Seorang lelaki sudah berkahwin yang mengelar kekasihnya dengan pisau pemotong daging dan sebilah pisau lain selepas wanita itu, yang juga sudah berkahwin, memutuskan untuk menamatkan hubungan sulit mereka, dijatuhi hukuman penjara 16 tahun dan lima sebatan pada 6 Disember.
Chong Shiong Hui, 45 tahun, mengaku bersalah pada 28 November atas pertuduhan cuba membunuh ketika menyerang Cik Joey Lee, 43 tahun, pada 30 November 2019.
Cik Lee terselamat daripada serangan yang berlaku di rumah ibu bapa Chong di Toh Tuck itu, tetapi mengalami kecacatan yang kekal.
Ketika menjatuhkan hukuman pada 6 Disember, Hakim Aidan Xu memberitahu Chong bahawa dia menunjukkan niat yang “jelas, mengerikan dan berterusan” untuk menimpakan bahaya, dan terdapat keperluan yang jelas untuk hukuman dan pencegahan, lapor The Straits Times.
Hakim Xu berkata Chong telah menarik mangsa ke rumah ibu bapanya, dan menggunakan premis itu untuk memerangkap dan menyerangnya.
Serangan itu “kejam dan berterusan”, katanya.
Dua pertuduhan berniat jahat – satu kerana mematikan suis elektrik di luar flat Cik Lee, dan satu lagi kerana membuka injap udara tayar kereta suami wanita itu – diambil dalam pertimbangan.
Chong dan Cik Lee menjalin hubungan kira-kira 20 tahun lalu, tetapi hubungan itu terputus dalam tempoh setahun.
Mereka telah berkahwin dengan orang lain apabila mereka bertemu semula pada 2017 dan memutuskan untuk menjalin hubungan sulit.
Suami Cik Lee mendapat tahu tentang hubungan sulit itu pada November 2018.
Pada 28 November 2019, Cik Lee memberitahu Chong dalam mesej WhatsApp bahawa beliau mahu “berehat” daripada hubungan mereka, menyebabkan Chong mengancam untuk membunuh atau mencederakan dirinya sendiri, Cik Lee, anak perempuan wanita itu yang berusia enam tahun ketika itu, dan suaminya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg