Topik diikuti
Pergi ke BHkuTepis tanggapan, perluas ruang wanita dalam bidang Stem
Pelajar kongsi pengalaman cermin cabaran yang masih belenggu penyertaan wanita dalam bidang Stem
Ketika Cik Nur Erlisya Herman, mula mempertimbangkan sama ada mahu menceburi bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (Stem), beliau meragui sama ada dirinya benar-benar sesuai dalam bidang yang dikuasai golongan lelaki.
Malah, gambar berkaitan sistem teknologi sering memaparkan pekerja lelaki, sekali gus mengukuhkan tanggapannya bahawa teknologi maklumat (IT) merupakan ‘bidang buat lelaki’.
Tanggapan itu turut dipengaruhi andaian yang dihadapinya di sekolah.
Aktif dalam kumpulan seni dan kebudayaan, pelajar tahun kedua bidang Pengkomputeran Awan Perusahaan dan Pengurusan, di Politeknik Republic itu, tidak menepati gambaran sesetengah orang tentang ‘rupa’ seorang pelajar IT.
Ada yang terkejut apabila mengetahui beliau sebenarnya sedang mengikuti pengajian dalam bidang itu.
“Saya agak kecewa apabila orang sering menganggap saya tidak sesuai dalam bidang IT hanya kerana cara saya berpakaian dan membawa diri,” katanya apabila ditemu bual Berita Harian (BH).
Pengalaman pelajar berusia 20 tahun itu mencerminkan cabaran lebih luas yang masih membelenggu penyertaan wanita dalam bidang Stem.
Walaupun jumlah pekerjaan dalam sektor teknologi meningkat 25 peratus dalam tempoh lima tahun lalu, peratusan wanita dalam pekerjaan Stem hanya meningkat daripada 29 peratus pada 2014 kepada 35 peratus pada 2024.
Demikian menurut kajian United Women Singapore (UWS) ke atas 1,000 peserta.
Kajian itu turut mendapati 61 peratus wanita yang ditinjau berpendapat jangkaan masyarakat dan stereotaip jantina menyumbang kepada ketidakseimbangan antara lelaki dengan wanita dalam bidang Stem, berbanding 51 peratus lelaki.
Bagi Cik Erlisya, stereotaip sedemikian bukan sekadar berkaitan dengan kemampuan seseorang melakukan pekerjaan itu, bahkan juga sama ada mereka dilihat sebagai seseorang yang sesuai berada dalam bidang tersebut.
“Ada kalanya saya rasa gembira, tetapi ada kalanya saya rasa seperti dihakimi,” katanya sambil mengakui sukar berdepan stereotaip bahawa dirinya tidak menepati ‘gambaran tipikal’ seseorang dalam bidang IT.
Namun, beliau turut rasai sendiri bagaimana kehadiran contoh teladan wanita dapat mengubah tanggapan itu.
Semasa menjalani latihan di sebuah pusat tuisyen kod pengaturcaraan, beliau mendapat galakan daripada ketuanya yang juga seorang wanita, yang membimbingnya apabila beliau melakukan kesilapan.
Dikelilingi wanita lain yang melalui pengalaman serupa, turut memberinya ruang sokongan.
“Saya ada wanita lain untuk berbual dan memahami apa yang saya lalui,” katanya.
Ketua beliau itu turut berkongsi pengalamannya sendiri, termasuk pernah diketepikan ketika menghadiri acara Stem untuk mewakili syarikatnya.
“Saya rasa difahami apabila mendengar bahawa beliau sendiri pernah melalui pengalaman diketepikan,” tambah Cik Erlisya.
Sokongan dan kebersamaan itu turut dirasainya melalui program, ‘Girls2Pioneers STEMentorship’, kendalian UWS, yang memadankannya dengan seorang mentor dan adanya pertemuan secara berkala sepanjang kira-kira enam bulan.
Menurut anggota Lembaga UWS dan Presiden UWS terdahulu, Cik Georgette Tan, sokongan sedemikian merupakan bahagian penting dalam usaha menangani jurang jantina dalam bidang Stem.
“Golongan ini sangat bijak, yakin dan berkemahiran. Apa yang sebenarnya mereka perlukan ialah keyakinan,” katanya kepada BH.
Program UWS itu berlandaskan lima perkara, iaitu kecekapan, keyakinan, hubungan, komuniti dan pilihan.
Sekolah membantu membina kemahiran Stem, manakala program bimbingan memberi peluang kepada peserta menjalin hubungan dengan golongan profesional dalam industri dan membentuk masyarakat sokongan, sekali gus membantu mereka memahami peluang yang tersedia sebelum membuat pilihan sendiri.
Menurut Cik Tan, suri teladan amat penting bagi membolehkan wanita muda melihat kejayaan kaum Hawa terdahulu yang pernah mengorak laluan serupa.
“Penting bagi mereka untuk melihat bahawa ada wanita lain yang telah melalui laluan ini,” katanya sambil menambah bahawa suri teladan sedemikian dapat membantu membuka jalan bagi wanita lain.
Namun, sokongan itu tidak seharusnya bermula dan berakhir dengan program bimbingan.
Cik Tan menekankan bahawa keluarga memainkan peranan penting dalam membentuk keyakinan dan kesediaan anak perempuan untuk meneroka bidang Stem, tanpa mengira sama ada mereka pada awalnya cemerlang dalam mata pelajaran tersebut.
“Ibu bapa, datuk nenek, ibu saudara, bapa saudara, kakak dan abang harus menggalakkan anak, khususnya anak perempuan, untuk meneroka pilihan, menaruh minat dan mencuba Stem,” ujarnya.
Bagi Cik Erlisya, sokongan itu bermula di rumah.
Ibunya menggalakkan minatnya dalam bidang akademik dengan membantunya membeli buku dan menghadiri kelas tambahan, manakala keluarganya memberinya kebebasan untuk mengejar minat yang tidak semestinya menepati jangkaan tradisional tentang sifat kewanitaan.
Sementara itu, neneknya Cik Erlisya, pernah bekerja sebagai pengatur cara IT dan datuknya pula merupakan guru Matematik.
Namun, selain menggalakkan lebih ramai wanita menceburi bidang Stem, Cik Tan berkata cabaran sebenar adalah memastikan mereka kekal dan berkembang dalam sektor tersebut.
Ini memandangkan peratusan wanita sering menyusut apabila mendaki hierarki organisasi.
Ini menjadikan usaha membina saluran bakat sejak usia muda penting, di samping memastikan wanita terus mendapat bimbingan, sokongan dan peluang untuk memegang jawatan kepimpinan.
Bagi Cik Erlisya, usaha memecahkan stereotaip bukan sekadar membuktikan beliau layak berada dalam bidang IT.
Penglibatannya dalam tarian membolehkannya berkembang dalam masyarakat kreatif, sambil mengikuti pengajian berkaitan teknologi.
“Sebagai seseorang dalam bidang IT, terlibat dalam sesuatu yang begitu kreatif dan mendapat pengiktirafan dalam masyarakat tarian merupakan pengalaman luar biasa dalam memecahkan stereotaip,” katanya.
Baginya, menjadi sebahagian daripada bidang Stem tidak bermakna perlu menepati gambaran tertentu tentang rupa atau sifat seorang pelajar IT.
Sebaliknya, ia bermakna mempunyai keyakinan dan sokongan untuk menentukan sendiri tempat yang ingin diceburi.
