Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Terap nilai ‘3K’ sempena Ramadan: Masagos

Keperibadian, kemahiran dan kewarganegaraan jadi model masyarakat Melayu/Islam setempat
Mar 11, 2024 | 8:39 PM
Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamed (tiga dari kiri) mempengerusikan bersama Dialog Pasca Belanjawan M³ bersama Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad (dua dari kanan); Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim (dua dari kiri); Anggota Parlimen (GRC Jalan Besar), Dr Wan Rizal Wan Zakariah (kanan) dan Anggota Parlimen (GRC Ang Mo Kio), Cik Nadia Samdin.
Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamed (tiga dari kiri) mempengerusikan bersama Dialog Pasca Belanjawan M³ bersama Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad (dua dari kanan); Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim (dua dari kiri); Anggota Parlimen (GRC Jalan Besar), Dr Wan Rizal Wan Zakariah (kanan) dan Anggota Parlimen (GRC Ang Mo Kio), Cik Nadia Samdin. - Foto PA MESRA

Masyarakat Melayu/Islam di Singapura telah mencapai kemajuan yang ketara sejak beberapa dekad, khususnya dalam pendidikan dan pekerjaan.

Menekankan demikian dalam hantaran Facebook pada 11 Mac, Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, berkata pelbagai daya usaha pemerintah dan M³ telah dilancarkan yang akan meletakkan masyarakat Melayu/Islam di sini pada kedudukan yang baik untuk mengharungi cabaran masa depan.

Ia juga bagi merebut peluang dari segi pendidikan, pekerjaan, pembangunan belia dan sosioagama. 

“Saya gembira kerana sebagai satu ‘Masyarakat Gemilang”, kita sentiasa mencontohi nilai-nilai 3K – Keperibadian, Kemahiran dan Kewarganegaraan – untuk menjadi model bagi masyarakat Islam minoriti di seluruh dunia yang mandiri, mantap dan maju.

“Menjelang Ramadan, saya galakkan kita semua menerapkan nilai-nilai 3K seperti memaparkan sikap kewarganegaraan dengan menabur bakti kepada masyarakat semasa bulan yang penuh barakah ini, berkongsi kemahiran untuk mengasah kecekapan dan paparkan keperibadian yang baik dalam interaksi dengan mereka di sekeliling kita,” ujar Encik Masagos, yang juga Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga.

Hantaran beliau itu dimuatnaikkan menyusuli Dialog Pasca-Belanjawan M³ yang diadakan pada 10 Mac di Kelab Masyarakat Geylang Serai, Wisma Geylang Serai (WGS).

Sesi tersebut turut disertai Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad; Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim; Anggota Parlimen (GRC Jalan Besar), Dr Wan Rizal Wan Zakariah dan  Anggota Parlimen (GRC Ang Mo Kio), Cik Nadia Samdin.

Menurut Encik Masagos, beliau dan rakan-rakannya telah menjelaskan dengan lebih mendalam tentang daya usaha yang dibentangkan pemerintah dan bagaimana masyarakat Melayu/Islam di Singapura dapat meraih manfaatnya. 

“Kami menghargai perbincangan dan maklum balas jujur daripada lebih 100 peserta yang berkongsi tentang bagaimana kita boleh meningkatkan kemahiran dengan menimba kemahiran baru dan pembelajaran sepanjang hayat, sokongan untuk keluarga berpendapatan sederhana dan bersiap sedia bagi persaraan sambil menggarap peluang untuk berdepan dengan ekonomi dan tenaga kerja masa depan.

“Di tengah-tengah kegawatan ekonomi dunia yang merudum, kami memberi jaminan bahawa Belanjawan ini direka untuk memberi manfaat kepada semua, termasuk masyarakat Melayu/Islam,” ujar Encik Masagos lagi.

“Menjelang Ramadan, saya galakkan kita semua menerapkan nilai-nilai 3K seperti memaparkan sikap kewarganegaraan dengan menabur bakti kepada masyarakat semasa bulan yang penuh barakah ini, berkongsi kemahiran untuk mengasah kecekapan dan paparkan keperibadian yang baik dalam interaksi dengan mereka di sekeliling kita.”
Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg