Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Terjemah buku ‘Tok Sumang’ peluang kenali asal usul nenek moyang

Sep 15, 2024 | 5:30 AM
Encik Ahmad Ubaidillah Mohamed Khair menterjemah buku ‘Tok Sumang’ daripada bahasa Melayu ke bahasa Inggeris.
Encik Ahmad Ubaidillah Mohamed Khair menterjemah buku ‘Tok Sumang’ daripada bahasa Melayu ke bahasa Inggeris. - Foto ihsan AHMAD UBAIDILLAH MOHAMED KHAIR

Semasa membesar, Encik Ahmad Ubaidillah Mohamed Khair mendengar nama Tok Sumang disebut-sebut ibunya.

Namun, pemuda itu tidak begitu mengenalinya selain mendapat tahu beliau keturunan Tok Sumang dan sedikit latar belakang bahawa Tok Sumang sebagai lelaki yang mengasaskan Kampong Wak Sumang di Punggol – salah satu kampung terawal di Singapura – datang dari Pahang.

Justeru, tatkala diminta menterjemah buku Melayu ‘Tok Sumang’, yang asalnya ditulis pendeta Allahyarham Dr Muhammad Ariff Ahmad, Encik Ubaidillah, 27 tahun, tidak melepaskan peluang tersebut.

“Saya rasa projek tersebut peluang baik untuk saya belajar lebih tentang beliau. Saya membaca, saya buat sedikit kajian dan buku tersebut merupakan dokumentasi tentang kisah turun temurun yang disampaikan secara lisan... saya tanya mereka di sekeliling dan ia dikatakan bahawa Cikgu Ariff tinggal di Punggol buat sementara waktu. Beliau mengajar di sana.

“Mungkin beliau telah bertanya anggota keluarga saya sendiri atau datuk atau moyang saya. Jadi hubungan peribadi dan kaitan saya dengan Tok Sumang faktor yang mendorong saya menterjemahnya supaya dapat meningkatkan kesedaran tentang karya tersebut,” ujar Encik Ubaidillah, penganalisis penyelidikan di Pusat Penyelidikan Hal Ehwal Islam dan Melayu (Rima).

Menurutnya, beliau dihampiri pustakawan Lembaga Perpustakaan Negara (NLB), Allahyarham Juffri Supa’at.

Beliau berkata salah satu pengajaran yang diraih menerusi buku tersebut ialah Tok Sumang merupakan sebahagian daripada sebilangan pendatang yang datang ke Singapura dan menjadikan Singapura rumah mereka.

Ini, katanya, satu persamaan yang boleh dilihat dalam bangsa lain juga seperti orang Cina, India yang datang dari jauh tetapi memutuskan untuk bertapak di Singapura.

Akur akan sejarah dan warisan nenek moyang masing-masing adalah penting kerana itulah yang membentuk identiti diri yang kukuh, kata Encik Ubaidillah,

Walaupun tidak membesar di sana, Encik Ubaidillah berkata:

“Kampong Punggol ibarat saudara yang sudah lama hilang, yang tidak pernah saya jumpa.

“Terdapat kaitan yang dapat dirasa walaupun saya tidak pernah tinggal di sana. Dan oleh kerana saya tidak tinggal di sana, ada juga angan-angan seperti, ‘Oh, alangkah baiknya jika dapat mengalami suasana tinggal di Kampong Punggol’.

“Menterjemah ‘Tok Sumang’ adalah ibarat sumbangan kecil saya untuk memastikan kenangannya tetap hidup, memastikan legasinya terus hidup.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg