Kawasan Bukit Timah yang sering dilanda banjir kilat dijangka mengalami sedikit kelegaan pada musim hujan hujung tahun ini selepas kerja-kerja menaik taraf terusan di kawasan itu selesai.

Agensi air negara, PUB, mengumumkan pada 23 Oktober bahawa bahagian terakhir sepanjang 900 meter daripada terusan sepanjang 2.3 kilometer di kawasan itu telah dilebarkan.

Terusan yang dinaik taraf itu mampu menampung 30 peratus lebih banyak air banjir berbanding sebelum ini, sekali gus membantu mengurangkan risiko banjir kilat yang berulang di kawasan tersebut sejak 15 tahun lalu.

Kerja-kerja menaik taraf bahagian terusan itu bermula pada 2019 dan pada awalnya dijangka selesai menjelang suku pertama 2024. Namun, kelewatan berlaku akibat pandemik Covid-19 serta sekatan waktu kerja bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas pada waktu puncak, selain beberapa cabaran lain.

Bagaimanapun, PUB mengingatkan bahawa infrastruktur saliran sahaja mungkin tidak dapat mencegah banjir kilat sepenuhnya, memandangkan bentuk muka bumi Bukit Timah yang rendah dan menyerupai lembah, serta corak hujan yang semakin tidak menentu akibat perubahan iklim.

Agensi itu turut menyatakan bahawa terdapat batasan untuk membina lebih banyak saliran di Singapura yang mempunyai tanah terhad. Seluruh kawasan Bukit Timah kini sudah dilengkapi tiga terusan saliran yang merentasi keseluruhan 10 kilometer.

Bagi menangani cabaran tersebut, PUB berkata ia akan memulakan proses mendapatkan khidmat kajian pada penghujung 2026 bagi mengenal pasti penyelesaian jangka panjang untuk meningkatkan daya tahan kawasan Bukit Timah terhadap banjir.

Kajian itu akan menilai pelbagai langkah pencegahan banjir, termasuk pembinaan struktur bawah tanah untuk menampung air banjir. Ia juga akan meneroka penyelesaian yang boleh disepadukan dengan infrastruktur sedia ada dan pembangunan masa depan, tambah PUB.

Mengakui bahawa kawasan Bukit Timah merupakan antara kawasan tadahan air yang paling mencabar di Singapura, Timbalan Ketua Eksekutif PUB bagi daya tahan banjir, Cik Angela Koh, berkata hujan ribut yang sangat lebat masih boleh menyebabkan sistem saliran tidak mampu menampung jumlah air yang mengalir.

“Kami akan terus memperbaiki sistem saliran dan meninggikan jalan raya jika boleh, sambil menjalankan kajian menyeluruh terhadap kawasan tadahan air itu untuk mengenal pasti penyelesaian yang lebih bersepadu bagi jangka panjang,” katanya.

Terusan Upper Bukit Timah sepanjang 2.3 kilometer itu merupakan langkah utama pencegahan banjir bagi kawasan seluas 1,000 hektar. Terusan tersebut merentang dari Beauty World hingga Maple Avenue.

Kawasan tadahan air yang mendapat manfaat daripada terusan itu merangkumi kawasan perumahan, pusat beli-belah dan kemudahan awam seperti Beauty World Plaza, Bukit Timah Shopping Centre dan Dunearn Village, selain stesen MRT Beauty World dan King Albert Park.

Pada 23 Oktober, PUB mengumumkan bahawa bahagian terakhir terusan itu, yang merentang dari Rifle Range Road hingga Jalan Kampong Chantek, telah dilebarkan dan diperdalamkan.

Kerja-kerja bagi bahagian terakhir itu menelan belanja sekitar $60 juta dan bermula pada Oktober 2019. Menurut PUB, terusan yang dahulunya berbentuk bersudut itu telah diubah menjadi saliran berbentuk U dan pembetung berkotak, sekali gus membolehkannya mengalirkan 30 peratus lebih banyak air hujan.

