Cadangan Parti Kemajuan Singapura (PSP) bagi “skim rumah mampu milik”, dengan harga flat Bina Ikut Tempahan (BTO) ditetapkan berdasarkan kos pembinaan, akan membawa Singapura ke belakang ke waktu flat hanya berfungsi sebagai tempat perlindungan, bukan satu aset, kata Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee, pada 7 Mac.
“Mereka mahu kembali ke belakang, ke masa (ketika) perumahan adalah tempat perlindungan dan memakan belanja, dan tidak berfungsi sebagai simpanan nilai dan jaminan untuk persaraan, dengan rakyat Singapura tidak mempunyai kepentingan – apabila mereka keluar, mengikut skim rumah mampu milik, hanya pulangkan (kunci) dan teruskan hidup,” kata Encik Lee, yang mempersoalkan sama ada ia benar-benar apa yang rakyat Singapura mahukan.
Encik Lee berkata ini akan menjadi “satu perubahan besar daripada perjanjian tidak bertulis antara rakyat dengan pemerintah yang kita ada selama beberapa dekad ini”, sambil menyatakan bahawa pada tahun-tahun awal Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB), dari 1968 hingga 1987, harga flat ditetapkan untuk mendapatkan semula kos, lapor The Straits Times.
Hari ini, HDB menetapkan harga flat BTO dengan menentukan nilai pasarannya berdasarkan faktor seperti lokasi dan saiz, dan kemudian menggunakan diskaun untuk memastikan ia mampu milik.
HDB juga memberikan geran berdasarkan kewangan teruji di samping diskaun pasaran.
Flat-flat itu tidak diberi harga untuk mengaut keuntungan, atau mendapatkan semula kos tanah dan pembinaan.
Encik Lee memberi maklum balas kepada Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP), Encik Leong Mun Wai, yang membandingkan kos membeli flat HDB pada 1979 dengan kos masa kini untuk berhujah bahawa kehidupan rakyat Singapura lebih teruk sekarang berbanding dahulu.
Encik Leong membuat komen itu semasa perbahasan belanjawan Kementerian Tenaga Manusia (MOM) pada 6 Mac.
Bercakap pada 7 Mac, Encik Lee berkata Encik Leong telah memilih datanya dengan membentangkan gambaran keterjangkauan untuk minoriti rakyat Singapura pada 1979, dengan gagal menyebut kenaikan harga flat pada 1980 dan 1981.
Encik Leong berkata harga flat empat bilik baru pada 1979 ialah $27,100 – kira-kira 28 kali ganda gaji permulaan lulusan universiti ketika itu dan 43 kali ganda gaji lulusan Lembaga Latihan Kejuruan dan Perusahaan (VITB).
Beliau menegaskan bahawa gaji permulaan median lulusan universiti pada 1979 ialah $957 sebulan, manakala gaji lulusan VITB ialah $633 sebulan.
VITB adalah pendahulu Institut Pendidikan Teknikal (ITE) hari ini.
Sebagai perbandingan, kata Encik Leong, harga flat empat bilik termurah yang dilancarkan pada Oktober 2024 ialah 64 kali gaji permulaan median seorang lulusan universiti masa kini, manakala harga flat lima bilik adalah kira-kira 95 kali gaji permulaan lulusan universiti.
Menjawab, Encik Lee berkata hanya kira-kira 13 peratus daripada setiap kohort pergi ke universiti dan VITB pada 1979, yang bermakna Encik Leong tidak membentangkan gambaran kemampuan untuk majoriti rakyat Singapura pada 1979, “yang kurang berpendidikan, kurang mahir dan berpendapatan lebih rendah, pada zaman awal Singapura itu”.
Kini, lebih ramai warga Singapura lulus daripada universiti, politeknik atau ITE.
Encik Lee juga berkata flat HDB pada 1979 sangat berbeza daripada flat HDB pada 2025.
“Pada 1970-an, flat HDB adalah rumah yang ringkas dengan fungsi asas di estet, dengan sedikit kemudahan dan rangkaian pengangkutan yang sangat terhad,” katanya, sambil menambah bahawa hari ini, “flat disediakan dengan kemudahan moden dan hubungan pengangkutan yang jauh lebih baik, menawarkan taraf hidup yang lebih tinggi kepada penduduk”.
Encik Lee turut menegaskan bahawa Encik Leong bersikap selektif dengan pilihan contohnya bagi harga flat 1979, sambil menunjukkan bahawa ledakan pembinaan telah menyebabkan harga HDB meningkat 20 peratus pada 1980 dan 38 peratus lagi setahun selepas itu.
Beliau juga berkata “skim rumah mampu milik” PSP – yang pertama kali dicadangkan di Parlimen pada Februari 2023 – adalah serupa dengan sistem HDB dari 1968 hingga 1987, apabila harga flat adalah untuk mendapatkan semula kos.
“Flat HDB pada zaman itu ditetapkan harganya berdasarkan kos pembinaan,” katanya.
Beliau menambah, kos pembinaan dahulu dan sekarang turun naik berdasarkan faktor ekonomi, seperti ketersediaan buruh dan harga bahan, sambil menyatakan bahawa cabaran untuk menetapkan harga flat berdasarkan kos pembinaan yang turun naik secara mendadak juga harus dikenakan mengikut cadangan PSP itu.
Encik Lee seterusnya berkata bahawa pasaran perumahan telah berubah selama beberapa dekad, dan HDB telah “lama beralih” daripada menetapkan harga flat mengikut kos pembinaan.
Terdapat “hampir tiada pasaran jualan semula” pada 1960-an dan 1970-an, tetapi perubahan dalam syarat untuk jualan semula dan dasar pembiayaan gadai janji membolehkan pasaran matang pada 1980-an dan 1990-an.
“Hari ini, flat HDB kita adalah rumah dan juga simpanan nilai untuk warga Singapura, yang boleh mereka gunakan untuk menjana pendapatan pada usia tua mereka untuk persaraan dengan menjual di pasaran terbuka, menyewakan bilik atau flat, atau melalui Skim Beli Balik Pajakan, dan sebagainya,” kata Encik Lee.
Daripada kembali kepada model penetapan harga pada akhir 1970-an, Encik Lee berkata pemerintah akan terus melihat ke hadapan, “untuk memastikan bahawa dasar kami kekal relevan, berkesan dalam menyediakan perumahan awam sebagai sesuatu yang mampu milik, boleh diakses dan inklusif untuk rakyat Singapura”.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg