Jika anda selalu berasa kurang pasti sama ada barangan anda boleh dikitar semula, sekarang anda boleh membuat semakan dengan chatbot kecerdasan buatan (AI) terbaru Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA), Bloobin.
Chatbot AI Bloobin itu dinamakan sempena maskot kitar semula berwarna biru Singapura, dan telah dilancarkan pada aplikasi pemesejan WhatsApp dan Telegram pada 16 September.
Untuk menyemak sama ada sesuatu barangan boleh dikitar semula, anda hanya perlu menanyakan soalan atau menghantar gambar barangan tersebut kepada chatbot itu.
Orang ramai boleh melayari laman web Singapura Hijau dan Bersih (CGS) di pautan https://www.cgs.gov.sg/recycleright/check-my-item/, dan mengimbas kod QR yang tertera untuk mengakses chatbot di WhatsApp atau Telegram.
Chatbot itu diperkenalkan pada 16 September oleh Setiausaha Parlimen Kanan (Kemampanan dan Sekitaran), Encik Baey Yam Keng, bertepatan dengan pelancaran kempen ‘Recycle Right 2024’ di Sekolah Rendah Unity, lapor The Straits Times.
Ini susulan tinjauan NEA pada 2023 yang menunjukkan bahawa 72 peratus isi rumah di Singapura mengitar semula barangan terpakai, meningkat daripada 64 peratus pada 2021.
Namun, kadar pencemaran bahan kitar semula di dalam tong sampah berwarna biru itu kekal pada kira-kira 40 peratus sejak 2017.
Salah satu sebabnya adalah rakyat Singapura kurang pasti tentang jenis barangan yang boleh dikitar semula.
Apabila barangan yang tidak boleh dikitar semula seperti makanan atau sisa cecair dibuang ke dalam tong kitar semula, ia membuatkan barangan yang pada asalnya boleh dikitar semula seperti kertas, plastik, dan kaca, tercemar dan seterusnya perlu dilupuskan.
Antara barangan yang paling kerap diklasifikasikan secara salah oleh responden tinjauan kitar semula isi rumah NEA pada 2023 ialah peralatan elektronik kecil (41 peratus responden), pakaian lama (41 peratus) dan bal lampu (31 peratus).
Sebelum pelancaran chatbot AI Bloobin, NEA pernah memperkenalkan enjin carian kitar semula di laman web CGS pada 2022 untuk orang ramai menyemak sama ada sesuatu barangan boleh dikitar semula.
Chatbot AI Bloobin dijana oleh ChatGPT, satu bentuk AI generatif yang direka untuk berinteraksi dengan pengguna menerusi perbualan dengan menggunakan maklumat daripada pelbagai sumber, termasuk data yang digunakan oleh enjin carian kitar semula CGS.
Di bawah Pelan Induk Tanpa Sisa dan Pelan Singapura Menghijau 2030, Singapura menyasarkan untuk mencapai kadar kitar semula keseluruhan sebanyak 70 peratus menjelang 2030.
Namun kadar kitar semula keseluruhan 2023, kekal pada tahap terendah dalam lebih sedekad, dengan hanya 12 peratus keseluruhan sampah dikitar semula.
Justeru, Encik Baey berharap chatbot AI Bloobin dapat membantu meningkatkan kadar kitar semula domestik, untuk mencapai sasaran sebanyak 30 peratus menjelang 2030.
Cik Robin Rheaume, pengasas Recyclopedia.sg, sebuah laman web yang dikendalikan oleh sukarelawan kitar semula, berkata bahawa chatbot AI tersebut berpotensi menjadi platform pendidikan pengguna mengenai tabiat kitar semula yang baik.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg