Lebih dua pertiga terumbu karang Singapura telah hilang akibat pembangunan pesisir dan penambakan tanah sejak tahun 1960-an, menyebabkan perubahan ketara dalam ciri-ciri terumbu karang sekarang.
Salah satu perubahan utama ialah kekurangan karang yang tumbuh dengan cepat dan bercabang, oleh itu, hanya segelintir haiwan marin dapat mencari perlindungan di dalam terumbu tersebut, lapor akhbarThe Straits Times (ST).
Spesies karang yang dominan di 10 kilometer persegi terumbu yang tinggal kini kebanyakannya berbentuk kubah atau rata, dan dijangka menyokong kepelbagaian hidupan marin yang lebih rendah, kata timbalan ketua Muzium Sejarah Alam Semula Jadi Lee Kong Chian di Universiti Nasional Singapura (NUS), Profesor Madya Huang Danwei.
Namun, spesies-spesies itu lebih mudah menyesuaikan diri dan lebih mampu menghadapi tekanan seperti suhu air yang lebih tinggi, tambahnya.
Penurunan dalam peranan ekologi terumbu karang Singapura adalah penemuan utama dalam kajian pertama yang menjejaki spesies dan fungsi terumbu karang negara ini sejak 1950-an.
Kajian tersebut diterbitkan dalam buku baru, Coral Reefs Of Singapore’s Urbanised Sea, yang dikeluarkan pada Oktober.
Buku yang melebihi 230 muka surat itu, disunting oleh Profesor Huang dan Profesor Emeritus Chou Loke Ming dari Jabatan Sains Biologi NUS. Ia mendokumentasikan bagaimana terumbu karang terjejas oleh urbanisasi dan gelombang haba marin akibat perubahan iklim.
Memahami sejarah terumbu itu dapat memberikan gambaran masa hadapan, terutamanya kerana Singapura baru-baru ini memulakan usaha 10 tahun untuk menanam 100,000 terumbu karang di perairannya, usaha pemulihan terumbu karang terbesar setakat ini.
Kebanyakan terumbu yang masih utuh di Singapura terletak di Pulau-pulau Selatan. Singapura memiliki sekitar 250 spesies karang keras, satu pertiga daripada spesies karang dunia.
Lebih daripada 200 spesies span laut dan 120 spesies ikan terumbu, termasuk kuda laut yang jarang ditemui, bergantung pada terumbu karang untuk perlindungan, makanan dan untuk membesarkan anak mereka.
Span laut, yang sering disangka sebagai tumbuhan, adalah haiwan akuatik berwarna-warni dengan rangka yang padat dan berpori.
Penulis buku tersebut menggambarkan persekitaran terumbu karang Singapura sebagai “ekstrem”. Penambakan tanah, pembangunan pesisir, dan pengorekan saluran pelabuhan yang berterusan telah menyebabkan air di kawasan itu menjadi keruh dan berkelodak.
Sejak 1997, terumbu karang juga telah dilanda empat peristiwa pelunturan karang (coral bleaching) global, dengan peristiwa terbaru pada 2024 yang membunuh sekitar 5 peratus daripada karang tempatan.
Karang memperoleh warna mereka daripada alga mikroskopik yang hidup dalam tisu mereka. Apabila terdedah kepada air yang lebih panas, karang akan mengeluarkan alga tersebut dan berubah menjadi putih kelabu dalam fenomena yang dikenali sebagai pelunturan karang.
Selepas kerugian banyak karang dalam fenomena pelunturan pada 2024, para saintis di sini menjangkakan fungsi ekologi terumbu akan terjejas dalam beberapa tahun akan datang, kata Prof Huang.
Walaupun karang yang bercabang dan berbentuk rumit seperti acropora tumbuh dengan cepat, mereka sangat sensitif terhadap tekanan alam sekitar, dan bilangan mereka telah menurun dengan ketara, tambahnya.
Spesies yang lebih tahan terhadap stres seperti karang otak (brain coral) telah bertahan, mengisi ruang yang ditinggalkan oleh karang bercabang yang mati.
“Spesies yang cepat tumbuh dan membantu pemulihan semasa stres juga telah berkurang,” kata Prof Huang, merujuk kepada karang yang tajam, bird’s nest coral, yang diisytiharkan pupus di Singapura pada 2024.
Pada Oktober, satu laporan global oleh 160 saintis mengisytiharkan bahawa planet ini sedang menghadapi titik perubahan pertama akibat pemanasan global, dengan terumbu karang berisiko pupus.
Prof Huang dan pasukannya berharap penemuan daripada pemantauan terumbu karang selama 70 tahun itu dapat membawa kepada cara yang lebih bijak untuk memulihkan habitat tersebut.
Penemuan tersebut dapat membantu program penanaman karang mengenal pasti spesies yang paling sesuai untuk keadaan terumbu tertentu, kata penyelidik utama kajian tersebut dan seorang graduan sains hayat dari NUS, Cik Denise McIntyre.
Beliau mencatatkan bahawa Lembaga Taman Negara (NParks) telah menyokong penyelidikan untuk meningkatkan kesesuaian karang pada terumbu yang dipulihkan.
“Contohnya, di tapak yang penuh runtuhan karang, pemulihan boleh utamakan spesies yang tumbuh cepat, supaya terumbu stabil dan spesies lain dapat tumbuh,” katanya.
Namun, untuk karang bercabang kembali pulih, kualiti air mesti diperbaiki dan pengendalian sedimen harus dilakukan, tambahnya.
Ini termasuk memindahkan karang yang terdedah kepada sedimen akibat penambakan tanah dan meletakkan penghalang lumpur untuk menghalang pasir daripada tersebar.
Satu lagi penyelesaian adalah memelihara habitat semula jadi supaya haiwan seperti remis dan span dapat menyerap dan menapis pencemar serta nutrien berlebihan, kata Prof Huang.
Bentuk-bentuk Terumbu Karang Singapura
Bercabang
Bentuk Batu
Bentuk Piring
Menyalut
Karang Lembut


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg