Tumpahan minyak berlaku di perairan Changi pada 28 Oktober semasa operasi mengisi bahan api atau bunkering antara sebuah kapal pengangkutan kontena berdaftar di Bahamas dengan sebuah kapal tangki bunker berlesen.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada awal pagi 29 Oktober, Penguasa Kelautan dan Pelabuhan Singapura (MPA) berkata kejadian itu dilaporkan berlaku pada 5.40 petang dan operasi bunkering itu telah dihentikan serta-merta.
Menurut laman web MPA, bunkering adalah proses membekalkan bahan api kepada kapal bagi penggunaan kapal itu sendiri dengan Singapura merupakan salah sebuah pelabuhan bunker terbesar dan paling penting di dunia.
MPA berkata kapalnya tiba di lokasi kejadian sekitar 5.50 petang dan menyemburkan bahan penyerak, iaitu bahan kimia yang memecahkan gumpalan minyak kepada titisan lebih kecil yang boleh bercampur dengan air.
Kejadian itu tidak menjejas trafik pelayaran dan agensi pemerintah yang relevan telah dimaklumkan untuk memantau sembarang kesan minyak di sepanjang pantai tempatan, kata MPA.
Sebagai respons kepada pertanyaan media, MPA berkata “minyak yang melimpah semasa operasi bunkering dari kapal pengangkutan kontena berdaftar Bahamas, Ines Corrado, telah dihentikan”.
Dianggarkan sebanyak lima tan minyak tertumpah.
Kapal pengangkutan itu sedang menuju ke Tianjin, China, menurut laman web pengesanan kapal global MarineTraffic, lapor The Straits Times.
“Sehingga 8 pagi ini, tiada minyak dikesan di laut di sekitar tapak kejadian dan darat,” kata MPA, sambil menambah bahawa pihak berkuasa Malaysia juga telah dimaklumkan supaya memantau sebarang kesan minyak.
MPA berkata siasatan mengenai insiden itu sedang dijalankan dan sebagai langkah berjaga-jaga, sebuah Pemecah Arus (Current Buster) telah dikerahkan di perairan Changi untuk mengeluarkan minyak dari permukaan air, jika ditemui.
Sistem Pemecah Arus, yang ditarik oleh dua kapal, akan menuju ke kawasan terjejas untuk mengumpul air laut yang tercemar.
Sistem itu menapis minyak dari air laut yang tercemar menggunakan pam dan minyak itu dikumpulkan oleh alat pengumpul minyak atau skimmers yang dapat mengumpul hingga 50 meter padu minyak pada satu-satu masa.
Ini adalah insiden ketiga melibatkan kebocoran atau tumpahan minyak di perairan Singapura sejak Jun.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg