Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tidak mudah rakam video digital sentuh jiwa, peringati tsunami pemusnah nyawa

Apr 4, 2025 | 8:34 PM
(Dari kiri) Wartawan video, Encik Abdul Qayyum Sarip, dan wartawan, Cik Nur’Ashiqin Ramadan, meraih Anugerah Impak Digital bagi dokumentari ‘Gelombang Perubahan: Aceh, 20 Tahun Selepas Dibadai Tsunami’, yang menyorot keadaan Aceh menyusuli bencana yang menggegar rantau ini. Tiada dalam gambar ialah penerbit media sosial, Cik Dian A’qidah Ahmad Yatim, yang turut menyumbang pada penerbitan dokumentari ini.
(Dari kiri) Wartawan video, Encik Abdul Qayyum Sarip, dan wartawan, Cik Nur’Ashiqin Ramadan, meraih Anugerah Impak Digital bagi dokumentari ‘Gelombang Perubahan: Aceh, 20 Tahun Selepas Dibadai Tsunami’, yang menyorot keadaan Aceh menyusuli bencana yang menggegar rantau ini. Tiada dalam gambar ialah penerbit media sosial, Cik Dian A’qidah Ahmad Yatim, yang turut menyumbang pada penerbitan dokumentari ini. - Foto BH oleh DIYANA TAHA

Persiapan berbulan lamanya bagi menghasilkan dokumentari untuk memperingati dua dekad bencana tsunami dan kesannya ke atas Aceh, ternyata membuahkan hasil bagi tiga karyawan media Berita Harian (BH), setelah karya tersebut menerima Anugerah Impak Digital Terbaik akhbar ini.

Diberi judul Gelombang Perubahan: Aceh, 20 Tahun Selepas Dibadai Tsunami, dokumentari selama 25 minit itu mengimbau semula bencana yang melanda wilayah Indonesia itu, yang musnah akibat gempa bumi berukuran sehingga 9.3 pada skala Richter, pada 26 Disember 2004. 

Gempa tersebut disusuli tsunami, yang paling dahsyat, pernah disaksikan dunia dalam tempoh beberapa dekad.

Gempa dasar laut di Lautan Hindi dekat barat Sumatera mengakibatkan gelombang maut tsunami setinggi sehingga 30 meter, menjejas 12 negara dan mengorbankan lebih 200,000 nyawa.

Pasukan penerbitan BH telah mengunjungi Aceh selama lima hari – antara 5 dengan 9 Disember – bagi merakam dan mewawancara beberapa individu termasuk mangsa yang terselamat, pekerja bantuan kemanusiaan dan pegawai pemerintahan wilayah tersebut. 

Pasukan BH itu – terdiri daripada wartawan video, Encik Abdul Qayyum Sarip; 34 tahun; penerbit media sosial, Cik Dian A’qidah Ahmad Yatim, 24 tahun; dan wartawan, Cik Nur’Ashiqin Ramadan, 30 tahun.

Dalam satu majlis penyampaian Anugerah Berita, Kumpulan Media Inggeris, Melayu dan Tamil (EMTM), SPH Media, yang berlangsung di Auditorium SPH Media pada 4 April, mereka telah disampaikan dengan anugerah berkenaan.

Tiga calon lain bagi Anugerah Impak Digital Terbaik adalah Video Belanjawan, Wawancara OMG bersama mantan Presiden, Puan Halimah Yacob, dan Wawancara bersama Nenek Berusia 100 tahun.  

Encik Abdul Qayyum, yang menggalas peranan sebagai pengarah videografi bagi dokumentari itu, berkata persiapan bagi projek ini begitu penting memandangkan pasukan penerbitan mempunyai masa yang agak singkat di Aceh.

Beliau juga prihatin dalam mengetengahkan kemusnahan akibat tsunami, di samping memastikan visual yang dipersembahkan juga perlu menyerlahkan semangat daya tahan penduduk Aceh, yang menjadi teras dokumentari itu.

“Mencipta sebuah projek yang dapat menyentuh orang ramai bukan sesuatu yang senang. Saya rasa bangga kerana ini kali pertama saya menang anugerah sebesar ini,” kata Encik Abdul Qayyum.

Cik Dian, penerbit dokumentari tersebut, pula rasa terkesan kerana dapat mengetengahkan kisah penduduk Aceh yang terjejas, termasuk seorang mangsa yang kehilangan semua anggota keluarganya dan kini tinggal di Singapura.

“Tidak selalu saya dapat menemui mangsa bencana alam. Walaupun saya tak tahu apa yang mereka rasai, pengalaman ini memberi saya perspektif yang baru dan ruang untuk memahami mereka dengan lebih mendalam,” kata beliau.

Cik Nur’Ashiqin pula berkata: 

“Anugerah ini mengiktiraf usaha kami dalam memastikan projek ini mencapai matlamatnya menceritakan kisah mangsa-mangsa dan kesan bencana alam sebesar tsunami Aceh pada 2004.”

Dokumentari Gelombang Perubahan: Aceh, 20 Tahun Selepas Dibadai Tsunami boleh ditonton menerusi pautan https://youtu.be/u837zAP8EUU?feature=shared 

Watch on YouTube
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg