia selaras dengan amaran awal pemerintah.”
Menurutnya, pasaran tenaga dunia masih tidak menentu berikutan rundingan damai antara Amerika Syarikat dan Iran.
EMA berkata pengguna kontrak elektrik mungkin menghadapi harga pembaharuan lebih tinggi selagi harga bahan api kekal tinggi.
Tambahnya, jika keadaan di Timur Tengah bertambah baik, harga bahan api dan tarif elektrik serta gas bandar mungkin menurun pada suku keempat 2026.
EMA akan terus memantau bekalan bahan api bagi memastikan keselamatan bekalan.
Sejak konflik tercetus, lebih ramai isi rumah memilih pelan elektrik berkadar tetap.
Peratusannya meningkat daripada 36.6 peratus kepada 37.1 peratus, antara 1 Februari hingga 1 Jun, manakala pelanggan di bawah tarif terkawal SP Group menurun daripada 63.4 peratus kepada 62.8 peratus.
Kurang daripada 0.1 peratus isi rumah membeli elektrik pada harga borong.
Peruncit elektrik kini giat memasarkan pelan harga tetap.
Geneco, satu daripada tujuh peruncit dalam Pasaran Terbuka Untuk Bekalan Elektrik (OEM), melaporkan peningkatan kira-kira empat kali ganda dalam pendaftaran sejak beberapa bulan lalu.
Sebahagian pengguna memilih pelan itu sebagai perlindungan daripada kenaikan harga pada masa hadapan.
Encik Ryan Smith, 45 tahun, memperbaharui pelan harga tetap Tuas Power lebih awal dan mengunci kadar 25.6 sen setiap kWj selama tiga tahun kerana bimbang perang berlarutan.
Beliau berkata langkah itu memberinya ketenangan fikiran terhadap kemungkinan kenaikan tarif.
Keluarganya juga mengurangkan penggunaan elektrik, termasuk tidak menggunakan air panas ketika mandi.
