Kemudahan pelbagai sukan dengan satu-satunya trek perlumbaan BMX khusus di Singapura dibuka secara rasmi di Brickland-Tengah, menawarkan penduduk lebih banyak kegiatan kecergasan berhampiran rumah.

Seluas 1,200 meter persegi (sqm) di Choa Chu Kang Avenue 7, The Bricks menyediakan gelanggang bola keranjang berbumbung, ruang kecergasan untuk golongan dewasa dan warga emas serta taman permainan.

The Bricks adalah satu daripada 24 kemudahan di bawah usaha Sport-in-Precinct (Sukan di Kawasan Kejiranan), yang bertujuan menjadikan kemudahan sukan awam yang berpatutan lebih mudah digunakan orang ramai.

“Ia tempat penduduk Chua Chu Kang berkumpul untuk bersukan dan beriadah, sama ada bermain bola keranjang, pickleball, badminton atau menggunakan sudut kecergasan,” kata Menteri Pengangkutan merangkap Menteri Kedua Kewangan, Encik Jeffrey Siow, pada pelancarannya pada 15 Ogos.

Pelancaran sempena sambutan Hari Kebangsaan Brickland-Tengah itu turut dihadiri Anggota Parlimen (AP) GRC Chua Chu Kang, termasuk Menteri (Perdagangan dan Perusahaan (Tenaga & Perusahaan) merangkap Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng dan Menteri Negara (Ehwal Luar merangkap Ehwal Dalam Negeri), Encik Zhulkarnain Abdul Rahim.

Encik Siow, juga AP Brickland-Tengah, berkata idea The Bricks dicetuskan pemimpin sebelumnya, Encik Don Wee, AP Brickland dari 2020 hingga 2025.

Ciri utama The Bricks ialah trek BMX dalam taman berbasikal seluas 7,500 meter persegi. Dibina mengikut piawaian pertandingan antarabangsa, trek itu satu-satunya seumpamanya di Singapura. 

Encik Siow berharap acara BMX Sukan SEA 2029 dapat diadakan di situ supaya penduduk dapat menyokong pasukan Singapura dan memberi mereka kelebihan beraksi di gelanggang sendiri.

Persekutuan Berbasikal Singapura (SCF), Encik Hing Siong Chen, berkata trek itu dapat melahirkan pelapis atlet BMX, yang bakal menceburi bidang berbasikal lain.

Sebelum ini, atlet tempatan perlu ke Malaysia, Indonesia dan Thailand, untuk berlatih kerana kekurangan kemudahan khusus.

“Dengan kemudahan ini, kita kini boleh menyumbang kembali dan berharap dapat bekerjasama dengan negara tersebut dalam menganjurkan siri acara di seluruh Asia Tenggara,” katanya.

Encik Siow berkata The Bricks adalah satu daripada beberapa kemudahan baharu dan dipertingkat untuk penduduk setempat.

Encik Siow berkata kemudahan lain turut dirancang, termasuk kelab masyarakat Brickland-Tengah. 

Pusat Beli-belah Keat Hong pula akan dipertingkat dengan laluan masuk lebih baik, lebih banyak tempat berbumbung, tangga bergerak tambahan serta laluan berbumbung ke Taman Tembusu.

Di kawasan pasar, laluan pejalan kaki akan dilebarkan dan lintasan tanpa halangan akan disediakan, tambah Encik Siow.

Penambahbaikan itu sejajar dengan rancangan lima tahun Majlis Bandaran Chua Chu Kang bernilai $212 juta untuk kerja naik taraf bandar itu, yang kali pertama diumumkan pada 2025.

Encik Siow berkata Brickland-Tengah masih kawasan kejiranan baharu, dengan kebanyakan flat berusia kurang 10 tahun dan lebih banyak lagi sedang dibina.

“Seiring perkembangan kawasan ini, lebih banyak pembangunan dan kemudahan akan disediakan pada tahun-tahun akan datang,” katanya.

Penduduk, Encik Daniel Tong, 42 tahun, berkata The Bricks memudahkan keluarganya, manakala Cik Lilian Tang, 61 tahun, merancang mengunjunginya bersama cucunya yang berusia sembilan tahun. Beliau berkata Pusat Beli-belah Keat Hong juga akan memberi manfaat kepada penduduk.