Kawasan Bukit Timah sejak sekian lama terdedah kepada banjir kerana bentuk muka buminya yang menyerupai lembah membentuk kawasan tadahan yang menyalurkan air hujan dengan pantas ke terusan yang terletak di kawasan rendah. Pembangunan bandar selama beberapa dekad juga menyumbang kepada peningkatan aliran air permukaan.

Kejadian banjir besar terakhir di kawasan Upper Bukit Timah berlaku pada 20 April 2025, apabila hujan lebat menyebabkan banjir kilat di empat kawasan, termasuk satu bahagian antara Clementi Road dengan Blackmore Drive.

Banjir kilat itu surut selepas kira-kira sejam. Jumlah hujan yang turun di seluruh Singapura pada petang tersebut pula hampir menyamai separuh daripada purata taburan hujan bulanan Singapura bagi April.

Dunearn Road berhampiran Sime Darby Centre turut mengalami banjir kilat beberapa kali pada 2021.

Pada Ogos tahun itu, banjir antara Sime Darby Centre dengan Binjai Park menjejaskan operasi bas di sepanjang Dunearn Road selama kira-kira sejam.

Namun, tempoh tujuh tahun yang diambil untuk menaik taraf bahagian terusan sepanjang 900 meter itu turut menyebabkan kesesakan lalu lintas bagi pengguna jalan raya dan penduduk di kawasan berkenaan.

Dengan beberapa sekolah terletak di kawasan itu, kesesakan lalu lintas juga menjadi masalah bagi pelajar dan ibu bapa pada waktu menghantar anak ke sekolah dan ketika sekolah tamat.

Pada 2023, Anggota Parlimen (AP) GRC Holland-Bukit Timah, Encik Christopher de Souza, telah bertanya di Parlimen sama ada kerja-kerja di sepanjang bahagian terusan sepanjang 900 meter itu boleh dipercepatkan.

Menteri Kemampanan dan Sekitaran ketika itu, Cik Grace Fu, berkata kerja-kerja tersebut akan ditangguhkan daripada 2024 kepada 2026 bagi diselaraskan dengan pembangunan koridor hijau di kawasan yang sama.

Ini kerana Koridor Hijau Bukit Timah-Rochor yang bakal dibangunkan akan mempunyai taman langit bertingkat untuk pejalan kaki yang merentasi Terusan Upper Bukit Timah. PUB turut membantu membina asas bagi taman langit itu di atas terusan berkenaan.

Laluan bertingkat yang menghubungkan Rail Corridor dengan Jalan Kampong Chantek itu dijangka siap menjelang 2027.

Pandemik Covid-19 turut menyebabkan kelewatan dalam menyiapkan terusan tersebut, kata Pengarah Jabatan Kawasan Tadahan dan Laluan Air PUB, Encik Maurice Neo.

Kerja-kerja pembinaan juga berdepan cabaran akibat ruang kerja yang terhad serta kedudukan terusan yang berhampiran laluan MRT bawah tanah.

Waktu kerja turut dipendekkan kepada antara 9.30 pagi dengan 4.30 petang bagi mengurangkan gangguan lalu lintas pada waktu puncak, tambah Encik Neo.

“Bagi memastikan kerja-kerja dapat dijalankan dengan selamat sambil mengurangkan gangguan di sepanjang Bukit Timah Road dan Dunearn Road, aliran lalu lintas dialihkan secara berperingkat dan lorong gantian disediakan untuk mewujudkan ruang kerja sementara yang diperlukan bagi pembinaan,” menurut PUB.

Terusan Upper Bukit Timah merupakan satu daripada tiga terusan saliran yang meliputi seluruh kawasan Bukit Timah, dari Beauty World hingga Serangoon Road. Secara keseluruhan, ketiga-tiga saliran itu merentasi hampir 10 kilometer.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti