Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tidak lagi hidup gelandangan dek bantuan FSC PPIS Timur

Jan 7, 2024 | 5:30 AM
PERNAH HIDUP GELANDANGAN: Encik Rajesh s/o Mukund Bhai Pandya yang pernah hidup gelandangan bersama isteri dan anak lelakinya kini tinggal di flat sewa dua bilik di Marine Terrace dengan bantuan Pusat Perkhidmatan Keluarga (FSC) Timur. Beliau sudah pun menimang cahaya mata perempuan kedua.
PERNAH HIDUP GELANDANGAN: Encik Rajesh s/o Mukund Bhai Pandya yang pernah hidup gelandangan bersama isteri dan anak lelakinya kini tinggal di flat sewa dua bilik di Marine Terrace dengan bantuan Pusat Perkhidmatan Keluarga (FSC) Timur. Beliau sudah pun menimang cahaya mata perempuan kedua. - Foto BM oleh SHAFIQ APANDI

Bayi yang baru lahir biasanya dijaga dengan penuh kasih sayang, manakala ibu yang baru melahirkan dapat kembali pulih di keselesaan rumah sendiri. 

Namun, anak sulung lelaki dan isteri Encik Rajesh s/o Mukund Bhai Pandya, 53 tahun,  seorang pemandu teksi, terpaksa menumpang tidur di beberapa rumah kawannya setelah isterinya melahirkan anak mereka di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak (KKH) sebelum beliau tiga beranak hidup gelandangan di Pantai East Coast pada 2019. 

Encik Rajesh sekeluarga melalui nasib malang itu kerana ibunya telah menghalau mereka daripada rumah keluarga Encik Rajesh. Ibunya marah dengannya kerana beliau pilih untuk mendirikan rumah tangga bersama seorang wanita warga Vietnam pada 2019. 

Isterinya, 36 tahun, kini mempunyai pas lawatan jangka lama (LTVP). Pasangan suami isteri ini kini juga mempunyai dua cahaya mata, seorang anak lelaki, tiga tahun, dan seorang anak perempuan, dua tahun. 

“Tatkala itu, saya tidak dapat bekerja sepenuh masa kerana mengalami kecederaan di bahagian saraf tunjang akibat kemalangan motorsikal. Saya tidak mempunyai simpanan. Mendiang bapa saya, yang merupakan tempat saya mengadu, meninggal dunia pada lewat 2019. 

“Saya, isteri dan anak sulung saya hidup bergelandangan kerana kami tidak berupaya mendapat tempat tinggal yang murah atau menyewa flat HDB. Pantai East Coast merupakan satu-satunya pilihan tempat tinggal kami pada waktu itu,” kata Encik Rajesh. 

Katanya lagi, beliau sebak melihat anaknya yang baru lahir dan isterinya yang baru bersalin menderita kerana antaranya cabarannya ialah untuk memasak air panas untuk buat susu anaknya, manakala isterinya tidak dapat menikmati makanan sihat dan urut badan sewaktu berpantang. 

Atas saranan seorang anggota masyarakat, Encik Rajesh pergi ke Pusat Perkhidmatan Keluarga (FSC) Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS) cawangan Timur di Wisma Geylang Serai. 

Sejurus berada di FSC PPIS Timur, seorang pekerja sosial menawarkan isterinya untuk berehat di sofa kerana isterinya lemah dek tidak dapat tidur semalaman. 

Pekerja sosial FSC itu kemudian membantu menguruskan tempat tinggal sementara di sebuah hotel berdekatan di samping keluarga Encik Rajesh menunggu tempat perlindungan peralihan AWWA untuk menerima permohonan keluarga Encik Rajesh untuk menginap di tempat perlindungan itu. 

PPIS FSC Timur juga bantu memberikan dana kecemasan untuk menampung perbelanjaan makanan dan keperluan bayi lelakinya. 

Selepas menginap di hotel selama tiga hari, keluarga Encik Rajesh akhirnya ditawarkan tempat tinggal di sebuah flat sewa tiga bilik bersama keluarga lain. Setiap keluarga diberikan sebuah bilik untuk mereka tinggal dan mereka kongsi dapur dan ruang tamu. 

Keluarganya kemudian dipindahkan ke sebuah unit perlindungan tiga bilik di bawah pengurusan Tempat Perlindungan Peralihan AWWA, di mana mereka tinggal di sana selama lapan bulan sementara menunggu permohonan flat sewa dua bilik HDB di Marine Terrace untuk diluluskan. 

Pekerja sosial di PPIS FSC Timur dan AWWA telah bekerja rapat untuk menyokong keluarga Encik Rajesh dengan kewangan, peluang pekerjaan dan latihan serta permohonan flat sewa HDB. 

Kini, Encik Rajesh tinggal di flat sewa dua bilik di Marine Terrace dan memandu teksi sepenuh masa. Beliau juga telah membuat permohonan buat isterinya menjadi penduduk tetap (PR) di Singapura. 

PPIS FSC Timur pula telah membantu mendapatkan subsidi untuk program tadika buat anak lelakinya dan membantu membuat permohonan agar anak perempuannya boleh memasuki pusat penjagaan kanak-kanak. Isterinya berhasrat bekerja untuk mendapat pendapatan tambahan.

“Keluarga saya adalah kehidupan saya. Saya sudah tidak ada sesiapa, hanya isteri dan dua anak saya. Kami bersyukur dapat berpindah di flat sewa dua bilik HDB. Saya tidak mahu keluarga saya melalui kehidupan perit lagi dan bertekad untuk bekerja keras demi kebahagiaan mereka,” kata Encik Rajesh.  

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg