Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Persekutuan Basikal S’pura intai 2 emas dalam Sukan SEA dengan 2 projek baru

Oct 31, 2025 | 4:33 PM
Dua pelumba BMX sedang mencuba pump track di The Bricks: Sport-In-Precinct & Cycle Park semasa pelancaran tidak rasmi kemudahan tersebut yang terletak di Choa Chu Kang pada Ogos 2025.
Dua pelumba BMX sedang mencuba pump track di The Bricks: Sport-In-Precinct & Cycle Park semasa pelancaran tidak rasmi kemudahan tersebut yang terletak di Choa Chu Kang pada Ogos 2025. - Foto PERSEKUTUAN BERBASIKAL SINGAPURA

Komuniti berbasikal di Singapura bakal menerima dua dorongan besar dalam tempoh dua tahun akan datang dengan pembinaan dua kemudahan baru.

Trek BMX dan pump track yang dinanti-nantikan di Choa Chu Kang – yang telah dibuka secara tidak rasmi pada Ogos 2025 – dijangka dilancarkan secara rasmi pada Mac 2026 sebagai sebahagian kemudahan The Bricks: Sport-in-Precinct and Cycle Park.

Sementara projek itu hampir siap, Persekutuan Berbasikal Singapura (SCF) kini tumpukan perhatian kepada usaha seterusnya – pembinaan velodrome pertama negara.

Velodrome merupakan stadium untuk acara berbasikal trek, yang mempunyai trek berbentuk bujur dengan selekoh curam.

Difahamkan velodrome tersebut akan dibina di kawasan barat laut Singapura dan bakal menjadi kemudahan terbuka.

Ia dijangka siap pada awal 2027, dengan anggaran kos hampir $3 juta.

SCF berhasrat mengumpul dana bagi projek ini melalui acara seperti majlis makan malam tahunan pada 14 November nanti.

Kededua projek ini sejajar dengan kempen “Go for Gold” SCF menjelang Sukan SEA 2029 yang akan dianjurkan di Singapura.

“Velodrome ini akan memberi manfaat kepada seluruh komuniti berbasikal. Akan ada program asas untuk kanak-kanak dan remaja, selain aktiviti untuk orang dewasa,” kata Presiden SCF, Hing Siong Chen.

“Sekarang kami ada beberapa pelumba, tapi sukar kembangkan bakat baru bila tiada trek di Singapura. Ramai perlu berlatih di Johor atau Nilai di Seremban. Untuk membina asas yang kukuh, kita perlu ada velodrome sendiri.”

Hing turut menegaskan kepentingan kemudahan itu dari sudut keselamatan dan pembangunan bakat.

“Bila kita ada velodrome luar yang berjaya dan mula menang pingat, barulah boleh fikir untuk bina velodrome tertutup yang bertaraf antarabangsa,” katanya lagi.

“Ibu bapa juga lebih yakin bila anak-anak berlatih di tempat yang selamat dan jauh dari jalan raya,” katanya.

Pada 2019, pernah dilaporkan velodrome tertutup termasuk dalam pelan pembangunan Kallang Alive Precinct yang dijangka siap dalam tempoh sedekad.

Namun, velodrome terbuka ini akan dibangunkan dahulu di atas tanah pajakan sementara sebagai alternatif jangka pendek.

Velodrome tertutup biasanya menggunakan trek kayu dan mempunyai kawalan suhu serta kelembapan yang konsisten, menjadikan kelajuan berbasikal sehingga 20 peratus lebih pantas berbanding di luar.

Sebaliknya, velodrome luar biasanya menggunakan permukaan konkrit atau asfalt.

Pelumba trek kebangsaan, Valencia Tan, yang bakal bertanding di Sukan SEA di Thailand pada Disember, turut berkongsi pandangannya.

“Adanya velodrome luar di Singapura akan banyak memudahkan latihan. Ia lebih menjimatkan masa dan tenaga. Latihan di jalan raya sahaja tidak mencukupi kerana latihan di trek membantu membina keyakinan, kelajuan dan kemahiran teknikal yang diperlukan,” kata atlet berusia 25 tahun itu.

“Dengan adanya kemudahan ini, SCF boleh menganjurkan kejohanan tempatan dan antarabangsa, memberi peluang kepada pelumba kita untuk mendapat lebih banyak pengalaman dan pendedahan,” jelasnya lagi.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg