Tiga ekor anak harimau bintang Sri Lanka, yang lahir pada 1 Januari di Taman Haiwan Singapura, kini membuat penampilan pertama mereka.

Dua jantan dan seekor betina, zuriat ibu (Yala) dan bapa (Asanka) itu adalah yang pertama daripada spesies ini dilahirkan di Taman Haiwan Singapura.

Kelahiran berjaya yang terakhir di Singapura direkodkan di Night Safari tiga dekad lalu.

Tiga kembar ini, anak pertama pasangan tersebut, adalah antara kira-kira 80 harimau bintang Sri Lanka yang menghuni taman haiwan di seluruh dunia.

Spesies ini tersenarai sebagai terancam dalam Senarai Merah Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN).

Anggaran kurang daripada 800 ekor sahaja yang masih hidup di habitat liar.

Pengunjung kini boleh menyaksikan ketiga-tiga anak harimau bintang itu di pameran Wild Africa, kata Kumpulan Hidupan Liar Mandai dalam satu kenyataan pada 16 April.

Anak-anak harimau bintang itu boleh ditemui bersama ibu mereka di pameran itu setiap hari sehingga pertengahan Mei.

Selepas itu, mereka akan muncul pada setiap hari Rabu, Sabtu dan Ahad.