Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tiada kesan minyak kelihatan susulan insiden di Bukom, Changi

Oct 30, 2024 | 5:17 PM
Tiada kesan minyak kelihatan di perairan bersebelahan Penghubung Taman Changi Bay, berhampiran Pusat Pameran Changi pada 29 Oktober.
Tiada kesan minyak kelihatan di perairan bersebelahan Penghubung Taman Changi Bay, berhampiran Pusat Pameran Changi pada 29 Oktober. - Foto ST

Tiada kesan minyak tambahan kelihatan di laut dan darat susulan dua insiden tumpahan minyak sepanjang minggu lalu, kata beberapa agensi pada 30 Oktober.

Dalam satu kenyataan bersama, sembilan agensi menyatakan bahawa kerja pembersihan yang menyusuli insiden Shell pada 20 Oktober, yang berlaku di saluran antara Pulau Bukom dengan Bukom Kecil, telah selesai.

Ini termasuk usaha pembersihan bongkah batu dan prasarana yang dicemari minyak.

Kenyataan itu menambah bahawa tiada kesan minyak kelihatan selepas insiden tumpahan minyak semasa operasi mengisi bahan minyak atau bunkering yang berlaku di perairan Changi pada 28 Oktober, lapor The Straits Times (ST).

Agensi yang terlibat ialah Penguasa Kelautan dan Pelabuhan Singapura (MPA), Penguasa Bangunan dan Binaan (BCA), Perbadanan Bandar Jurong (JTC), Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA), Lembaga Taman Negara (NParks), agensi air negara PUB, Perbadanan Pembangunan Sentosa (SDC), Agensi Makanan Singapura (SFA) dan Penguasa Tanah Singapura (SLA).

Memandangkan tiada kesan minyak kelihatan, “semua aset yang dikerahkan oleh MPA sebagai tindak balas pencemaran minyak, untuk kedua-dua insiden akan diambil semula”, tambah kenyataan tersebut.

Menurut MPA, aset itu termasuk “kenderaan MPA yang sebelum ini dikerahkan (ke tapak kejadian), pemecah arus, dron dan keupayaan satelit”.

Alat pembendungan dan penyerapan yang dipasang sebagai langkah berjaga-jaga oleh agensi di pelbagai lokasi sejak 20 Oktober juga akan dialihkan secara berperingkat.

Agensi-agensi itu berkata siasatan oleh NEA dan MPA terhadap kebocoran ‘slop’, iaitu campuran minyak dan air, dari kemudahan Shell di Pulau Bukom masih diteruskan. 

MPA juga sedang menyiasat insiden semasa operasi mengisi bahan minyak kepada kapal di perairan Changi.

Tumpahan minyak di perairan Changi berlaku pada 28 Oktober, semasa operasi bunkering antara sebuah kapal pengangkutan kontena berdaftar di Bahamas, Ines Corrado, dengan sebuah kapal tangki bunker berlesen.

Dianggarkan sebanyak lima tan minyak tertumpah dan operasi itu dihentikan serta-merta, kata MPA.

Pada 20 Oktober, kebocoran minyak berlaku daripada saluran paip darat milik syarikat petrokimia, Shell, di antara Pulau Bukom dengan Bukom Kecil.

Shell menyatakan dalam satu kenyataan pada 21 Oktober bahawa sekitar 30 hingga 40 tan ‘slop’ telah bocor dan mengalir ke dalam laut.

Sebagai langkah berjaga-jaga, NEA menasihati orang ramai pada 21 Oktober untuk mengelakkan daripada berenang atau melakukan sebarang kegiatan sukan air berhampiran pantai di Taman East Coast, Pulau Kusu, Pulau St John and Pulau Lazarus.

Nasihat itu telah ditarik balik pada 25 Oktober.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg