Dua kes disyaki melibatkan kekejaman terhadap kucing di Yishun dan Punggol berkemungkinan besar berpunca daripada kemalangan jalan raya.
Demikian menurut Lembaga Taman Negara (NParks).
Ketika ditemui media pada 3 Jun di Pusat Kesihatan Haiwan dan Tumbuhan (APHC) di Perahu Road, NParks berkata tiada bukti yang menunjukkan kededua kes tersebut merupakan perbuatan kejam terhadap haiwan secara sengaja.
NParks telah dimaklumkan mengenai kes yang disyaki melibatkan penderaan haiwan oleh pihak polis pada 9 Mei.
Sebagai sebahagian daripada siasatan, ia telah menyoal individu yang melaporkan kes tersebut.
Memberi perincian, Pengarah (Penguatkuasaan dan Siasatan) NParks, Encik Joshua Teoh, berkata:
“Kami juga mengenal pasti saksi berpotensi dan menyemak rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan berkenaan untuk mengumpul maklumat lanjut.
“Melalui siasatan, kami mengesahkan bahawa bangkai kucing tersebut pada asalnya ditemui di tengah jalan oleh seorang pejalan kaki, yang kemudian memindahkannya ke kolong blok berdekatan.”
Bedah siasat telah dijalankan oleh Perkhidmatan Haiwan dan Veterinar (AVS) ke atas bangkai kucing tersebut dan menemukan bahawa kecederaan dialami adalah sejajar dengan trauma tekanan luaran yang tumpul.
Ia menyebabkan kecederaan seperti keretakan pada tulang pelvis dan tulang dada, beberapa kawasan pendarahan dan mata kanan yang tersembul.
“Tiada bukti menunjukkan kewujudan kecederaan akibat tusukan atau senjata tajam,” tambah Encik Teoh.
Di samping itu, NParks dimaklumkan tentang seekor kucing yang cedera pada pagi 12 Mei.
Kucing tersebut dikenal pasti selepas mengesan cip mikronya, dan NParks kemudian memaklumkan kepada penjaga kucing masyarakat untuk menghubungi klinik bagi tindakan susulan.
Seorang wakil kumpulan kebajikan haiwan membuat keputusan menjalankan eutanasia iaitu mematikan kucing itu secara ihsan atas alasan kebajikan haiwan. Maka ia tidak dihantar untuk bedah siasat.
Bangkai kucing tersebut kemudian diambil oleh penjaga kucing masyarakat dan dibakar.
Dalam laporan perubatan veterinar yang dikeluarkan oleh klinik tersebut, keadaan dan kecederaan kucing itu dijelaskan secara terperinci.
Kecederaan termasuk proptosis – keadaan mata tersembul dari soket – dan beberapa luka pada bahagian kepala.
Laporan itu turut menyatakan penilaian profesional doktor veterinar bahawa luka-luka dan penemuan itu lazimnya menunjukkan trauma tumpul pada kepala yang boleh berpunca daripada nahas jalan raya.
Secara berasingan, Pengarah Kumpulan, (Penguatkuasaan dan Siasatan) NParks telah memberikan kemas kini berkenaan satu kes kucing peliharaan yang ditemui mati di kaki tangga di Yishun Street 51.
Siasatan dan pemeriksaan bedah siasat sedang dijalankan dan berdasarkan pemeriksaan fizikal awal, tiada kecederaan luaran yang kelihatan ditemui, katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg